Praktikal, ringan dan sarat fungsi keselamatan, Airways Mivo menjadi pilihan sempurna saya sebagai bagasi kabin untuk menghadiri Milan Men’s Fashion Week.
Milan sentiasa bergerak pantas. Dari hiruk-pikuk Stesen Centrale, kepada deruan tren Metro yang tidak pernah berhenti sehinggalah lautan manusia yang memenuhi Piazza del Duomo. Kota ini menuntut setiap pengembara untuk sentiasa bersedia. Lebih-lebih lagi ketika Milan Men’s Fashion Week, apabila setiap minit menjadi sangat berharga dan setiap perjalanan antara pertunjukan fesyen perlu dilakukan dengan pantas.

Perjalanan saya bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Milan bagi menghadiri Milan Men's Fashion Week 2026. Seperti kebanyakan editor fesyen yang sentiasa berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain, saya memilih untuk membawa sebuah bagasi kabin. Ringkas, praktikal dan cukup untuk menemani beberapa hari yang padat dengan jadual pertunjukan fesyen, temu bual serta eksplorasi kota. Pilihan saya kali ini ialah Airways Mivo, koleksi bagasi terbaharu yang meraikan pertemuan antara seni, reka bentuk dan pengalaman mengembara.
Sebaik tiba di hotel yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Milan, saya terus menyedari betapa pentingnya memiliki bagasi yang mudah dikendalikan. Daripada menaiki tren metro sehinggalah berjalan di lorong-lorong batu bersejarah menuju ke Piazza del Duomo dan Galleria Vittorio Emanuele II, setiap perjalanan terasa lebih lancar apabila bagasi bergerak seiring langkah.


Empat roda 360° double spinner membolehkan bagazi Airways Mivo meluncur dengan stabil. Di lantai stesen metro mahupun laluan berbatu di sekitar pusat bandar. Pemegang teleskopik berbilang aras pula memberikan keselesaan ketika berjalan jauh sambil membawa kamera, komputer riba dan beg silang yang sentiasa menjadi teman setiap editor fesyen.
Antara Reka Bentuk dan Fungsi Keselamatan
Apa yang paling saya hargai ialah keseimbangan antara reka bentuk dan fungsi. Diperbuat daripada 100% polikarbonat, bagasi Mivo terasa kukuh tanpa memberikan beban berlebihan. Saiz kabinnya juga memudahkan saya bergerak dari lapangan terbang ke pengangkutan awam. Tanpa perlu memikirkan proses daftar masuk bagasi setiap kali menaiki penerbangan.
Aspek keselamatan turut diberikan perhatian menerusi TSA Lock serta anti-theft zipper. Ia memberikan ketenangan setiap kali saya meninggalkan bagasi di hotel atau ketika menaiki pengangkutan awam yang sesak.




Di dalamnya, ruang simpanan yang boleh dikembangkan memberikan fleksibiliti apabila pulang dengan lebih banyak barang daripada yang dibawa. Bagi sesiapa yang pernah menghadiri minggu fesyen, mereka pasti memahami godaan untuk membawa pulang buku lookbook, hadiah daripada rumah fesyen dan beberapa cenderamata dari butik-butik di sekitar kota.
Namun, Mivo bukan sekadar sebuah bagasi. Ia membawa naratif yang lebih artistik. Koleksi ini diinspirasikan daripada karya-karya agung seni dunia. Saya memilih Canary Yellow yang membangkitkan semangat Sunflowers oleh Vincent van Gogh. Sentuhan ini menjadikan setiap bagasi seolah-olah sebuah kanvas bergerak yang mengiringi setiap destinasi.
Airways Mivo boleh didapati di semua cawangan Universal Traveller dan gedung beli-belah terpilih.

