Beberapa hari yang lalu, sebuah majlis anjuran jenama kecantikan The Body Shop telahpun diadakan bagi merai ulang tahun globalnya yang ke-50 pada tahun ini. Mengambil tempat di butik mereka yang berlokasi di Suria KLCC, The Body Shop turut menganjurkan majlis pencapaian cek buat tiga rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jangka panjang iaitu Tenaganita, Yayasan Chow Kit juga Hopes Malaysia. Tiga buah badan yang kekal memperkasakan komuniti tempatan di samping mencipta impak sosial yang positif.

Acara ini menyaksikan Datin Mina Cheah yang juga merupakan Pengarah Urusan InNature Berhad dan pemilik francais The Body Shop Malaysia menyampaikan cek kepada wakil setiap organisasi iaitu Glorene Das, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Dato’ Dr Hartini, pengasas Yayasan Chow Kit dan Aaron Bosuang, Eksekutif Perhubungan Awam Hopes Malaysia.
Sumbangan ini berjaya dikumpulkan menerusi inisiatif Gifts for Good oleh The Body Shop di bawah Kempen Wrapped in Love Holiday 2025 yang mana bagi setiap RM100 yang dibelanjakan di stor jenama ini, RM1 akan diperuntukkan kepada rakan badan kebajikan pilihan pelanggan. Maka, menerusi kempen ini, sejumlah RM63,267 telahpun berjaya dikumpulkan dan kemudian diagihkan kepada ketiga-tiga NGO berkenaan bagi menyokong inisiatif berterusan mereka.

Pemberian cek kepada Dato' Dr Hartini, Pengasas Yayasan Chow Kit
The Body Shop terus memperkukuh kerjasama bersama Tenaganita, Yayasan Chow Kit dan Hopes Malaysia. Satu jalinan kerjasama yang berteraskan nilai bersama serta komitmen terhadap impak yang bermakna. Kolaborasi berterusan ini mencerminkan tujuan The Body Shop sebagai jenama yang diinspirasikan oleh alam semula jadi, dipandu oleh nilai murni serta komited dalam mencipta perubahan positif yang signifikan melangkaui dunia peruncitan.

Pemberian cek kepada Glorene Das, Pengarah Eksekutif Tenaganita
“Daripada sekian banyak NGO yang ada, kami memilih tiga rakan yang amat istimewa iaitu Tenaganita, Yayasan Chow Kit dan Hopes Malaysia, yang benar-benar mencerminkan kepercayaan kami bahawa perniagaan boleh menjadi kuasa untuk kebaikan. Kepercayaan ini sentiasa menjadi teras The Body Shop, dan juga amat dekat di hati saya secara peribadi. Saya percaya apabila sesebuah perniagaan menggunakan suara dan platformnya untuk melakukan kebaikan, kita mampu mempengaruhi dunia secara bermakna. Melalui sumbangan ini, kami berharap untuk membuktikan bahawa setiap pemberian kecil mampu mencipta impak yang berkekalan kepada individu, komuniti dan juga planet kita,”
-Datin Mina Cheah

Datin Mina Cheah
