Berteraskan warisan keanggunan serta kepakaran penciptaan, Longines jenama jam tangan yang begitu halus dalam seni pembuatan mempersembahkan The Longines Master Collection serba baru yang direka semula sepenuhnya. Apa yang dihasilkan adalah sesuatu yang melangkaui batas gaya bagi menzahirkan karakter tersendiri buat wanita dan lelaki.
Lebih dua dekad diperkenalkan, koleksi ikonik ini kini dipertingkatkan dengan rangkaian model tiga jarum, kronograf fasa bulan, serta buat julung kalinya dalam sejarah The Longines Master Collection, kronograf monopusher diperkenalkan sebagai sebuah manifestasi ketelitian mekanikal dan keanggunan horologi yang menjadi warisan Longines.
Pelaksanaan ini mengimbau kembali salah satu lembaran penting dalam sejarah Longines. Seawal 1911, jenama ini memperkenalkan antara kronograf monopusher terawal yang direka khusus untuk dipakai di pergelangan tangan. Sehingga hari ini ia menjadi inovasi yang cukup signifikan.

Konsep tersebut kemudiannya diperhalusi pada tahun 1913 menerusi kaliber 13.33Z yang diiktiraf sebagai mekanisme kronograf bersaiz kompak pertama di dunia. Dibangunkan dalam pelbagai variasi, kaliber ini turut dikenali dengan ketepatan yang sekali gus memperkukuh reputasi Longines sebagai perintis dalam inovasi horologi.
Pentafsiran semula ini menjadi satu manifestasi yang merentasi zaman. Koleksi ini dipersembahkan dengan cukup elegan dalam satu kempen diberi nama Home of Elegence yang menampilkan kesemua duta jenama ini iaitu Kate Winslet, Jennifer Lawrence, Henry Cavill, Zhao Liying, Yosh Yu dan Eddie Peng.
Dalam dunia ini, setiap figura menzahirkan interpretasi kolektif terhadap gaya dan keanggunan yang melangkaui zaman, selari dengan karakter timepiece terbaharu daripada The Longines Master Collection.

