Tidak mudah untuk saya terpikat pada lambakan bedak asas yang terjual di pasaran. Ada yang mungkin ‘tidak kena’ dengan kondisi kulit saya yang mana adakalanya kering, adakalanya berminyak. Ada yang mungkin bedak asasnya terlalu tebal seolah tidak nampak natural untuk saya yang oleskan secara harian. Jika bedak asas terlalu ringan dan tidak mampu menutupi cela di wajah juga adalah menjadi satu masalah buat saya yang sentiasa menginginkan keseimbangan yang sempurna.
Secara jujurnya, saya sudah mendengar perbualan rancak tentang bedak asas daripada Armani beauty ini bertahun lamanya. Bekerja rapat dengan jurusolek profesional, mereka sering mencadangkan bedak asas terbaik dan Luminous Silk sentiasa menjadi antara piihan pertama mereka. Berbual bersama teman pengarang yang lain juga, mereka turut sependapat bahawa ini adalah antara bedak asas yang sempurna digayakan dalam apa jua acara baik harian, upacara formal atau sekadar mahu berlibur bersama teman. Namun, pujian itu adalah buat versi bedak asas yang terdahulu. Persoalan saya kini, mampukah versi terbaharu ini menandingi juga mengatasi reputasi ikoniknya?

Formulasi Terbaharu Armani beauty Luminous Silk Foundation

Jika suatu ketika dahulu ia sudah pun diangkat sebagai legenda kecantikan, kini apakah pula rahsia di sebalik versi terbaharu Armani beauty Luminous Silk Foundation ini? Pastinya saya mengharapkan sesuatu yang lebih unggul. Dan nyata jenama ini tidak mengecewakan.
Selepas 25 tahun, kini Armani beauty hadir dengan formulasi baharu yang dipertingkatkan. Diperkaya dengan inti pati penjagaan wajah yang menyihatkan kulit, ia bukan sekadar sebagai asas bedak, tetapi satu pengalaman mewah yang menyempurnakan lagi seri. Lebih mengujakan, versi baharu ini menambah empat rona baharu menjadikan kini jumlah 20 rona keseluruhan dan dirumus khas menggunakan teknologi pigmen baharu iaitu gabungan rona ultramarine dan hijau, mampu memberi padanan rona yang lebih tepat. Teknologi ini kini sempurna buat anda yang memiliki tona kulit ‘olive’, menjadikan pilihan lebih inklusif. Bagi saya, ini bukan sekadar penambahbaikan, ini definisi baharu kesempurnaan. Lebih ikonik daripada dahulu!
Tampil dengan inti pati berprestasi tinggi seperti glycerin, niacinamide serta dua ekstrak bunga yang cukup berkuasa iaitu ekstrak Mediterranean Lily dan ekstrak White Lupine. Setiap daripada satunya memiliki keistimewaan dan manfaatnya yang tersendiri, melangkaui fungsi bedak asas biasa.
Glycerin membenarkan hidrasi menepek 24 jam pada wajah, memastikan kulit kekal lembap dan selesa sepanjang hari. Manakala niacinamide membekalkan keanjalan dan memberikan cahaya sihat pada hasil solekan di kulit wajah. Ekstrak Mediterranean Lily menyerikan lagi kulit daripada dalam manakala ekstrak White Lupine memberi efek ‘plump’ pada kulit wajah. Oleskan bedak asas ini berterusan selama 14 hari, anda akan nampak perubahan langsung pada kulit wajah. Tona kulit lebih sekata, tekstur kulit juga lebih mulus.

Yang paling penting sekali, sudah tentu kita ingin tahu dan ingin melihat hasil solekan menggunakan bedak asas ini. Saya juga sudah merasmikan bedak asas ini sewaktu pelancaran eksklusifnya di Malaysia. Memang mulus ibarat tidak menyarung apa-apa, namun wajah tetap tampil lebih berseri berbanding biasa.
Perbezaannya memang terasa, walaupun ringan tetapi terletak dengan sangat selesa. Teknologi Liquid Silk yang mana membenarkan bedak asas ini memantulkan dan menyebarkan cahaya biasan pada permukaan kulit sekaligus memberi kemasan yang menyatu sempurna tanpa cela. Bercakap tentang litupannya, ia memberi hasil litupan sederhana namun buildable. Objektifnya adalah untuk memancar hasil natural, segar dan glowing. Secara kesimpulannya, ini adalah bedak asas yang sesuai untuk digayakan setiap hari. Satu tip lagi daripada saya, pastikan anda set bedak asas bersama bedak kompak di bahagian tertentu seperti dahi dan hidung untuk kekal berseri sepanjang hari.
