Koleksi sedia-pakai kedua Chanel oleh Matthieu Blazy untuk Musim Luruh/Dingin 2026 membuka perbualan tentang metamorfosis jenama antara legasi Gabrielle Chanel dan visi masa hadapan.
“Chanel ialah sebuah paradoks. Chanel ialah fungsi, Chanel ialah fantasi. Chanel bersifat praktikal, Chanel juga mempesona. Chanel ialah siang, Chanel ialah malam. Ia melambangkan kebebasan untuk memilih antara menjadi ulat beluncas atau rama-rama pada bila-bila masa yang kita inginkan.” - Matthieu Blazy
Minggu Fesyen Paris tidak pernah berada dalam kalender saya. Apatah lagi menghadiri pertunjukan Chanel, satu nama yang selama ini terasa begitu ikonik, begitu jauh, sehingga berada di dalam Grand Palais dan menyaksikan koleksinya secara langsung kedengaran seperti sesuatu yang hampir mustahil. Namun, dunia fesyen kadangkala mempunyai cara tersendiri untuk membawa kita ke tempat yang tidak pernah dirancang. Mac lalu, saya sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri Minggu Fesyen Milan. Tetapi penerbangan tersebut dibatalkan. Apa yang pada mulanya kelihatan seperti satu masalah perjalanan akhirnya bertukar menjadi peluang yang tidak pernah saya jangkakan. Saya terbang ke kota Paris, dan untuk pertama kalinya berpeluang menghadiri pertunjukan Chanel secara langsung.
Berbanding beberapa pertunjukan Chanel terdahulu yang terkenal dengan set berskala besar dan spektakular, musim ini terasa lebih sederhana. Namun, ianya tidak kurang hebat impaknyaa. Melangkah masuk ke Grand Palais, saya disambut dengan deretan kren pembinaan dalam rona terang merah, putih, biru, hijau dan kuning. Ia kelihatan hampir seperti dunia yang belum siap dibina. Kemudian, apabila pertunjukan bermula, cahaya dimalapkan. Kren-kren tersebut diterangi satu demi satu sebelum model pertama muncul membuka pentas. Sebuah pembukaan yang cukup sederhana, tetapi mempunyai simbol yang kuat. Chanel sedang membina semula sesuatu.
Barisan hadapan pula cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja menoleh. Jennie Kim daripada BLACKPINK yang juga merupakan duta Chanel, hadir bersama bintang Thailand, Lorena Lalina Schuett, Natacha Taechamongkalapiwat dan Norawit Titicharoenrak atau Gemini. Turut kelihatan ialah Kylie Minogue, Olivia Dean, Margot Robbie, Mackenyu, Teyana Taylor dan Lily-Rose Depp. Tetapi seperti mana-mana pertunjukan Chanel, selebriti hanyalah sebahagian daripada cerita. Yang lebih penting ialah apa yang berlaku apabila lampu dipadamkan dan koleksi mula bergerak di hadapan mata.
Untuk koleksi sedia-pakai kedua Matthieu Blazy sejak dilantik sebagai Pengarah Kreatif Chanel, pereka kelahiran Perancis itu tidak cuba memadamkan sejarah masion agung ini. Sebaliknya, dia memilih untuk berkomunikasi dengannya. Tweed Chanel kekal sebagai taruhan utama, tetapi diberi nafas baharu. Lebih ringan, lebih muda dan lebih dinamik. Salah satu elemen yang paling menarik perhatian saya ialah siluet drop waist yang merujuk kepada era 1920-an. Ia dapat dilihat pada gaun dan skirt mini yang memanjangkan tubuh dengan cara yang cukup moden. Gaun-gaun hadir dengan perincian yang lebih playful, manakala palet pastel memberikan keseluruhan koleksi rasa yang ringan dan segar.
Di mata Matthieu, aksesori juga menjadi ruang eksperimen. Beg tangan dan kasut yang selama ini menjadi sebahagian daripada kod visual Chanel diberi interpretasi baharu. Kelihatan klasik tanpa perlu kelihatan seperti klasik. Dan mungkin di situlah kekuatan Matthieu, dia tidak cuba menjadikan Chanel sesuatu yang baharu. Dia cuba menjadikan Chanel relevan semula.
Pada asasnya, koleksi ini terasa seperti sebuah dialog antara dua dunia yang telah lama membentuk Chanel. Gabrielle Chanel terkenal kerana mengangkat sesuatu yang bersifat praktikal ke dalam dunia fesyen mewah. Beliau mengambil inspirasi daripada pakaian lelaki, pakaian pekerja dan kehidupan seharian, kemudian mengubah fungsi menjadi sesuatu yang bergaya. Tetapi Chanel juga tidak pernah kehilangan sisi fantasinya. Matthieu memahami dua sisi tersebut dan menjadikannya sebagai asas koleksi. Metamorfosis kepada imaginasi dan realiti moden hari ini.