
Di Milan, Dior meneruskan dialog kreatifnya bersama pereka Perancis Noé Duchaufour-Lawrance melalui Dior Maison. Kolaborasi yang bermula sejak 2019 ini diperluas dengan penghasilan lampu Corolle baharu, sebuah eksplorasi artistik antara cahaya, material dan bentuk. Rekaannya menzahirkan hubungan sensitif antara manusia dan alam, diterjemahkan dalam objek yang menggabungkan inovasi, ketelitian dan keberanian estetik.
Inspirasi Warisan

Reka bentuk lampu Corolle ini diilhamkan daripada siluet ikonik ‘New Look’ ciptaan Christian Dior, khususnya lipatan lembut skirt Corolle yang feminin. Dihasilkan daripada kaca tiupan tangan mengikut tradisi Murano di Venice, setiap karya memperlihatkan kehalusan savoir-faire yang luar biasa. Struktur lampu yang mengalir menyerupai lipatan fabrik mencipta permainan cahaya yang halus dalam palet warna kelabu, merah jambu dan putih yang menjadi identiti Dior.
Seni Berterapkan Elemen Semula Jadi

Koleksi ini turut menampilkan rekaan berasaskan anyaman buluh madake yang dihasilkan sepenuhnya di Jepun. Ini tanda penghormatan Dior terhadap alam semula jadi. Teknik tradisional ini membentuk siluet seperti loceng dengan motif cannage, salah satu kod ikonik rumah tersebut. Gabungan kraf warisan dan pendekatan kontemporari ini menjadikan setiap karya sebuah objek seni yang merangkum esensi jenama itu, namun ditafsir semula dengan sensitiviti moden dan keindahan yang abadi.

“Semua aspek savoir-faire adalah unik kerana ia terikat dengan budi bahasa. Daripada seorang artis ke artis lain, daripada satu atelier ke atelier lain, budi bahasa mereka berbeza,” kata Noé Duchaufour-Lawrance.

