It’s a celebration in New York City! Coach meraikan ulang tahun ke-85 dengan mempersembahkan koleksi Musim Bunga 2027 yang dihadiri barisan selebriti terkenal.

Coach mempersembahkan koleksi Musim Bunga 2027 di tengah kota New York dalam sebuah pertunjukan yang turut menandakan ulang tahun ke-85 rumah fesyen Amerika tersebut. Di atas pentas peragaan, siluet langsing dan potongan lurus bertemu material berkarakter loveworn, jahitan yang diperhalusi, konstruksi inside-out dan permainan kulit ekspresif. Serta perayaan sebuah pesta hari jadi.
“Untuk ulang tahun ke-85 Coach, saya memikirkan tentang memori dan bagaimana sesuatu yang kita kenali berubah apabila kita hidup bersamanya,” kata Pengarah Kreatif Coach, Stuart Vevers. “Saya tidak mahu menghasilkan sebuah retrospektif. Sebaliknya, kami mengambil idea-idea Coach yang sudah dikenali, membalikkannya, menyingkap konstruksi, melembutkannya dan meninggalkan jejak sebuah sambutan. Dengan 85 tahun di belakang kami, kami mempunyai keyakinan untuk melihat ke hadapan.”
Ikon Lama, Perspektif Baharu
Koleksi ini kembali kepada beberapa arketip yang selama ini membentuk visi Stuart untuk Coach. Daripada kot trench, jaket kulit dan tuksedo kepada gaun bias-cut serta but Western. Tailoring hadir dalam proporsi klasik yang lebih langsing dengan bahu bersih, lengan yang sempit dan seluar yang jatuh longgar sehingga berkumpul di buku lali. Siluet ini membawa sentuhan kemasan yang lebih terkawal kepada elemen jalanan dan rujukan subkultur yang sekian lama menjadi sebahagian daripada bahasa reka bentuk Stuart.




Palet warna bermula dengan kelabu dove, coklat lembut, hitam, putih dan rona kulit semula jadi. Sebelum berkembang kepada periwinkle, merah jambu lembut, hijau mint serta kemasan metalik reflektif. Labuci pula bergerak daripada permukaan coklat gelap kepada tona pastel yang lebih lembut. Elemen malam turut diselitkan sepanjang koleksi, membolehkan tailoring, kulit, kilauan dan gaun bias-cut bergerak bebas antara siang dan malam.
Jejak Sebuah Pesta
Semangat ulang tahun ke-85 tidak hadir dalam bentuk nostalgia yang konvensional. Sebaliknya, ia terasa seperti sebuah pesta yang mungkin baru sahaja berakhir. Kulit disapu dengan foil metalik keemasan dan keperakan, sementara serpihan konfeti diterapkan pada permukaan beg serta kasut. Kilauan glitter pula dicampur dengan pengilat kuku merah bagi menghasilkan kesan retak yang kelihatan seperti kemasan buatan tangan.
Mahkota, topi berujung runcing, reben, hadiah dan kad ucapan hari jadi diterjemahkan semula dalam kulit. Dengan perhatian terhadap perincian yang sama seperti diberikan kepada beg tangan dan pakaian luar Coach.
Kulit Yang Menceritakan Sejarah
Antara kemunculan utama koleksi ialah beg tangan Turnlock Tote baharu. Ia mengambil inspirasi daripada rekaan Coach pada 1970 dan menampilkan perkakasan turnlock yang diperkenalkan oleh Bonnie Cashin, pereka utama pertama rumah tersebut. Dihasilkan dalam kulit boarded dan suede, beg ini hadir dengan kemasan foil metalik yang disapu tangan, konfeti, glitter serta teknik menggunakan pengilat kuku. Ini memberikannya karakter yang terasa peribadi dan hampir seperti objek koleksi.
Inside-Out Brooklyn pula menyingkap konstruksi dalaman salah satu siluet Coach yang paling dikenali sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sementara itu, Tabby diberi nafas baharu menerusi kemasan dekoratif bertemakan pesta. Termasuk versi collaged Tabby yang menghimpunkan koleksi pouch Coach vintaj yang diperoleh dari pelbagai sumber ke dalam sebuah beg tunggal.

Sniker Dan But Western
Koleksi kasut turut memperkenalkan Hudson sniker baharu dengan proporsi langsing yang mengambil inspirasi daripada kasut tenis era 1970-an. Di samping but Western bersiluet santai yang diperbuat daripada kulit anak lembu. Kemasan metalik yang sengaja dilunturkan, konfeti serta rawatan glitter dan pengilat kuku memberikan setiap pasangan karakter yang seakan-akan dibuat khusus. Sebuah objek one-of-one yang tidak terlalu sempurna, tetapi justeru itu terasa lebih istimewa.
Sebuah Finale Yang Menjadi Pesta
Untuk penutup pertunjukan, langsir di belakang pentas peragaan dinaikkan. Mendedahkan kumpulan pemuzik daripada UpBeat NYC, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan pendidikan muzik percuma kepada golongan muda di Bronx. Konfeti kemudian memenuhi ruang, jatuh di sekeliling model, pemuzik, penari dan tetamu sebelum para penghibur membawa seluruh audiens ke Coach Club 85 yang merupakan tempat sambutan ulang tahun diteruskan.
Antara tetamu istimewa yang hadir ialah duta Coach, Elle Fanning dan SOYEON. Mereka turut disertai selebriti serantau termasuk rakan jenama dan pelakon Thailand, Nanon Korapat; pelakon Thailand, Love Pattranite; pelakon Indonesia, Syifa Hadju Rumi serta pelakon dan penyanyi Indonesia, Yasmin Napper.

