Langgan

6 Kostum Halloween Selebriti 2026 Yang Mencuri Perhatian

Kostum Halloween sebagai pentas ekspresi fesyen. Ini enam penampilan selebriti yang menjadi perhatian ELLE.
3 minit untuk membaca
Published: November 3, 2026

Sambutan Halloween tahun ini sekali lagi menjadi pentas kreativiti buat selebriti ternama dalam mengekspresikan gaya dan imaginasi masing-masing. Bukan sahaja bermain dengan pengayaan kostum, perincian solekan, aksesori serta pemilihan busana turut menjadi elemen penting dalam menghidupkan setiap karakter. Sempena Halloween 2026 yang baru sahaja berlalu, ELLE himpunkan enam penampilan selebriti yang mencuri perhatian menerusi kreativiti fesyen musim ini.

HEIDI KLUM

Heidi Klum sememangnya nama yang cukup sinonim dengan sambutan Halloween. Model ini sekali lagi tidak mengecewakan peminat yang ternanti-nantikan transformasinya yang cukup luar biasa. Sempena ulang tahun ke-25 pesta Halloween anjurannya, Heidi tampil dengan kostum berskala besar yang diinspirasikan daripada tangan kirinya sendiri. Kostum ini berjaya mencuri perhatian sebaik sahaja Heidi melangkah ke acara berkenaan. Ia dihasilkan menggunakan teknologi imbasan 3D bagi menghasilkan replika tangan yang menyerupai anatomi asal Heidi dan dilebih-lebihkan mengikut tema 'Horror'. Garisan tapak tangan, tekstur kulit serta cincin perkahwinannya menjadi antara penampilan paling luar biasa pada Halloween tahun ini.

Halloween
Gambar Instagram @heidiklum

LISA

Lisa tampil memukau dalam kostum bertemakan 'Black Mermaid: Siren of the Sea' dengan siluet ekor duyung serba hitam yang panjang dan dramatik. Penampilan tersebut membawa aura misteri menerusi gabungan elemen fantasi gelap dan estetika ethereal. Solekan wajah yang menyeramkan namun masih mengekalkan sisi anggunnya, disempurnakan dengan taring tajam, kilauan hitam yang menyelubungi tubuh serta kuku panjang yang memberikan sentuhan lebih dramatik. Perincian sirip duyung pada bahagian lengan dan sepanjang tubuh pula melengkapkan keseluruhan estetika 'Black Mermaid' ini. Gabungan tekstur, solekan dan siluet yang luar biasa menjadikan penampilan Lisa sebuah interpretasi fantasi gelap yang cukup memikat.

Halloween
Gambar Instgram @lalalalisa_m

PARIS HILTON

Paris Hilton menghidupkan watak Princess Rapunzel menerusi interpretasi puteri dongeng yang diberi sentuhan moden dan cukup glamor. Gaun labuh rona ungu dengan perincian rhinestone embellishments pada bahagian dada menyerlahkan aura mewah, dilengkapkan pula dengan rantai leher berhiaskan kristal yang menghiasi penampilannya. Namun, tumpuan utama pastinya terarah kepada rambut blonde panjang yang menjadi identiti ikonik Rapunzel. Menariknya, Paris memberikan sentuhan tersendiri dengan menghiasi rambut panjangnya menggunakan kuntuman bunga ros merah jambu dan bunga daisy putih. Gabungan elemen romantik, kilauan kristal dan estetika puteri dongeng menghasilkan penampilan yang lebih moden, feminin dan cukup mempesona.

Halloween
Gambar Instagram @parishilton

DOVE CAMERON

Siapa sangka, selebriti yang sering dikaitkan dengan imej glamor ini memilih untuk keluar daripada kebiasaan sempena Halloween kali ini. Menghidupkan karakter ikonik file 'Edward Scissorhands', tampil dengan solekan berani memberikan ekspresi wajah lebih dramatik. Penampilannya dilengkapi dengan aksesori bilah gunting pada kedua-dua tangan menyerupai karakter asal dalam filem tersebut. Busana rona hitam dengan tekstur kulit serta perincian aksesori besi menambahkan elemen edgy kepada keseluruhan penampilannya. Gabungan siluet yang unik, solekan dramatik dan aksesori ikonik ini menjadikan transformasi Dove cukup berbeza daripada imej glamor yang sering diperagakannya.

Halloween
Gambar Instagram @dovecameron

KATSEYE

Biarpun sedang sibuk dengan siri jelajah 'The Wildworld Tour', KATSEYE tidak melepaskan peluang untuk meraikan Halloween dengan penampilan istimewa ketika konsert mereka di Montreal, Kanada. Keempat-empat anggota kumpulan itu tampil menghidupkan karakter ikonik daripada dunia DC Comics menerusi kostum yang cukup memukau. Yoonchae memilih karakter Harley Quinn, Daniela menggayakan Wonder Woman, Megan membawa persona Poison Ivy manakala Lara tampil sebagai Catwoman. Setiap penampilan memperlihatkan identiti tersendiri menerusi potongan busana yang mengikut karakter masing-masing. KATSEYE membuktikan bahawa kreativiti fesyen mereka tidak terhad di luar pentas sahaja.

Halloween
Gambar Instagram @galafr

JUSTIN BIEBER & HAILEY BIEBER

Pasangan selebriti ini sekali lagi mencuri perhatian menerusi padanan kostum Halloween yang cukup kreatif. Tahun ini, Justin Bieber memilih konsep bertemakan karakter devil manakala Hailey tampil sebagai angel. Justin menggayakan jaket dan seluar rona merah dengan siluet santai, dilengkapkan dengan beanie bertanduk merah serta cermin mata berwarna senada yang memberikan sentuhan lebih berani. Hailey pula tampil dalam persalinan serba putih menerusi kemeja putih yang dipadankan dengan sayap bersaiz besar dan aksesori halo di atas kepala. Kontras antara rona merah dan putih yang bersih menjadikan padanan mereka cukup menarik. Sekali lagi, pasangan ini membuktikan bahawa kostum Halloween berdua tidak semestinya perlu rumit untuk mencuri perhatian.

Halloween
Gambar Instagram @lilbieber & @haileybieber

Lebih daripada menjadi tradisi tahunan, Halloween turut memberi ruang untuk bereksperimen dengan identiti, imaginasi dan gaya peribadi. Persoalannya, siapakah yang berjaya membawa pulang gelaran best dressed Halloween tahun ini?

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down