Langgan

GENIUS LOCI - Peta Khazanah Kehidupan Valentino Garavani

The Last Emperor of Fashion
5 minit untuk membaca
Published: April 1, 2026

Dari Rom, Paris, Capri, Switzerland ke kota London dan New York, menjadi titik kardinal dalam peta khazanah peribadi, sentimental dan profesional yang membentuk kehidupan Valentino Garavani. Bukan sekadar destinasi, tetapi ruang yang membentuk sejarah dalam mempengaruhi naratif gaya sepanjang kehidupannya. Oleh Luca Lanzoni.

valentino garavani

Ibu kota, sudah tentu Paris. New York, tentu sekali. East London. Tetapi juga Tuscany, di mana terletaknya Villa La Vagnola yang indah di Cetona. Sebuah destinasi percutian yang telah dijual beberapa tahun lalu. Dan Los Angeles (lebih tepatnya Hollywood), Capri, calet Gifferhorn di Gstaad. Dari Swiss Alps hingga ke piramid. Atau lebih tepat, ke “piramid”, pendiang Ledoux yang menghiasi salah sebuah bilik yang direka semula bersama Renzo Mongiardino di Château de Wideville yang mempesona, di Davron-Crespières, salah satu kediaman paling digemari.

Melukis peta lokasi-lokasi dekat di hati Valentino Garavani ibarat melakar peta harta karun di seluruh dunia. Kosmopolitan dari segi budaya, pengembara dunia kerana profesion. Jet-setter sebelum istilah itu wujud dan pencinta Absolute Beauty (ditulis dengan huruf besar). Valentino bukan sekadar pemilik mahligai dan kediaman megah di seluruh dunia. Beliau mendiami dunia dengan semangat  seorang yang menganggap pengembaraan itu sebagai satu pendidikan gaya. Mungkin, dalam kalangan yang sezaman dengannya, hanya seorang lagi duta agung keanggunan Itali yang menjelmakan idea dunia sebagai pentas iaitu Gianni Agnelli (tidak hairan Marella, bersama semua ‘angsa-angsa’ Truman Capote yang merupakan antara pelanggan paling setia).

Di rumah, dan dengan rumah-rumahnya, dari satu sisi lautan ke sisi yang lain. Seorang pengunjung tetap yang berkulit sawo matang di resort percutian paling bergaya (sering menaiki kapal layar T.M. Blue, dengan inisial ibu bapanya, Teresa dan Mauro), “mengikuti” beliau dalam rencana ini adalah satu usaha di mana geografi bersatu dengan sejarah fesyen dan biografi peribadinya. Sebuah mikrokosmis perhentian hangat dan tempat (serta mahligai) yang mesti dikunjungi, glamor dan berkilauan seperti foto Slim Aarons. Di mana Vavà atau nama panggilan oleh sahabat rapat melalui hidupnya dikelilingi anjing pug peliharaan. Dan Valentino Tribe yang tidak dapat dipisahkan (sebagaimana beliau suka menyebutnya di media sosial). Mereka merupakan sekumpulan sahabat yang pada hakikatnya ialah keluarga pilihannya.

savoy london
Valentino di Savoy Hotel semasa melawat ke London. (Photo by Ron Case/Keystone/Getty Images)

Antara estet dan hartanah dengan galeri setaraf muzium (mereka yang pernah ke sana pasti akan menceritakan tentang karya Picasso yang mengagumkan di bangunan Holland Park, Kensington). Hotel juga restoran seperti Indochine di New York sebagai metropolis di mana beliau memiliki penthouse menghadap Park Avenue yang sarat dengan karya seni. Serta lokasi hangout dan kelab, pertama sekali Studio 54 yang menyaksikannya menganjur hari jadi dan pertunjukan fesyen (pada 1979 untuk koleksi Jeans, dan dirakam oleh Bruce Weber yang ketika itu masih belum dikenali).

Valentino tidak pernah memisahkan antara keterbukaan dan privasi (lebih-lebih lagi selepas kemunculan Instagram yang terus menjadi kegemaran). Dalam gaya hidup sofistikated dan nomad yang menjadi sumber inspirasi pertama fesyennya yang flamboyan. Dan pementasan teater di seluruh dunia, bermula di Barcelona yang di mana pada usia sangat muda beliau terpikat dengan warna merah sehingga menjadikannya warna signature. Mereka kostum untuk persembahan, opera dan balet, atau menganjurkan pesta dan cara pelancaran (yang tidak dapat dilupakan adalah untuk haruman homonimus di Théâtre des Champs-Élysées pada 1978, dengan persembahan Mikhail Baryshnikov, majlis makan malam di Maxim’s dan pesta di Le Palace), hingga ke teater paling dicintainya iaitu Teatro Valentino Garavani di kampung halamannya, telah dinamakan semula sebagai penghormatan kepada dirinya.

Ibu Kota Couture Valentino

Potret di Vila Latizia di Appia Antica, Rom - tempat beliau menghabiskan bertahun hidupnya dan meninggal dunia pada 19 Januari 2026.

Sebuah alam semesta Valentino dengan pusat graviti yang tidak terganti, Rom. Dengan ibu kota itu, couturier ini menjalin sebuah kisah cinta abadi. Di sinilah PM23 berpusat, yayasan yang ditubuhkan bersama Giancarlo Giammetti yang menghimpunkan legasi artistik dan spiritualnya serta menterjemahkannya ke dalam misi filantropi berasaskan tiga tonggak iaitu solidariti sosial, promosi budaya dan sokongan bakat. Ibu pejabatnya (baru diubah suai) terletak di Piazza Mignanelli 23 yang ikonik. Bersebelahan Piazza di Spagna dengan alamat yang memasuki mitologi fesyen dan bahkan digelar sebagai ‘Piazza Valentino’. Tempat ini pada 1983, beliau memperagakan koleksi di luar buat kali pertama di hadapan lebih seribu tetamu. Rom juga dipilih sebagai “adieu” yang penuh bergaya pada 2007. Satu perpisahan imperial bersempena ulang tahun ke-45 kariernya, yang berlangsung selama beberapa hari dan diraikan tetamu utama dari seluruh dunia. Acara kemuncak pameran retrospektif agung Valentino di Roma: 45 Years of Style di Muzium Ara Pacis yang dibuka semula selepas renovasi panjang khusus untuk acara itu. Hubungan dengan Rom sebenarnya jauh lebih lama.

Di sinilah Valentino memulakan langkah pertamanya selepas kembali dari Paris. Tempat beliau belajar di École de la Chambre Syndicale dan pada usia muda menjadi perantis di Balenciaga sebelum memasuki atelier Jean Dessès, pereka asal Perancis-Mesir yang terkenal dengan seni draping dan digemari klien antarabangsa. Daripada Ratu Federica dari Greece hingga María Félix yang cukup magnetik. Kemudian beliau berkhidmat dengan Guy Laroche dan mengikuti pereka yang dikenalinya di Dessès yang telah membuka rumah fesyen sendiri. Tidak lama kemudian Valentino melakukan perkara sama. Bermula di Via Condotti dalam kerjasama profesional dan sentimental dengan Gérald Nanty, “bel de nuit” dan pemilik kelab malam hangat di Paris, dari Colony hingga Mathi’s di Rue de Ponthieu. Kemudian di alamat legenda Via Gregoriana 54. Di tengahnya, pertemuan yang mengubah segalanya dengan Giancarlo Giammetti, yang menjadi pasangan hidup dan bisnes. Mereka bertemu di Via Veneto era La Dolce Vita (ditulis dengan huruf besar sebagai penghormatan kepada Fellini), di Café de Paris atau Bat. Versinya berlipat ganda, bahkan dalam kisah mereka sendiri, seperti yang diceritakan dalam filem dokumentari legenda, “Valentino: The Last Emperor’.

Makmal, salon, atelier, barisan puteri raja, wanita cantik, editor majalah fesyen terkemuka tiba di Via Gregoriana, diikuti ratu-ratu Hollywood di Tiber. Bermula dengan Liz Taylor yang berada di Rom untuk penggambaran ‘Cleopatra’, memilih gaun putih untuk tayangan perdana epik ‘Spartacus’.

Jacqueline Kennedy
Geography of A Life Valentino bersama Jacqueline Kennedy, ketika itu sudah berkahwin dengan Onassis, pada musim panas 1970 di Capri.

Putih, satu lagi warna bertuah buat couturier ini. Selepas beberapa pertunjukan tertutup di Rom, beliau membuat debut rasmi di White Room, Palazzo Pitti. Ia diiringi tepukan gemuruh dan barisan tempahan, dan pada saat terakhir penghujung festival Florence, pada 19 Julai 1962. Di White Room juga, pada 1968, diperagakan White Collection legenda dengan gaun pendek organza putih bersulam bunga manik dan permata yang dipilih Jacqueline Kennedy untuk perkahwinannya dengan Aristotle Onassis di Skorpios. Dirakamkan meluas, diraikan cukup tinggi, direplikasi secara rasmi lebih tujuh puluh kali, lantas menobatkan Valentino di puncak Olympus.

Dari situ, keputusan mempersembahkan himpunan Haute Couture mula-mula di Rom. Kemudian di dua lokasi dengan Paris, dan akhirnya hanya di Paris. Pada pertengahan 1970-an Valentino Garavani sudah mempersembahkan koleksi Boutique atau sedia-pakai. Bergiliran antara hotel besar seperti George V dan lokasi luar biasa seperti Cirque d’Hiver. Akhirnya menubuhkan ibu pejabat di “sudut” megah Place Vendôme di dataran sama dengan Ritz. Tempat selama bertahun-tahun menjadi pilihan ramai, termasuk penulis mendongak berharap melihat di sebalik lampu candelier kristal yang sentiasa menyala hingga subuh. Siluet di samping premiere dan petites mains yang bekerja dengan jarum dan benang.

Paris yang dicintai, dan sentiasa mencintainya kembali. Gallia, maaf buat Perancis yang selalu dipuja. Namun beliau sentiasa pulang sebagai pemenang, seperti Caesar ke ketenangan vilanya di Appia Antica, tempat beliau meninggal dunia beberapa hari lalu. Antara rumah, atelier dan mahligai, Valentino Garavani membina sebuah empayar daripada tempat, visi dan gerakan. Bukan sekadar alamat, tetapi bab-bab autobiografi yang estetik. Kerana, seperti mana-mana maharaja sejati, Valentino bukan hanya menggayakan dunia, beliau mendiaminya dengan penuh gaya. (kolaborasi bersama Anna Bogoni).

new york
Valentino di New York City bersama wartawan dan ikon fesyen, Diana Vreeland, sahabat karibnya pada 1977. (Photo by Lynn Karlin/WWD/Penske Media via Getty Images)

Terjemahan: Muzammin Muzlan

Foto: Getty Images, Courtesy Archivio Valentino

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down