
Eurovision Asia 2026 yang diumumkan awal tahun ini bakal menyaksikan Aina Abdul mewakili Malaysia sebagai peserta. Penglibatan Aina di Anugerah Juara Lagu ke-40 yang lalu bakal membawanya ke pentas pertandingan nyanyian yang mengumpulkan penyanyi hebat dari serata Asia termasuk Filipina, korea Selatan, Vietnam dan Thailand antraranya.
Meneruskan visi ini, Aina telah menciptakan lagu terbaru berjudul "Bluest Sky" yang bakal dipertandingkan sebagai karya utama. Lagu ini datang dengan susunan muzik daripada masestro muzik tempatan, Mac Chew sebagai sebuah naskhah power ballad yang diramu dalam sebuah skala muzik yang cukup besar.
Mengulas mengenai bait lirik dan penghayatan lagu tersebut, penyanyi ini meluahkan rasa bangganya sewaktu pertama kali mendengar versi master karya berkenaan kerana hasilnya begitu merealisasikan impiannya untuk menghasilkan sebuah power Ballad yang besar dan sarat dengan susunan instrumen.

"Lagu ini antara yang paling mencabar untuk dirakamkan, terutamanya daripada sudut emosi. Dalam masa seminit saya perlu menyampaikan pelbagai rasa daripada cinta, duka dan keliru sehinggalah rasa penat. Melalui pendedahan di pentas antarabangsa kelak saya berharap "Bluest Sky" dapat menempatkan muzik kita di persada dunia." katanya.
Bagi meraikan pelancaran "Bluest Sky", sesi pra-dengar eksklusif diadakan pada 8 Oktober 2026 di Rex KL, Petaling Street. acara ini menghimpunkan wakil media dan peminat terdekat yang menjadi antara terawal mendengar lagu yang bakal dibawa Aina ke Eurovision Asia 2026.
Para peminat dan penonton boleh menyaksikan siri kapsul khas, "Malaysia Memburu Impian bersama Aina Abdul" sebuah dokumentasi perjalanannya menuju Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi kapsul berdurasi dua minit yang bersiaran secara mingguan menerusi program Melodi di TV3.

