Chanel sentiasa menjadi antara pertunjukan yang paling saya nantikan untuk menutup Minggu Fesyen Paris. Musim ini, sebaik melangkah masuk ke Grand Palais, terasa seperti memasuki sebuah dunia yang berbeza. Di ruang atas, burung layang-layang gergasi tergantung di udara, berlatar bulan yang terasa hampir seperti dari dunia lain. Apabila cahaya perlahan-lahan berubah daripada langit biru kepada malam, burung-burung itu seakan-akan terbang merentasi galaksi.
Beberapa hari sebelumnya, jemputan Chanel tiba di hotel saya. Seperti musim-musim lalu, ia hadir dalam bentuk rantai perak, kali ini dengan loket kecil berbentuk burung dan awan. Ketika menerimanya, saya tertanya-tanya apakah maksud di sebalik rekaan tersebut. Namun sebaik tiba di ruang pertunjukan, semuanya mula terungkai.Walaupun begitu, masih banyak yang dibiarkan samar.
Sebelum pertunjukan bermula, para selebriti mula memenuhi ruang, berhenti seketika untuk merakam content rasmi bersama team Chanel. Antara yang kelihatan ialah Keonho daripada kumpulan K-pop CORTIS, Wang Yibo, Olivia Wilde, Kristen Wiig, Rosie Huntington-Whiteley, Pedro Pascal, Dua Lipa, Alexa Demie, Nicole Kidman, John Malkovich serta bintang Thailand Lorena Schuett dan Miu Natsha.
Sebaik kami mengambil tempat, cahaya perlahan-lahan malap. Untuk beberapa saat, ruang terasa sunyi sebelum pentas peragaan kembali diterangi. Kemudian muncul look pertama: serba putih dengan siluet yang mengikut tubuh dalam material lut sinar dan bunga bertekstur seperti bulu di bahagian dada.
Bagi Matthieu Blazy, koleksi ini mengangkat pelbagai sisi seorang wanita yang terbentuk sepanjang hidupnya. Dalam kisah Chanel, semuanya bermula dengan Gabrielle Chanel sendiri. Seorang wanita yang melalui pelbagai identiti sebelum akhirnya menjadi figura yang kita kenali sebagai Chanel. Melihat koleksi ini bergerak di hadapan mata, saya dapat melihat cebisan daripada setiap fasa tersebut. Korset dan struktur Edwardian yang pernah membatasi tubuh wanita muncul semula bersama perincian yang seakan datang dari zaman lain namun ditafsirkan dalam cara yang terasa segar dan tidak terikat pada masa lalu.
Tailoring terasa lebih longgar dan bebas. Tweed yang begitu sinonim dengan Chanel hadir dalam tafsiran yang lebih ringan, melalui permainan warna, manik, tekstur dan proporsi. Jaket merah berkilau bersama skirt senada membawa tenaga yang lebih berani, sementara rona kuning terang memberikan sisi muda pada koleksi. Di helaian lain, tekstur biru pucat, perincian hiasan dan lapisan barang kemas melembutkan siluet yang lebih berstruktur.
Aksesori juga memainkan peranan yang sama penting. Beg, rantai, kerongsang dan barang kemas semuanya menjadi sebahagian daripada bahasa pakaian itu sendiri. Ada helaian yang sarat dengan perincian namun tetap terasa seimbang. Permainan antara kemewahan dan kesederhanaan inilah yang paling saya kagumi.
Kemudian hadir bahagian koleksi yang lebih lembut. Lapisan sutera bercetak yang lut sinar bertindih dan bergerak mengikut tubuh, menghasilkan bayangan seperti awan yang berubah bentuk. Fabrik-fabrik itu bergerak bersama cahaya, seakan membawa kita daripada pagi ke golden hour, sebelum perlahan-lahan jatuh ke malam. Ketika duduk di tempat saya dan melihat pakaian bergerak di bawah perubahan cahaya, kaitannya dengan set pertunjukan semakin jelas. Burung, langit, awan dan perjalanan daripada siang menuju malam semuanya terasa seperti cebisan daripada satu cerita yang sama. Sebuah metafora tentang kebebasan. Chanel bermula dengan seorang wanita yang enggan terikat pada aturan zamannya, memilih untuk menentukan arah hidupnya sendiri. Dan akhirnya, seperti seekor burung, dia terbang bebas.
Tonton pementasan Chanel Musim Bunga/Panas 2027 di bawah!












