Langgan

Awaken Your Joy: Taman Rumah Kaca Botanikal LEGO Pertama Asia

Apabila seni, alam dan gaya hidup berpadu dalam satu simfoni indah di tengah kota.
3 minit untuk membaca
Published: October 27, 2025

Pavilion Kuala Lumpur dan LEGO mempersembahkan Botanical Glasshouse pertama di Asia. Satu instalasi memukau yang menggabungkan kreativiti, ketenangan dan keindahan flora dalam bentuk yang sungguh luar biasa.

Terinspirasi daripada set 21353 LEGO Ideas The Botanical Garden, ruang taman rumah kaca ini bukan sekadar taman bunga. Ia adalah perjalanan menyelami seni bina kreatif yang menyalakan semula rasa kagum dan bahagia dalam diri. Bermula daripada15 hingga 26 Oktober, pengunjung diundang untuk mengalami sendiri keajaiban taman ini di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur. Satu dunia imaginasi di mana setiap kelopak, jambatan dan hiasan dibina dengan ketelitian dan kasih sayang menggunakan kepingan LEGO.

Keindahan Mengundang Kedamaian

Dengan tema Awaken Your Joy, konsep ini mengajak pengunjung mengimbau childhood yang sering terperangkap dalam kesibukan rutin harian. Ia juga untuk mengajak pengunjungnya berhenti sejenak, menarik nafas dalam-dalam dan kembali menghargai keindahan sederhana di sekeliling.

Daripada langkah pertama, pengunjung akan melalui jambatan kecil yang membawa ke arca mawar merah jambu gergasi, dibina sepenuhnya daripada LEGO. Ia menjadi simbol cinta, kelembutan dan kekuatan. Taman ini turut menampilkan LEGO Bonsai Garden, ruang yang mendamaikan dengan koleksi bonsai ciptaan peminat LEGO tempatan. Semuanya mencerminkan kesabaran dan ketelitian dalam setiap ranting kecilnya.

Bagi yang gemar bergaya, sudut 'JOY' photo corner dan takhta bunga menjadi latar sempurna untuk merakam kenangan indah. Tidak ketinggalan, Fountain dan Diorama Display yang rumit, dibina dengan penuh dedikasi oleh komuniti LEGO Malaysia. Kesemuanya menjadikan pengalaman ini semakin istimewa.

Selanjutnya bagi yang ingin membawa pulang sedikit keajaiban ini, bengkel floral hands-on turut disediakan. Ia merupakan ruang untuk anda mencipta sendiri hadiah istimewa buat insan tersayang.

Gandingan Fesyen dan Flora LEGO

Kreativiti terus berkembang apabila The LEGO Group turut berkolaborasi dengan Malaysian Official Designers’ Association (MODA). Kerjasama ini dilakukan untuk mempersembahkan LEGO Botanicals Fashion Show pertama di rantau ini.

Barisan pereka ternama seperti Celest Thoi, Fiziwoo, Jimmy Lim, Melinda Looi, Arlina Ayou dan ramai lagi telah mereka busana eksklusif berinspirasikan koleksi LEGO Botanicals. Setiap satu dihiasi dengan sentuhan flora yang dibina daripada LEGO, daripada aksesori halus hingga pernyataan gaya yang berani.

Sebanyak 23 rekaan couture diperagakan dalam pertunjukan yang penuh warna dan imaginasi pada 16 Oktober 2025. Dimulakan dengan supermodel Amber Chia yang membuka pertunjukan dalam aura penuh pesona. Rekaannya kini dipamerkan untuk tatapan umum dari 17 hingga 26 Oktober di samping instalasi LEGO Botanical Garden yang menawan.

Olahan Bunga Istimewa

Koleksi LEGO Botanicals sendiri semakin berkembang, menampilkan keindahan alam dalam bentuk seni bina moden. Daripada 10328 LEGO Bouquet of Roses yang romantis, hingga 10342 Pretty Pink Flower Bouquet yang lembut dan feminin. Warna-warna segar seperti dalam 10313 Wildflower Bouquet membawa keceriaan. Manakala 10280 Flower Bouquet menghadirkan gaya moden dan elegan untuk ruang kediaman kontemporari.

Koleksi ini turut menampilkan reka bentuk untuk hiasan meja yang anggun. Antaranya seperti LEGO Hibiscus (10372), Japanese Red Maple Bonsai Tree (10348), serta Mini Bonsai Trees (10373). Setiap satu membawa ketenangan yang menginspirasi.

Mekar dengan Cinta dan Kreativiti

Menurut Nina Patricia Da Costa, Pengurus Besar LEGO Group Singapura, Malaysia dan APAC Travel Retail, "Rumah kaca ini bukan hanya pameran. Ia adalah pengalaman yang menghubungkan manusia dengan keindahan dan kreativiti. Kami mahu pengunjung keluar dari sini dengan senyuman dan rasa kagum. Hal ini kerana LEGO bukan hanya permainan, ia adalah seni, ekspresi dan cara untuk menemui semula kebahagiaan.”

LEGO Botanicals menyatakan kita bahawa keindahan boleh dibina dengan keterujaan dan kegembiraan yang boleh tumbuh dengan hal-hal kecil. Sama ada anda menghadiahkan bunga LEGO kepada orang tersayang atau menyusunnya sendiri di rumah. Setiap kepingannya adalah simbol kasih, kreativiti dan ketenangan jiwa.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down