Langgan

Ulasan Filem: Verity

Anne Hathaway, Dakota Johnson & Josh Hartnett menyatu dalam siri thriller drama terbaru.
3 minit untuk membaca
Published: October 2, 2026

Tahun ini mungkin menjadi tahun yang paling banyak karya fiksyen yang diadaptasi. Mungkin tidak salah saya katakan hampir setiap bulan akan ada sahaja naskhah baru yang dilayarkan atau dijadikan siri televisyen. Colleen Hoover menjadi salah seorang daripada novelis prolifik yang begitu mendapat perhatian Hollywood. Setelah "It Ends With Us" yang menjadi novel blockbuster nya kini tiba giliran novel "Verity" diterbitkan sebagai naskhah filem.

Seperti kebanyakan novel-novel Colleen Hoover, "Verity" masih berlegar pada ilham yang sama. Ada drama yang berbalut semi-thriller dan plot twist di hujung cerita (yang sebetulnya semakin predictable). Namun begitulah pemasaran filem-filem Hollywood sebenarnya ia bukanlah untuk cinephile ke panggung memberatkan fikiran dengan falsafah dalam filem tetapi sekadar sebuah wadah hiburan.

Ia jelas dengan lebih lagi pabila gandingan pelakon yang cukup dikenali menjadi pancingan untuk kita sebagai penonton ke panggung. Kali ini bersama Anne Hathaway, Josh Hartnett dan Dakota Johnson - filem ini nyata datang dengan misi untuk menjadi sebuah lagi filem pecah panggung.

Filem ini diadaptasi ke layar perak oleh Michael Showalter yang sebelum ini juga pernah mengarahkan Anne Hathaway menerusi filem "The Idea of You" dan beberapa filem lain seperti "Hello, My Name Is Doris" dan filem yang mendapat pengiktirafan festival filem antarabangsa iaitu "The Eyes of Tammy Faye". Kali ini dia tampil dengan sederhana dalam mengadaptasi naskhah yang cukup popular ini dengan satu pendekatan yang selamat.

Sebetulnya anda tidak perlu membaca novel ini untuk mendalami ceritanya. Ia mengalir linear tanpa plot yang diubah atau digarap dengan cara berbeza. Dan itulah yang menjadikan ia sedikit mengecewakan saya sebagai penonton. Bukan apa sebagai seorang yang sudah membaca novel ini saya sudah faham dengan plot novel yang ditulis dan sebagai penonton juga saya suka jika pengarah mengolah mengikut sudut pandangnya tanpa terlalu mengikut susunan di novel.

Di sini menjadikan naskhah filem yang diadaptasi itu lebih menarik untuk ditonton dan less predictable. Antara yang boleh saya jadikan contoh yang baik adalah "The Devil Wears Prada" yang diolah berbeza di versi filem dengan memberi satu pengalaman visual dan penceritaan yang lebih komersial, laju dan menarik.

Filem ini membawa kisah Verity Crawford (Anne Hathaway) seorang novelis prolifik yang mengalami kecelakaan yang tidak lagi membolehkan dia untuk terus menjadi penulis namun dia masih memiliki beberapa novel yang harus disiapkan dan diterbitkan. Untuk meneruskan misi novel-novel ini disiapkan, Jeremy Crawford (Josh Hartnett) suami kepada Verity harus mencari pengganti Verity sebagai ghost writer.

Di sini muncul watak Lowen Asleigh (Dakota Johnson) seorang penulis novel yang tidak popular sekali pun sudah mengedarkan beberapa novel. Namun dia memiliki satu skil penceritaan dan penulisan yang paking hampir dengan Verity. Tawaran diterima Lowen dan dia harus menghabiskan masa di kediaman Verity untuk mencari tahu apa yang harus menjadi pengisian penulisannya untuk novel tersebut.

Seperti filem-filem drama dan thriller yang lain, pasti akan ada rahsia juga misteri yang terungkai satu per satu sepanjang ia berjalan. Begitu juga "Verity". Michael Showalter mengambil masa dalam membina plot yang berawal sangat baik di hadapan namun begitu lompong di bahagian tengah cerita. Apa yang lebih mengecewakan, penghujungnya terasa terburu-buru untuk dihabiskan.

Peranan Anne Hathaway tidak begitu diguna sebaiknya untuk membentuk satu psikologi drama yang lebih trauma. Showalter memilih untuk memberi fokus pada watak Lowen sehingga sehingga kita sebagai penonton tidaklah begitu mendalami asbab mengapa Verity memutuskan untuk memalsukan sakitnya selain mahu membalas dendam pada suaminya.

Dan dendam itu pun tidaklah dibentuk dengan satu pernyataan yang solid sekadar cerita di balik surat dan manuskrip yang dibaca sahaja. Setidaknya saya mengharapkan Showalter menghadirkan satu babak yang memperlihatkan ketegangan hubungan suami isteri ini. Apa yang membuatkan mereka benar-benar memasak dendam to each other. Namun ia sepertinya saya membaca novel dengan bayangan dan imaginasi saya sahaja menerusi teks yang ditulis.

Filem ini ada premis yang sangat kuat dan menarik untuk difilemkan. Saya mengharapkan ia mampu setanding "Gone Girl" yang menjadi antara naskhah thriller dan drama yang paling baik diadaptasi. Namun Showalter banyak membuang masa dengan babak-bakal klise seperti makan malam di restoran dan berbasa basi di dapur. Sehingga di hujungnya berakhir terburu-buru hanya kerana mahu mengejar screen time yang ditetapkan penerbit.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down