
Di kota yang sentiasa bergerak pantas seperti Tokyo, hanya segelintir ruang mampu membuatkan seseorang berhenti seketika, mendongak dan menghayati setiap perinciannya. Butik global terbesar Onitsuka Tiger di Shinjuku merupakan salah satunya. ELLE Malaysia berpeluang menjadi antara tetamu terawal menyaksikan pembukaan ruang ikonik ini. Bukan sekadar sebuah butik, tetapi sebuah destinasi yang menggabungkan fesyen, seni bina dan budaya dalam satu pengalaman yang cukup imersif.
Sebuah Mercu Tanda Baharu di Shinjuku
Terletak di tengah-tengah nadi Shinjuku, butik seluas 1,837 meter persegi ini tampil menyerlah dengan fasad konkrit berwarna Tiger Yellow, rona signature yang telah lama menjadi identiti Onitsuka Tiger. Berdiri megah di celah landskap metropolitan Tokyo, bangunan ini tampil bak sebuah arca moden yang minimalis, berani dan mustahil untuk tidak mencuri perhatian.
Di sebalik fasad ikonik itu, butik ini direka berasaskan konsep vertical narrative, di mana setiap aras membawa pengunjung menyelusuri evolusi jenama menerusi permainan ruang, material dan warna. Inspirasi daripada seni pertukangan Jepun dipadankan dengan estetika reka bentuk Itali, menghasilkan sebuah pengalaman yang terasa sinematik dari satu tingkat ke tingkat yang lain.
Menghayati Setiap Aras, Menyelami Identiti Onitsuka Tiger

Tingkat pertama menyambut pengunjung dengan permainan material yang dramatik. Lantai hitam yang dipadankan dengan marmar Giallo Siena menyerlahkan palet warna ikonik jenama ini mencerminkan DNA Onitsuka Tiger—ringkas, kontemporari dan penuh karakter.
Di tingkat kedua pula, suasana berubah menjadi lebih artistik. Terrazzo hitam dengan percikan rona kuning menjadi latar kepada koleksi NIPPON MADE, rangkaian yang meraikan ketukangan premium Jepun. Perabot yang diinspirasikan daripada reka bentuk Itali era 1970-an melengkapkan ruang ini, mempertemukan dua budaya yang berbeza dalam harmoni yang cukup elegan.
Sementara itu, tingkat ketiga menawarkan pengalaman yang lebih tenang dan sofistikated. Marmar Rosso Lepanto, kemasan satin brass serta keluli tahan karat bertekstur halus mencipta atmosfera seakan sebuah galeri seni kontemporari. Setiap koleksi dipersembahkan dengan penuh teliti, membolehkan setiap siluet, tekstur dan perincian menjadi tumpuan utama. Di sinilah fesyen diraikan bukan sahaja sebagai pakaian, tetapi sebagai satu bentuk ekspresi seni.
Melengkapkan pengalaman tersebut ialah ruang mezzanine yang menempatkan kawasan hiburan pertama dalam sejarah Onitsuka Tiger. Pendekatan baharu ini menjadikan pengalaman membeli-belah lebih interaktif, sekali gus membuktikan bahawa butik moden kini berfungsi sebagai ruang untuk berinteraksi, bereksplorasi dan menghayati nilai sesebuah jenama.
Semua Dunia Onitsuka Tiger di Bawah Satu Bumbung

Sebagai butik global terbesar jenama itu, ruang ini menghimpunkan keseluruhan portfolio Onitsuka Tiger di bawah satu bumbung. Daripada Heritage, yang menghidupkan semula arkib ikonik jenama dengan sentuhan moden, kepada Contemporary, yang menampilkan koleksi terus dari pentas Milan Fashion Week, serta Formality menerusi rangkaian kasut elegan THE ONITSUKA. Setiap kategori memperlihatkan evolusi jenama yang kekal setia kepada warisannya sambil terus melangkah seiring landskap fesyen global.
Barisan Selebriti Memeriahkan Pembukaan
Pembukaan butik bertaraf global ini turut menjadi tumpuan dunia fesyen apabila dihadiri barisan selebriti, editor fesyen dan figura berpengaruh dari seluruh Asia. Antara yang mencuri perhatian ialah pelakon Thailand Milk Pansa Vosbein, yang tampil bergaya dalam estetika minimalis moden, dan bintang K-pop Jaemin dan Jeno daripada kumpulan NCT. Kehadiran mereka, bersama komuniti kreatif serta penggiat industri fesyen Tokyo, menghidupkan suasana yang meraikan pertemuan budaya, kreativiti dan gaya kontemporari.

