Langgan

Wanita di Sebalik Lensa: Naratif Lensa Annice Lyn

Penceritaan menerusi Lensa Annice Lyn.
2 minit untuk membaca
Published: July 28, 2026
Annice Lyn di Africa

Sebagai seorang wartawan foto kenamaan, kerjaya dan karya Annice Lyn telah pun melangkah megah ke persada dunia. Antara pencapaian yang paling dibanggakan ialah penggambaran muka hadapan majalah ‘Time’ bagi isu April 2021. Selain itu dia juga merakam empat edisi sukan Olimpik, menggalas tugas sebagai Penerbit Eksekutif bagi sebuah kempen serantau jenama Victoria’s Secret dan merupakan salah seorang pengasas bagi organisasi ‘Women Photographers Malaysia’. 

Fotografi Sebagai Medium Penceritaan

Marcelline Moli, atlet olahraga, Vauatu
Gambar ihsan Annice Lyn

Terdapat sesuatu yang menggugah jiwa dalam karyanya. Tanpa pertikaian, fotografi dianggap ramai sebagai sebuah medium visual, tapi bagi Annice, fotografi memainkan peranan yang lebih penting. Lebih daripada mengambil gambar yang cantik ia merupakan wadah bagi penceritaan dan cerminan sosial. Ia berupaya untuk membina persefahaman dan memupuk masyarakat untuk berhubung dengan dunia sekitar dengan lebih mendalam. “Minat saya adalah menghasilkan gambar yang mencabar perspektif, merangsang fikiran dan mencetus perbincangan yang bermakna,” terangnya.

Empati Yang Membentuk Setiap Bingkai

Komuniti Orang Asli di Pahang
Gambar ihsan Annice Lyn

Minatnya dalam kemanusiaan telah dipupuk sejak kecil lagi. Ibu bapanya selalu melibatkan diri dengan kerja amal dan menanamkan kepentingan memahami situasi orang lain. “Melihat mereka mengorbankan masa demi kebaikan orang lain mengajar saya bahawa perubahan yang bermakna bermula dengan empati,” kata Annice. Pendekatan ini telah pun membentuk etika kerjanya. Sebelum menangkap gambar, Annice akan meluangkan masa bersama subjek, mendengar cerita mereka, menjalinkan hubungan dan memperhatikan detik-detik yang menyerlahkan sesuatu yang autentik. 

Membina Legasi

Annice Lyn bersama pasukan Victoria Secret Asia Tenggara

Baginya, fotografi amatlah penting bagi menyuarakan naratif bermakna dan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Pegangan ini mendorong Annice untuk memupuk bakat baharu dalam dunia fotografi dan bidang kreatif. Menurutnya, kejayaan sebenar bukan sahaja diukur melalui pencapaian di pentas antarabangsa, tetapi juga melalui impak yang ditinggalkan dalam membantu orang lain berkembang dan membina sebuah industri yang lebih inklusif untuk masa depan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down