
Selepas mentakrifkan semula naratif feminiti moden sepanjang tempoh perkhidmatannya di Dior, Maria Grazia Chiuri kembali ke tempat yang begitu dekat di hatinya apabila mengambil alih haluan kreatif di Fendi. Kemunculan sulungnya menerusi Koleksi Fendi Musim Bunga/Panas 2026 menandakan permulaan bab baharu buat maison tersebut serta menjadi detik penilaian semula buat Maria. Baginya, Fendi tidak pernah dapat dipisahkan daripada Rom, sebuah kota di mana sejarah dan kemodenan sentiasa berada dalam perbualan yang berterusan.
Kepulangannya ke rumah fesyen ini mendorongnya untuk mempersoalkan semula peranan fesyen dalam kehidupan kontemporari serta tanggungjawab reka bentuk pada hari ini. “Permulaan baharu penting untuk refleksi diri,” katanya. “Ia mengajak kita untuk menilai semula apa yang telah dilakukan sebelum ini dan membuka ruang kepada kemungkinan serta arah yang baharu.” Di sebalik bab baharu ini hadir satu persoalan yang bakal membentuk visinya untuk Fendi: bagaimana pakaian boleh menjadi lebih daripada ekspresi gaya, sebaliknya berfungsi sebagai satu bentuk perlindungan dan kesedaran untuk individu abad ke-21? Di bawah, temu bual eksklusif bersama maestro yang kini sedang menulis lembaran baharu dalam sejarah Fendi.

ELLE: Selepas 25 tahun meninggalkan Fendi, anda kembali ke tempat di mana kerjaya anda bermula. Bagaimanakah semangat Fendi berubah sejak anda menyertainya pada tahun 1989?
Maria: Kembali ke maison yang memainkan peranan penting dalam pembentukan saya sebagai seorang pereka merupakan satu perasaan yang cukup mendalam. Dan begitu juga dengan kepulangan ke Rom, kota saya. The place where I belong. Fendi telah melalui pelbagai transformasi sepanjang tahun termasuk menjadi sebahagian daripada sebuah kumpulan besar seperti LVMH dan kini beroperasi dari Palazzo della Civiltà Italiana. Namun begitu, Fendi tetap Rom yang sentiasa bergerak seiring zaman tanpa pernah melupakan sejarahnya. Ia terus menyerap segala keindahan dan kuasa imaginasi yang dimilikinya.
E: Bagaimanakah kepulangan ke kota Rom mempengaruhi nada emosi atau estetik koleksi ini?
M: Saya sebenarnya tidak pernah meninggalkan kota ini walaupun ketika saya memegang peranan sebagai Pengarah Kreatif Dior. Pusat kepada segala-galanya bagi saya sentiasa Rom. Dan identiti saya sebagai seorang pereka Itali dan anak jati Rom sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA reka bentuk saya.
E: Maria pernah menyebut bahawa lima beradik Fendi merupakan sebuah "big school" buat anda. Bagaimanakah tahun-tahun awal bersama mereka membentuk arah kreatif penampilan sulung Musim Luruh/Sejuk 2026 ini?
M: Adik-beradik Fendi merupakan sumber inspirasi yang berterusan buat saya. Mereka memberi ruang untuk saya menguji kemampuan diri, memahami nilai kerja dan mengajar saya untuk tidak takut kepada idea baharu. Saya sentiasa menghargai kepentingan sesebuah pasukan dan memberi ruang kepada setiap individu untuk menyumbang. Malah, moto yang saya bawakan ke pentas peragaan kali ini ialah "Less I, more us", satu rumusan kepada cara saya mahu terus bekerja serta penghormatan kepada kesatuan kreatif lima beradik Fendi itu sendiri.

E: Anda menggambarkan detik ini sebagai sesuatu yang mengujakan dan pada masa yang sama mencabar. Apa yang paling mencabar kreativiti anda musim ini?
M: Ketika ini saya sedang berusaha untuk memperjelaskan konsep-konsep yang pada pandangan saya perlu mendefinisikan almari pakaian Fendi sama ada maskulin dan feminin. Saya mahu projek ini berkembang secara berterusan, menjadi sebuah proses yang memperhalusi dan mengembangkan idea tentang almari pakaian Fendi dari satu koleksi ke satu koleksi yang lain.
E: Anda merupakan antara segelintir wanita yang menerajui sebuah jenama mewah utama. Bagaimanakah perspektif ini mempengaruhi cara anda mereka bentuk untuk tubuh wanita?
M: Sudah tentu, menjadi seorang pereka wanita membuatkan saya mempunyai empati yang lebih mendalam terhadap keinginan dan keperluan wanita. Saya melihat tubuh wanita dengan rasa kasih sayang dan melalui lensa penjagaan. Namun begitu, saya juga merasakan mungkin sudah tiba masanya untuk kita tidak lagi melihat kreativiti melalui definisi jantina.
E: Boleh anda ceritakan tentang material dan tekstur yang dipilih serta bagaimana ia mencerminkan ketukangan rumah fesyen ini?
M: Saya berada di permulaan sebuah perjalanan yang menuntut saya mentakrifkan semula material dan tekstur untuk mencapai hasil yang tidak dijangka. Penyelidikan ini saya lakukan bersama bengkel-bengkel Fendi yang membantu saya dalam proses penciptaan pakaian dan aksesori yang bukan sahaja meraikan tradisi kami tetapi juga menghidupkan semula nilai dan kualiti warisan tersebut dari perspektif yang baharu.
E: Aksesori sentiasa menjadi nadi kepada Fendi. Apakah arah baharu yang Maria terokai untuk beg, kasut dan barang kemas musim ini?
M: Aksesori memainkan peranan yang sangat penting di Fendi dan juga dalam cara saya melihat fesyen. Ia merupakan elemen asas yang melengkapi sesebuah penampilan atau memberikan sentuhan peribadi kepada pemakainya. Musim ini, saya mengolah semula aksesori paling ikonik rumah fesyen ini, Baguette, sambil sekali lagi menyerlahkan kemungkinan yang dimilikinya. Saya turut memberikan pendekatan baharu kepada kasut serta memperkenalkan barang kemas dalam bentuk elemen almari pakaian seperti kolar dan cuff yang berfungsi sebagai sebahagian daripada pakaian itu sendiri.
E: Bagaimanakah Maria mentafsir semula kod-kod ikonik Fendi untuk audiens kontemporari?
M: Buat masa ini, saya lebih selesa mengatakan bahawa saya sedang bekerja dengan semua elemen yang membolehkan saya memfokuskan dan mendefinisikan semula alam semesta Fendi dengan pandangan yang sentiasa terarah kepada imaginasi masa depan.
E: Frasa "Less I, more us" begitu menyerlah dalam pertunjukan ini. Bagaimanakah idea ini mentakrifkan semula cara anda bekerja hari ini?
M: Pertama sekali, ia merupakan satu pernyataan niat. Satu penjelasan tentang cara saya bekerja. Ia mengingatkan saya tentang kepentingan bekerja bersama, berkongsi aspirasi dan keinginan tetapi juga tentang pentingnya memahami orang lain serta dunia di sekeliling kita.
Kepelbagaian tidak bermaksud memadamkan keunikan setiap individu atau kualiti yang dimiliki oleh setiap orang. Sebaliknya, ia bermaksud memperkasakan potensi setiap individu apabila kita bergabung tenaga untuk mencapai matlamat bersama.







