
Kilas balik di tahun 1957, OMEGA mencipta sejarah dengan penghasilan tiga model jam tangan yang hari ini menjadi ikon jenama ini. Seamaster 300, Railmaster dan Speedmaster yang pertama kali diperkenalkan disebut sebagai koleksi kolektif ‘Professional’.
Penciptaan asal Speedmaster yang asalnya sebagai penjaga masa dengan ketepatan tinggi berevolusi sebagai jam tangan kronograf. Claude Baillod mencipta model asal ini sebagai jam berdiameter 39mm yang buat pertama kalinya menampilkan skala tachymeter yang diukir pada bezel.
Pada tahun 1959, OMEGA memperkenalkan model Speedmaster yang telah dikemas kini, iaitu CK 2998. Reka bentuk bekas simetri dan kaliber 321 dikekalkan dengan pengenalan jarum baru ‘Alpha’. Versi aluminium cukup ikonik masih digunakan sehingga hari ini.
CK 2998 menjadi model yang dibeli secara peribadi oleh angkasawan Program Mercury iaitu Walter “Wally” M. Schirra dan Leroy G. “Gordo” Cooper, pada tahun 1962. Jam ini digunakan oleh Schirra ketika misi Mercury-Atlas 8 (Sigma 7), sekali gus menjadikan ia sebagai OMEGA Speedmaster pertama yang digunakan di angkasa lepas.
The Moonwatch
Tahun 1962 menciptakan satu lagi sejarah buat Speedmaster ketika OMEGA memperkenalkan generasi baru edisi ini yang diperbaharui dengan model 105.003. Menjadikan ia sebagai momen penting OMEGA, Speedmaster telah dipilih NASA sebagai jam tangan misi bulan pertama mereka.
Keupayaan jam tangan ini telah diperakui dan diuji dengan beberapa faktor penting seperti kesesuaian suhu, tekanan, kelembapan esktrem selain ujian ketahanan lainnya. Pada tahun 1965, OMEGA menerusi penciptaan ikonik Speedmaster berjaya melepasi kesemua ujian yang dilakukan bagi melayakkan ia mengikuti misi bulan NASA.
Menjadikan kisahnya cukup unik, OMEGA sendiri tidak dimaklumkan akan hal tersebut. Ia hanya disedari ketika Ed White dilihat menyarung jam tangan ini ketika dia melakukan aktiviti spacewalk pada bulan Jun 1965 sebagai sebahagian misi Gemini 4.
Pada tahun 2013, jenama ini memperkenalkan Speedmaster ‘57 OMEGA Co-Axial Chronograph, sebuah model inovatif terkini dalam keluarga Speedmaster. Antara elemen yang diperhalusi daripada penciptaan Speedmaster pertama adalah reka bentuk dengan dimensi yang lebih seiring daripada bekas dan pergelangan jam.
Pada tahun yang sama juga Speedmaster ‘Dark Side of the Moon’ diperkenalkan dalam penciptaan seramik yang lebih ringan. Kaliber Co-Axial 9300/9301 menyerap semangat misi angkasa Apollo 9.
Menjadikan perjalanan Speedmaster ini lebih menarik, pada tahun 2017 sebuah filem dokumentari berjudul ‘Starmen’. Menerusi filem berdurasi 12 minit ini, satu eksplorasi penciptaan Speedmaster dipertontonkan dengan terampilan duta jenama iaitu aktor, George Clooney dan angkasawan Apollo 11 iaitu Buzz Aldrin.
Kronologi Speedmaster
1957: OMEGA melancarkan Speedmaster (CK2915) kornograf dengan kaliber 321.
1959: Speedmaster (2998) diperkenalkan dengan bezel hitam, tachymeter dalam saiz 40mm.
1962: Generasi baru Speedmaster diperkenalkan di pasaran dengan nombor rujukan 105.002 dan tahun berikutnya 105.003.
1969: Speedmaster 105.012 menjadi jam tangan pertama yang dibawa ke bulan.
1969: OMEGA memperkenalkan kaliber 861 dengan rujukan 145.022.
1970: OMEGA menerima pengiktirafan NASA Snoopy Awards.
1996: Kaliber 1861 diperkenalkan
2013: Koleksi OMEGA Speedmaster ‘57 diperkenalkan dan dikuasakan dengan kaliber bari Co-Axial 9300/9301.
2017: Filem dokumentari berjudul ‘Starmen’ diterbitkan.
2019: Kaliber 3861 diperkenalkan.

