Langgan

Mengapa Rakyat Malaysia Semakin Gemar Percutian Singkat?

Trend percutian singkat kini adalah ‘luxury’ baharu buat rakyat Malaysia.
2 minit untuk membaca
Published: July 15, 2026

Semakin ramai rakyat Malaysia memilih konsep micro getaway. Percutian singkat selama tiga hingga empat hari yang cukup untuk berehat, menikmati pengalaman baharu dan kembali bekerja dengan lebih segar.

Trend ini bukan sekadar pemerhatian, malah disokong oleh laporan terkini daripada Trip.com Group yang menunjukkan perjalanan selama empat hari atau kurang meningkat sebanyak 34 peratus berbanding tahun lalu. Secara purata, rakyat Malaysia menghabiskan 3.4 hari bagi setiap percutian singkat, membuktikan bahawa hujung minggu panjang kini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melarikan diri daripada rutin harian.

Percutian Kini Menjadi Keutamaan

Separuh pertama tahun 2026 menyaksikan kalendar Malaysia dipenuhi dengan cuti umum dan hujung minggu panjang, sekali gus menyemarakkan minat rakyat Malaysia untuk mengembara. Menurut Trip.com Group, rakyat Malaysia turut mencatatkan purata penerbangan antarabangsa tertinggi bagi setiap individu di dunia, memperlihatkan bahawa melancong kini menjadi antara keutamaan gaya hidup.

Musim cuti sekolah pada Jun turut menyumbang kepada peningkatan tempahan hotel oleh keluarga yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah sebanyak 11 peratus berbanding tahun lalu. Pada masa sama, tempahan penerbangan ke luar negara meningkat 18 peratus, walaupun permintaan terhadap destinasi domestik kekal kukuh.

Destinasi Serantau Masih Menjadi Pilihan

Walaupun perjalanan jarak jauh terus menunjukkan pertumbuhan, destinasi serantau kekal mendominasi pilihan rakyat Malaysia.

Bandar seperti Singapura, Bangkok dan Jakarta masih menjadi destinasi kegemaran kerana lokasinya yang dekat serta sesuai untuk percutian hujung minggu. Namun begitu, Asia Timur semakin mencuri perhatian dengan Tokyo dan Guangzhou muncul sebagai destinasi yang mencatatkan peningkatan paling ketara tahun ini.

Tempahan ke Tokyo meningkat sebanyak 66 peratus, manakala Guangzhou pula melonjak 60 peratus berbanding Jun tahun lalu, menunjukkan minat yang semakin tinggi terhadap bandar-bandar yang menawarkan gabungan budaya, gastronomi, membeli-belah dan pengalaman bandar moden.

Malaysia Terus Menarik Pelancong Serantau

Bukan sahaja rakyat Malaysia semakin aktif mengembara, negara ini juga terus menjadi destinasi pilihan pelancong dari rantau Asia.

Tempahan penerbangan masuk ke Malaysia meningkat 19 peratus tahun ke tahun, dengan Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan China menjadi pasaran utama pelawat antarabangsa. Vietnam muncul sebagai pasaran yang berkembang paling pantas dengan peningkatan 39 peratus, diikuti Indonesia (34 peratus) dan China (28 peratus).

Tarikan mesra keluarga turut memainkan peranan penting dalam menarik pelawat. Antara destinasi paling popular di Asia Tenggara pada musim panas ini ialah Desaru Water Adventure Park, Entopia by Penang Butterfly Farm dan SplashMania Water Park, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman keluarga yang menyeronokkan.

Kredit gambar utama: Pexels.com

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down