Langgan

Pure and Simple: Kemeja Putih Kekal Relevan Sepanjang Zaman

Kemeja putih yang bersahaja muncul sebagai hero dari Musim Bunga/Panas 2026.
Oleh | TERJEMAHAN Hizral Faiz Rozeman
3 minit untuk membaca
Published: May 15, 2026
kemeja putih
Sumber: ELLE US

Apabila Nicole Kidman tiba di pertunjukan Chanel Musim Bunga/Panas 2026, keterujaan semua orang dapat dirasai. Walaupun dia merupakan figura tetap di karpet merah, pelakon berusia 58 tahun itu jarang kelihatan di barisan hadapan pertunjukan fesyen. Tetapi bukan sahaja kehadiran Nicole yang menarik perhatian ramai, kemeja putih yand disarung juga menjadi tumpuan. 

Di pertunjukkan fesyen, tetamu VIP selalunya lebih berdandan dan jarang berpakaian santai. Namun, kemeja putih Nicole yang polos, ringkas dan berpotongan longgar – dipakai tanpa dimasukkan ke dalam seluar jean – hadir seolah-olah pencuci mulut. Hasil kolaborasi antara Chanel dan Charvet (jenama pakar baju Perancis berusia 188-tahun yang merupakan label kegemaran Coco) ia merupakan lembaran baru versi sartorial, metafora yang tepat bagi penampilan sulung Matthieu Blazy. 

Kebangkitan Kemeja Putih di Pertunjukan Musim Bunga/Panas 2026

kemeja putih
Sumber: Launchmetrics Spotlight (Carolina Herrera)

Dalam musim yang menyaksikan perubahan besar, pembaharuan tenaga dan idea segar, kebanyakkan pereka – termasuk Louise Trotter di Bottega Veneta dan Sarah Burton di Givenchy – menandakan penampilan sulung mereka dengan kemeja putih. Ia juga muncul di Calvin Klein oleh Veronica Leoni, Sacai oleh Chitose Abe, Carolina Herrera dan Stella McCartney. 

Bukan kebetulan sahaja yang semua pereka ini adalah wanita. Jika kemeja putih dianggap helaian asas dalam almari lelaki, bagi wanita pula ia hampir menjadi satu keperluan. Saya sendiri telah melalui pelbagai fasa kehidupan dengannya – daripada versi berkolar keras sebagai sebahagian daripada uniform sekolah menengah (easycare, dibeli dalam pek bertiga dari John Lewis) hingallah versi lembut yang masih kemas untuk dipakai di pejabat.

Kemeja Putih Dalam Dunia Kerjaya Fesyen

kemeja putih
Sumber: Launchmetrics Spotlight (Stella Mccartney)

Sebagai seorang editor fesyen, kemeja putih bukanlah pilihan yang saya capai setiap kali bersiap, apatah lagi dalam dunia penerbitan di mana pasukan fesyen sering dijangka tampil lebih eksentrik. Walaubagaimanapun, kemeja putih tetap pilihan asas bagi apa-apa majlis yang memerlukan sebarang formaliti. Makan tengahari bersama Ketua Pengarang? Temuduga? Foto byline? Kemeja putih sesuai untuk apa jua keadaan. Tidak kira betapa penat atau tidak bersedianya seseorang itu, ia tetap tampak segak dan memberikan aura profesional. Walaupun sekadar bercakap secara spontan tentang topik rawak.

Bagi perunding fesyen Carolyn Asome, hanya ada satu sahaja item yang akan dipakai apabila menghadapi prospek seram membentangkan jenama topi lestarinya, L’Hood di Dragon’s Den, kemeja putih kegemarannya daripada Jill Sander untuk Uniqlo. “Kemeja putih membuat saya rasa segak dan teratur,” jelasnya. “Ia bagaikan satu perisai, tetapi bukan dengan cara yang ketara seperti jaket berpotongan khas. Ia menyampaikan ‘serius’ tanpa terasa ‘kaku’, dan saya menyukai bagaimana ia menggabungkan unsur feminin dan maskulin. Saya juga tertarik dengan idea memiliki sejenis pakaian seragam.”

Versatil dan Kekal Relevan

kemeja putih
Sumber: Launchmetrics Spotlight (Stella Mccartney)

Walaupun zaman persekolahan telah lama berlalu, idea tentang pakaian seragam masih terasa menggoda. Tidak seperti skirt berlipat atau blazer, kemeja putih pada asasnya sangat versatil. Dengan memasukkannya ke dalam skirt pensel atau seluar jean, anda serta-merta kelihatan kemas dan segak. Dipakai secara longgar pula, ia berubah menjadi gaya santai yang selesa dan mesra bentuk, sesuai untuk pelbagai acara. Bagi saya, kemeja putih juga antara segelintir helaian yang memberi rasa neutral dengan cara yang tenang. Mungkin kedengaran sedikit paradoks, namun ada kelegaan dalam kesederhanaannya. Kemeja yang tepat akan menyelubungi tubuh seperti awan, membolehkan diri terasa terlindung tanpa mengorbankan gaya.

Simbol Gaya yang Tidak Pernah Pudar

Sumber: Launchmetrics Spotlight (Givenchy)

“Kemeja putih bermula dengan niat,” kata Zac Posen, Timbalan Presiden Eksekutif dan Pengarah Kreatif bagi Gap Inc yang pada musim panas yang lepas telah mengenakan  Anne Hathaway dengan maxi dress berkain kapas putih yang berdasarkan bayangan semula kemeja putih (reka bentuk itu habis dijual setibanya dalam pasaran). “Segak, bersih, dan tenang, ia menampilkan kemodenan senyap yang dilembutkan lagi dengan kedekatannya dengan badan. Kolar, manset, garis leher, semuanya berfungsi seperti ungkapan. Ia membentuk wajah dengan cara yang sama seperti kening dan sebuah senyuman dengan halus tapi tepat. Tarikan sebuah kemeja putih terletak di atas cara ia mendedahkan dan mengekalkan kehadiran.”

Bukan semua kemeja putih dicipta sama. Seperti bra dan seluar jeans, mencari kemeja putih yang tepat memerlukan masa yang panjang dan mungkin berlanjutan sepanjang hayat. Itulah sebabnya koleksi saya sendiri begitu luas, merangkumi jenama seperti COS, M&S, Zara, Tommy Hilfiger, Vilshenko serta Atea Oceanie yang kini sudah tidak lagi beroperasi. Saya teringat Katherine Hepburn dengan kemeja maskulinya, Jane Birkin dalam kapas yang ringan dan berangin, Princess Diana yang memakainya dengan jeans secara kasual, Sade yang menggayakannya dengan anting-anting gelung emas dan gincu merah serta Diana Taverner, watak ketua MI5 dalam ‘Slow Horses’ (lakonan Kristin Scott Thomas). Mereka semua menampilkan kemeja putih dengan begitu cemerlang. Saya mungkin tidak akan pernah kelihatan chic dan selamba seperti mereka tetapi dengan kemeja putih, sekurang-kurangnya saya boleh berpura-pura.

Teks asal daripada Laura Craik.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down