Langgan

Kolaborasi Eksklusif CHANEL Bersama Paris Opera Junior Ballet Di Kuala Lumpur

CHANEL x Paris Opera Ballet Junior
6 minit untuk membaca
Published: December 1, 2025

ELLE Malaysia berpeluang menemu bual koreografer pementasan 'Eternal Rift', Julian Nicosia bersama Jaime Almaraz dan Angélique Brosse daripada Paris Opera Junior Ballet yang menampilkan kostum rekaan CHANEL di Malaysia.

paris opera ballet junior

Sebagai Penaung Utama untuk Paris National Opera, CHANEL pada tahun 2024 telah menyokong penubuhan Junior Ballet, sebuah kumpulan yang terdiri daripada penari muda dari seluruh dunia yang dihimpunkan bagi memperkukuh latihan mereka serta mendalami penguasaan repertoire klasik dan kontemporari.

Untuk musim kedua, Paris Opera Junior Ballet meneruskan aspirasinya untuk mendekati penonton yang lebih luas dengan melakukan jelajah Asia buat julung kali. Pada 18 dan 19 November 2025, mereka mempersembahkan sebuah persembahan eksklusif di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur. Ia adalah sebuah detik penting bagi kumpulan baharu yang berprestij ini.

Program tersebut menampilkan persembahan pentas termasuk sebuah karya baharu oleh koreografer, Julian Nicosia berjudul 'Eternal Rift', di mana para penari mengenakan kostum khas ciptaan CHANEL yang mencerminkan interaksi di antara kekuatan dan kerentanan. Garisan berstruktur serta sentuhan emas pada kostum tersebut mengikuti setiap gerakan penari bak retakan bercahaya, menonjolkan ketegangan dan pembaharuan yang menjadi inti pati karya ini.

Unitard hitam yang dihiasi sulaman emas halus itu memaparkan motif gandum yang distailkan sebagai simbol kelembutan dan ketahanan. Selain unitard, sebuah kot bersaiz besar menyelubungi tubuh hingga hampir menyeluruh, manakala gaya kontras dengan seluar hitam potongan longgar dan tank top ringkas pula memperlihatkan tubuh penari dalam keadaan ‘terdedah’ dan tidak dilindungi.

Dua siluet ini, satu tersembunyi, satu terdedah mencerminkan perjalanan balet tersebut. Di mana sifat rapuh menjadi laluan, dan kerentanan pula berubah menjadi pemangkin transformasi.

chanel ballet

Temu bual bersama Koreografer ‘Eternal Rift’, Julian Nicosia

Koreografi baharu anda untuk Paris Opera Junior Ballet terasa segar namun sarat emosi. Apa yang mula-mula mencetuskan idea untuk karya ini?

Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah Paris Opera. Sukar untuk tidak memikirkannya kerana ia memberi impak begitu besar kepada rumah balet ini. Itu yang muncul dahulu dalam fikiran saya. Karya ini bukanlah penghormatan atau penceritaan semula, tetapi saya mahu dengan penuh rendah hati membawa sedikit unsur tentang Rudolf Nureyev. Jadi saya mula menyelami idea itu, dan seperti yang kita tahu, Rudolf Nureyev mempunyai kehidupan yang sangat intens sebagai artis, penari, koreografer, dan sebagai seorang manusia. Dia meninggalkan negaranya pada usia muda dalam keadaan yang sangat sukar, dan perkara itu meninggalkan kesan mendalam dalam diri seseorang. Ia mewujudkan sejenis “retakan” di dalam diri.

Saya sendiri pernah meninggalkan negara untuk meneruskan kerjaya. Saya berasal dari Perancis. Sudah tentu, pengalaman saya tidak sedramatik beliau, tetapi tetap saya meninggalkan keluarga, berpindah ke negara baharu, budaya baharu. Ia sangat sukar dan meninggalkan sesuatu dalam diri saya. Tetapi kadangkala, apabila “retakan” itu terbuka, ia membolehkan kita melihat perkara baharu. Dan itulah titik permulaan inspirasi untuk karya ini.

Kolaborasi dengan CHANEL membawa lapisan visual dan emosi yang kuat pada karya ini. Bagaimana dunia CHANEL mempengaruhi mood atau suasana yang ingin anda cipta di pentas?

Apabila mencipta karya neoklasik seperti ini, secara peribadi saya tidak gemar apabila kostum terlalu ringkas. Sukar untuk melakukan sesuatu yang baharu kerana saya tidak mahu menutup tubuh penari, tubuh mereka perlu kelihatan. Jadi kami perlu mencari cara untuk menghadirkan sesuatu yang baharu dan segar dalam kesederhanaan itu. Di sinilah kerjasama dengan CHANEL khususnya sangat menakjubkan. Mereka benar-benar membawa sentuhan baharu dan segar pada leotard para penari.

Ia satu gabungan keanggunan dan ketukangan halus yang menjadi identiti CHANEL, dan pada masa sama tidak menenggelamkan tubuh dan pergerakan penari. Ia membantu membawa sesuatu yang baharu ke pentas tanpa “membebankan” visual dan tanpa menyembunyikan penari.

chanel

Anda bekerja dengan generasi penari baharu, masing-masing dengan tenaga dan keunikan sendiri. Bagaimana personaliti atau gaya pergerakan mereka membentuk visi anda sepanjang perkembangan karya ini?

Perkara yang paling saya gemari sebagai seorang koreografer ialah peluang untuk benar-benar memerhati penari. Saya sentiasa terpesona cuba memahami mengapa mereka bergerak dengan cara tertentu dan bukan cara lain. Saya cuba memahami latar belakang mereka dan itu sangat memberi inspirasi.

Jadi saya cuba sedaya upaya menyesuaikan diri dengan cara mereka bergerak dari koordinasi, keupayaan tubuh, hinggalah ke sensitiviti mereka. Ada penari yang sangat sensitif, dan ia memberikan petunjuk ke arah mana karya boleh dibawa. Sudah tentu, saya tetap mengekalkan gaya koreografi saya, tetapi ia benar-benar satu kolaborasi. Mereka menginspirasikan saya dan memberikan hala tuju tentang ke mana karya ini harus pergi.

Bagaimana anda menggambarkan gaya tarian atau gaya koreografi anda?

Sukar untuk digambarkan. Saya sangat suka mengembangkan karya neoklasik terutamanya di atas pointe shoe tetapi saya juga suka mencipta karya kontemporari yang sangat berbeza. Saya terlalu cintakan tarian untuk berpegang pada satu gaya sahaja. Saya mahu mencuba semuanya. Semasa saya menari dahulu, saya berpeluang bekerja dengan pelbagai koreografer dengan gaya dan budaya yang berbeza, dan saya cuba melakukan perkara yang sama sebagai seorang koreografer sekarang. Ia menakutkan tetapi saya suka perasaan itu.

Apabila penonton meninggalkan teater, apa yang anda harap akan tertinggal dalam minda mereka?

Soalan ini agak sukar untuk saya, tetapi ada satu perkataan yang sering muncul dalam fikiran saya. Saya mahu mereka berasa sedikit 'keliru' dalam cara yang baik. Seolah-olah apa yang mereka saksikan itu seperti satu “kilatan”, dan kemudian apabila mereka cuba mengingat kembali, persepsi mereka akan mula berubah dan mentafsirkan karya itu dengan cara baharu. Saya rasa itu membolehkan karya ini hidup dalam minda mereka dapat terus berubah, berkembang.

Dan sudah tentu, saya harap mereka menyukainya.

chanel

Temu bual bersama Jaime Almaraz dan Angélique Brosse daripada Paris Opera Junior Ballet

Bekerja di bawah arahan Julian Nicosia pastinya satu pengalaman yang unik. Bagaimana rasanya berkolaborasi dengannya dan menterjemahkan visinya di atas pentas?

Angélique: Bekerja dengan Julian benar-benar memperkayakan pengalaman saya. Beliau sentiasa memberikan idea yang jelas, yang menyuburkan semangat kami, dan beliau menggalakkan kreativiti — sesuatu yang sangat memotivasikan dan menyenangkan.

Jaime: Ia merupakan pengalaman yang luar biasa. Ini kali kedua saya bekerja dengan Julian.
Beliau mempunyai gaya tersendiri dalam tarian klasik, dan beliau memberikan kebebasan kepada kami untuk meneroka gaya itu. Mengagumkan melihat bagaimana beliau menyesuaikan diri dengan setiap penari — cara kami bergerak, keunikan tubuh kami — dan masih berjaya membuat semua orang menonjol dengan kualiti terbaik masing-masing, sambil mengekalkan identiti gaya Julian Nicosia.

Kostum CHANEL memberikan kehadiran visual yang begitu kuat. Bagaimana ia mempengaruhi pergerakan atau cara anda membentuk karakter ketika menari?

Angélique: Kostum CHANEL sangat elegan dan memberi keyakinan. Ia seperti membimbing saya memastikan kualiti gerakan saya dan membawa karakter saya keluar dengan lebih jelas. Ia memberi sentuhan halus dan refined kepada tarian saya ketika berada di pentas.

Jaime: Bagi saya, adalah suatu penghormatan untuk menari dalam kostum CHANEL yang direka khas untuk kami dan khusus untuk karya ini. Mereka berjaya menghasilkan kostum yang benar-benar menyatu dengan tubuh kami dan meningkatkan pergerakan kami. Kostum-kostum ini memainkan peranan besar dalam keseluruhan karya ini.

Setiap karya baharu hadir dengan penemuan baharunya. Apakah momen latihan yang paling mengejutkan anda, dari segi kreativiti, fizikal atau emosi?

Angélique: Saya sangat terkejut bagaimana koreografi tersebut membawa saya ke arah baharu dengan begitu pantas. Sesetengah gerakan pada awalnya terasa sangat asing, namun lama-kelamaan saya menemui cara baharu untuk memahaminya.

Jaime: Bagi saya, momen terbaik sentiasa berlaku di studio bersama Julian. Suasana yang beliau wujudkan sepanjang proses latihan itu adalah sesuatu yang kami bawa bersama ke pentas. Ini penting bagi saya apabila sebuah karya dicipta dengan tenaga yang baik, penonton dapat benar-benar melihat karakter penari terserlah di pentas.

chanel

Menjadi sebahagian daripada Paris Opera Junior Ballet adalah detik penting dalam perjalanan seorang penari. Bagaimana pengalaman ini membentuk identiti anda sebagai artis?

Angélique: Menjadi sebahagian daripada Paris Opera Junior Ballet memberi saya peluang untuk benar-benar berada di pentas. Tahun lalu merupakan tahun pertama saya, dan peluang ini menjadi permulaan yang mungkin saya tidak akan miliki tanpa program ini. Ia membuka peluang untuk bekerja dengan pelbagai koreografer termasuk Julian, serta penari lain yang hebat.

Jaime: Bagi saya, menyertai Paris Opera Junior Ballet adalah peluang besar. Saya dapat belajar daripada guru terbaik, dan bekerjasama dengan koreografer luar biasa seperti Julian Nicosia.

Produksi ini menggabungkan dua dunia, fesyen tinggi dan balet klasik. Secara peribadi, apa maknanya kepada anda untuk menjadi sebahagian daripada kolaborasi yang menyatukan dua seni ini dengan begitu indah?

Angélique: Ia benar-benar satu penghormatan besar untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama antara fesyen tinggi dan balet klasik. Ia mengingatkan saya bahawa seni boleh wujud dalam pelbagai bentuk, dan keduanya saling memperkayakan. Saya bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini kerana ia membolehkan saya meneroka dunia seni yang luas dan tanpa penghujung.

Jaime: Apabila saya diberitahu bahawa kami akan berkolaborasi dengan CHANEL, saya berasa sangat bertuah kerana saya sememangnya berminat dengan dunia fesyen tinggi. Proses pembikinan kostum sangat mempesonakan — mereka memberi perhatian kepada setiap perincian, memastikan kostum benar-benar menyatu dengan tubuh kami supaya kami boleh bergerak dengan sempurna. Terus terang, saya sangat terpukau dengan dedikasi seluruh pasukan CHANEL.

chanel show

Fotografi: Copyright CHANEL

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down