Langgan

Upcyling Sebagai Ekspresi Kreatif

Upcycling kini muncul sebagai alternatif ‘cool’ dan bergaya bagi ramai gen Z, sekali gus menjadi cara untuk tampil berbeza tanpa menggayakan trend mainstream.
4 minit untuk membaca
Published: May 26, 2026
Gambar: Pinterest

Upcycling bukan lagi sekadar amalan kelestarian, sebaliknya kini muncul sebagai salah satu pernyataan gaya yang tidak dijangka dalam kalangan gen Z. Apa yang dahulunya sering dikaitkan dengan penggunaan semula, pembaikan atau pengubahsuaian pakaian (yang dianggap kurang menarik) kini telah berevolusi menjadi satu trend yang lebih jelas dan bermakna. Ia menjadi cara untuk tampil bergaya dengan lebih cool dan unik, tanpa perlu berbelanja berlebihan seperti dalam dunia fast fashion atau terikat dengan trend yang sudah terlalu mainstream.

@hxq13 upcycled a thrifted kimono and an old kurta for my baju raya this year 🙂 #upcycling #bajuraya #raya #eid #sewing #fashiontok ♬ original sound - K.A.B.U.S Kota Mahsuri

Di platform seperti TikTok, upcycling hadir dengan nafas baharu yang lebih segar, berani dan penuh imaginasi. Apabila kata kunci ‘upcycling’ ditaip, paparan skrin akan dipenuhi dengan pelbagai idea dan cara transformasi yang luar biasa. Antaranya termasuk rekaan baju Melayu daripada thrifted kimono dan kurta lama oleh Haq Azli (@hxq13), dress daripada jean terpakai oleh Eishin (@eiishiinn_), busana hari jadi berinspirasikan botol plastik oleh Annelise Marie (@annelisemarie), transformasi jaket Adidas thrifted kepada rekaan jean baru oleh Madeleine (@villains_degencreation) serta banyak lagi kandungan kreatif yang lain. 

@villains_degencreation Adidas thrift flip!! 🤭. #thriftflip #streetwear #upcycledfashion #customclothing #oneofone ♬ original sound - khuluukk

Menghidupkan Semula Helaian Lama

Daya tarikan hasil transformasi ini bukan sekadar terletak pada kreativiti, malah pada nilai eksklusifnya yang hampir mustahil untuk direka semula dengan tepat. Setiap rekaan berdiri sebagai hasil tunggal – walaupun konsep yang sama boleh diulang, hasil rekaannya mungkin tidak sama. Ini kerana setiap helaian datang daripada bahan upcycle atau helaian thrifted yang tidak sama, dengan setiap satunya membawa karakter dan nilai yang berbeza. Ditambah juga dengan visi, sentuhan tangan dan interpretasi yang tersendiri, setiap rekaan benar-benar menjadi one-of-a-kind.

Bagi ramai gen Z, fesyen bukan lagi sekadar soal membeli pakaian. Ia adalah tentang identiti, ekspresi diri dan juga cara untuk tampil berbeza dalam dunia yang bergerak terlalu pantas. Dalam budaya di mana trend berubah setiap minggu dan estetika sentiasa berulang, upcycling menawarkan sesuatu yang berbeza: keunikan yang lahir daripada apa yang sudah dimiliki. Ia memberi ruang untuk mengubah pakaian sedia ada menjadi sesuatu yang lebih peribadi, seolah-olah dapat memberikan magis baharu pada helaian lama atau pun yang sudah jemu dipakai. Pada masa yang sama, ia juga membuka kebebasan untuk mencipta wardrobe peribadi yang lebih autentik dan stylish, tanpa perlu bergantung pada trend semasa.

Selain itu, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan kitaran trend yang tidak pernah berhenti, membeli pakaian baharu setiap masa bukan lagi satu pilihan yang realistik. Lebih-lebih lagi bagi anak muda yang baru memulakan kehidupan dan sedang membina masa depan sendiri. Dalam situasi ini, upcycling dan thrifting menjadi jalan tengah yang paling ideal. Ia jauh lebih menjimatkan berbanding membeli helaian baharu secara berterusan, sekali gus memberikan ruang untuk tampil lebih ekspresif daripada sekadar mengulangi outfit yang sama. Dan sejujurnya, siapa yang mahu memuat naik look yang sama berulang kali di feed Instagram? That’s just not cute.

Lebih menarik, apa yang benar-benar menjadikan video upcycling ini meraih jumlah tontonan yang tinggi adalah proses transformasinya. Di platform seperti TikTok dan YouTube, bukan sahaja momen ‘before and after’, malah video tutorial daripada proses potongan fabrik, jahitan hingga ke hasil akhir membuatkan penonton terus terpaku pada skrin. Setiap perubahan, daripada sesuatu yang biasa kepada sesuatu yang lebih kreatif dan menarik, memberikan kepuasan visual yang sukar digambarkan. Ada juga penonton yang sanggup kembali ke saluran tersebut semata-mata untuk melihat kesudahan proses, terutamanya apabila video itu dipisahkan kepada beberapa bahagian. Ini bukan sahaja memberikan keseronokan kepada penonton, malah turut menyuntik inspirasi untuk menghasilkan karya upcycling sendiri.

Realiti Sebenar Upcyling

Namun, walaupun upcycling kelihatan mudah dan menyeronokkan di media sosial, ada satu realiti yang menjadikannya sukar untuk direalisasikan. Hakikatnya, proses tersebut memerlukan kemahiran, peralatan serta komitmen masa yang panjang. Selain daripada itu, bukan semua individu mempunyai pendedahan kepada asas jahitan, kefahaman tentang pola atau keyakinan untuk mengubah suai pakaian sendiri. Ramai juga yang cuba untuk menjadi kreatif, tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan dan akhirnya berakhir di tong sampah. Inilah juga antara sebab utama upcycling lebih mudah dinikmati sebagai tontonan berbanding dipraktikkan secara meluas.

Melihat Pakaian Daripada Lensa Baharu

Meskipun begitu, pengaruh upcycling tetap mengubah cara gen Z melihat pakaian. Nilai sesebuah pakaian kini tidak lagi diukur berdasarkan status ‘baharu’, tetapi pada potensi yang boleh diterokai daripadanya. Item thrifted bukan lagi sekadar alternatif yang lebih murah, tetapi ruang untuk mencipta gaya yang lebih peribadi dan berbeza.

Dalam erti kata lain, upcycling membawa penolakan halus terhadap logik fast fashion. Ia membuktikan bahawa gaya tidak semestinya lahir daripada tabiat membeli lebih banyak, tetapi daripada keupayaan untuk mentafsir semula apa yang sudah wujud dan memberikan makna baharu kepadanya.

Gambar: Pinterest

Sama juga seperti estetika distressed dan deconstructed yang kini menjadi kegilaan, upcycling turut membawa bahasa visual yang sama. Ia tidak sempurna, tetapi penuh karakter. Dan mungkin itulah yang menjadikannya begitu dekat dengan gen Z. Jelas, berfesyen bukan hanya tentang apa yang dibeli tetapi tentang bagaimana kita menggayakan atau mengubah sesuatu itu menjadi lebih cool dan bermakna.

 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down