Langgan

Kempen SELAMAT Volvo Menjenamakan Semula Keselamatan

Memperkenalkan janji keselamatan kepada rakyat Malaysia!
3 minit untuk membaca
Published: January 27, 2026

Volvo Car Malaysia memperkenalkan sebuah kempen baharu. Ia adalah untuk mengingatkan kita tentang satu nilai yang sering kita sebut, namun jarang kita hayati sepenuhnya yakni keselamatan.

Dalam dunia automotif yang semakin dipenuhi janji teknologi futuristik dan inovasi elektrik, Volvo memilih pendekatan yang berbeza. Bersempena pelancaran model terbaharu Volvo ES90, jenama ini tidak terus memperkenalkan sebuah kenderaan baharu sahaja sebaliknya, Volvo terlebih dahulu memperkenalkan sebuah idea, sebuah identiti dan sebuah nama yang sangat dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, "SELAMAT".

Ia tidak hanya menjadi kempen pemasaran. Ia adalah satu peringatan bersama, tetapi tegas bahawa keselamatan bukan trend kenderaan, bukan juga slogan dan bukan sekadar spesifikasi di atas kertas.

SELAMAT: Satu Perkataan, Seribu Makna

Dalam kehidupan seharian, “selamat” ialah ucapan paling kerap kita lafazkan. Contohnya 'Selamat pagi', 'Selamat jalan', 'Selamat sampai.' Ia melambangkan harapan, kasih sayang dan keprihatinan terutamanya dalam budaya rakyat Malaysia. Ia sering diucapkan tanpa disedari betapa besarnya makna di sebaliknya.

Bagi Volvo, perkataan ini tidak hanya sekadar ungkapan sopan. Sejak kehadirannya di pasaran Malaysia pada tahun 1966, keselamatan telah menjadi teras kepada setiap keputusan, setiap rekaan dan setiap inovasi jenama ini. SELAMAT, dalam konteks Volvo, ialah nilai yang hidup bukan hanya dilafazkan, tetapi harus dibuktikan.

Kempen yang Mengundang Perhatian

Kempen ini bermula secara perlahan momentumnya namun berjaya mencuri perhatian. Pada 15 Januari, sebuah Volvo ES90 berbalut grafik “SELAMAT” mula kelihatan di sekitar Kuala Lumpur. Disokong oleh paparan digital luar (DOOH), kempen media sosial dan sebuah laman web khas, kehadirannya sudah tentu mencetuskan tanda tanya bahawa adakah ini sebuah jenama EV baharu?

Jawapannya terungkai pada 22 Januari. Apa yang disangka sebagai pendatang baharu rupa-rupanya ialah jenama yang telah lama mendahului industri. SELAMAT ialah Volvo. Pelopor keselamatan automotif, kembali mengangkat nilai yang sama. Satu nilai yang telah membentuk legasinya selama hampir satu abad.

SELAMAT Sebagai Peringatan, Bukan Kempen Semata-Mata

Volvo Car Malaysia kini telah memperkenalkan SELAMAT sebagai kempen tematik sepanjang tahun 2026. Ini disertakan dengan aspirasi yang lebih besar daripada konsep pemasaran. Matlamatnya jelas untuk menjadikan keselamatan jalan raya sebagai satu budaya bersama, bukan sekadar keperluan undang-undang.

Sepanjang tahun, pelbagai inisiatif akan diperkenalkan, yang kemuncaknya ialah SELAMAT Drive pada suku kedua 2026. Sebuah pengalaman pemanduan yang membolehkan rakyat Malaysia merasai sendiri bagaimana tabiat pemanduan selamat dan teknologi keselamatan Volvo saling melengkapi dalam dunia sebenar.

Legasi Keselamatan yang Membentuk Perubahan Industri

Sejak tahun 1927 di peringkat global, dan 1966 di Malaysia, Volvo telah menjadi penanda aras keselamatan automotif. Antara sumbangan terbesarnya ialah penciptaan tali pinggang keselamatan tiga titik pada tahun 1959. Satu inovasi yang dianggarkan telah menyelamatkan lebih sejuta nyawa di seluruh dunia.

Hari ini, falsafah yang sama diterjemahkan melalui Safe Space Technology. Satu ekosistem keselamatan menyeluruh, daripada struktur casis hinggalah sistem keselamatan aktif dan pasif, yang direka untuk menjangka dan mengelakkan risiko sebelum kemalangan berlaku. Evolusi seterusnya, Multi-Adaptive Safety Belt, bakal diperkenalkan pada masa hadapan, sekali lagi menetapkan standard baharu industri.

Mengapa SELAMAT Lebih Relevan Hari Ini?

Keselamatan jalan raya kekal sebagai isu kritikal di Malaysia. Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 4,428 kematian berkaitan pengangkutan direkodkan, dengan golongan berusia 15 hingga 40 tahun antara yang paling terjejas.

Angka-angka ini mengingatkan kita bahawa keselamatan bukan konsep abstrak. Ia bersifat peribadi. Ia menyentuh keluarga, komuniti dan kehidupan seharian. Dalam konteks inilah, ia membawa makna yang lebih mendalam. Ia selari sebagai harapan agar setiap yang keluar rumah dapat kembali dengan selamat.

SELAMAT: Janji, Penanda Aras dan Gerakan Kempen

Kempen ini berdiri atas tiga tonggak utama:

Sebuah Janji — ikrar berterusan Volvo untuk memastikan tiada sesiapa cedera parah atau terkorban dalam kenderaan Volvo.

Satu Penanda Aras — standard keselamatan yang ditetapkan sendiri oleh Volvo, bukan mengikut arus industri.

Satu Gerakan — usaha kolektif untuk menjadikan keselamatan sebagai kemewahan tertinggi, dan keprihatinan sebagai sebahagian daripada setiap perjalanan.

Dalam dunia hari ini, SELAMAT mengingatkan kita tentang satu perkara yang tidak pernah lapuk ditelan zaman bahawa tiada apa yang lebih bernilai daripada nyawa manusia dan mungkin, selepas ini, setiap kali kita mengucapkan “selamat”, kita akan benar-benar memahami maknanya.

ADVERTISEMENT
Topics: ,
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down