Langgan

Elle Fanning Sebagai Effie Trinket – Bersedia untuk Fesyen Luar Biasa!

Elle Fanning menghidupkan kembali gaya ikonik Effie Trinket menerusi persalinan couture menjelang filem terbaharu 'The Hunger Games'.
3 minit untuk membaca
Published: November 13, 2026

Jika ada satu perkara yang kita pelajari daripada dunia 'The Hunger Games', fesyen bukan sahaja tentang pakaian. Sebaliknya, ia mencerminkan personaliti, identiti dan keberanian untuk tampil berbeza. Kali ini, perhatian peminat tertumpu kepada Elle Fanning yang bakal mengambil alih watak ikonik Effie Trinket dalam filem terbaharu francais tersebut. Berdasarkan penampilan terkininya, nampaknya Elle sudah bersedia meneroka era fesyen yang lebih berani dan luar biasa dalam perjalanan kerjayanya. 

Gambar : Instagram @hungergameske

Kembali Ke Dunia Panem

Menariknya, kali ini kita berpeluang mengenali Effie sebelum dia menjadi karakter yang dikenali peminat menerusi filem asal, lakonan Elizabeth Banks. Selepas kejayaan 'The Hunger Games : The Ballad of Songbirds & Snakes' pada tahun 2023, francais popular ini bakal kembali dengan sebuah prekuel terbaharu berjudul 'The Hunger Games : Sunrise on The Reaping'.

Gambar : Instagram @fotogramas_es

Dijadualkan menemui penonton pada 20 November 2026, filem ini diadaptasi daripada novel karya Suzanne Collins yang diterbitkan pada 2025. Kali ini, penonton akan dibawa kembali ke dunia Panem, 24 tahun sebelum perjalanan Katniss Everdeen bermula. Kisahnya berpusat pada Haymitch Abernathy sewaktu muda, lakonan Joseph Zada, ketika menyertai Hunger Games ke-50 atau dikenali sebagai Second Quarter Quell. 

Berbeza daripada permainan sebelumnya, edisi ini menyaksikan seramai 48 peserta dihantar ke arena, dua kali ganda daripada jumlah biasa. Selain Elle Fanning sebagai Effie Trinket muda, filem ini turut menampilkan McKenna Grace sebagai Maysilee Donner, Jesse Plemons sebagai Plutarch Heavensbee, Ralph Fiennes sebagai President Snow, Whitney Peal sebagai Lenore Dove Baird dan Kieran Culkin sebagai Caesar Flickerman. 

Gambar : Instagram @ellefanning

Effie Trinket Dengan Sentuhan Elle Fanning

Bercakap tentang Effie, mustahil untuk tidak mengingati gaya fesyennya yang penuh warna, dramatik cukup sedikit luar biasa. Daripada rambut yang mencuri perhatian hingga pilihan busana yang berani, Effie sememangnya mempunyai identiti tersendiri. Sepanjang mempromosikan filem terbaharu ini, aktres itu tampil dengan beberapa persalinan yang seolah-olah membawa estetika The Capitol ke dunia sebenar.

Gambar : Instagram @ellefanning

Antara yang mencuri perhatian ialah penampilannya dalam persalinan Vivienne Westwood yang menggabungkan potongan klasik dengan perincian dramatik. Sentuhan hiasan rama-rama, reben dan aksesori kepala memberikan ilusi feminin yang cukup eksentrik, seolah-olah diambil terus daripada almari pakaian Effie.

Gambar : Instagram @viviennewestwood

Tidak ketinggalan, Elle turut memilih persalinan Valentino dalam rona pastel yang menampilkan sut skirt, kolar beropol serta aksesori kepala bermotif rama-rama. Gabungan ini memberikan sentuhan romantik dan playful, sekali gus mengingatkan kita kepada gaya ikonik masyarakat Capitol.

Gambar : Instagram @samanthamcmillen_stylist

Namun, penampilan paling dramatik pastinya gaun haute couture merah jambu daripada koleksi Luruh 2026 Robert Wun. Gaun sepanjang betis itu menampilkan korset bertali, skirt tulle mengembang serta perincian struktur artistik pada bahagian dada.

Gambar : Instagram @rollingstone

Malah, aksesori kepalanya menjadi tarikan utama. Sebuah hiasan berbentuk topi pillbox dihiasi figura ballerina mini yang mengingatkan kita kepada kotak muzik klasik. Penampilan tersebut cukup menggambarkan estetika Effie yang gemarkan sesuatu yang unik dan tidak konvensional. Bukan sekadar cantik, tetapi mempunyai elemen kejutan yang membuatkan sesiapa sahaja ingin melihatnya dua kali. 

Fesyen Sebagai Bahasa Capitol

Gambar : Instagram @ellefanning

Dalam dunia Panem, fesyen merupakan sebahagian daripada identiti masyarakat The Capitol. Semakin unik penampilan seseorang, semakin jelas keinginan mereka untuk menonjolkan kemewahan dan status. Sebab itulah Efiie Trinket sentiasa menjadi karakter menarik untuk diperhatikan. Setiap busananya seolah-olah mempunyai cerita tersendiri. Daripada siluet berlebihan hingga kombinasi warna yang tidak dijangka, gayanya membuktikan bahawa fesyen tidak semestinya perlu mengikut peraturan. 

Era Effie yang Baharu

Gambar : Instagram @evanclayton

Menghidupkan karakter yang pernah menjadi kegemaran ramai bukanlah tugas mudah. Namun, Elle mempunyai peluang untuk memberikan nafas baharu kepada Effie tanpa mengetepikan identiti asalnya. Sementara menantikan kemunculan 'The Hunger Games : Sunrise on The Reaping', penampilan Elle di London sudah cukup memberikan bayangan tentang potensi fesyen yang bakal dibawanya sepanjang promosi filem ini. Jika satu penampilan sahaja sudah sebegini dramatik, kami tidak sabar melihat apa lagi yang bakal diperagakan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down