
Monogram Flower menjadi penciptaan terkini Louis Vuitton yang diinspirasikan daripada motif karya Georges Vuitton yang diperkenalkan pada tahun 1986. Rekaannya yang dinamik menggabungkan sesuatu yang datang dengan daya tarikan tak lekang dek zaman.
Hari ini ia diberi ekspresi baru lewat penghasilan Idylle Blossom yang lebih awal diperkenalkan pada tahun 2012. Apa yang terhasil adalah sebuah ilham penuh kelembutan daripada gabungan motif bunga dan glamor gemerlap berlian. Rangkaian barang kemas ini menyerlahkan keistimewaan Monogram Flower sebagai gaya grafiknya yang berani.
Sebagai sebuah kelangsungan, Idylle Blossom kini tampil dengan dua set rekaan terbaru bagi penciptaan fine jewellery dan high jewellery. Monogram Flower menampilkan kelopak meruncing yang diukir dan dibentuk dengan teliti daripada emas putih, sebelum dihiasi dengan berlian yang memancarkan kilauan luar biasa.
Disusun berlapis dengan ketepatan, setiap kelopak membentuk motif berstruktur tiga dimensi dengan garisan kontur yang tajam, serta dilengkapi dengan sebutir berlian di bahagian tengah. Struktur kemas dan anggun bagi rekaa ini menyerlahkan keharmonian reka bentuk asal dalam memberikan sentuhan kontemporari yang tersendiri.
Kilauan memukau bak bintang yang bercahaya, penciptaan ini memancarkan keanggunan abadi, meraikan pesona berlian yang merentasi batas zaman dan budaya. Setiap rekaan menyempurnakan kesinambungan semangat dan keanggunan koleksi ikonik Idylle Blossom Louis Vuitton dengan penuh gemilang.

