
Bagi menghidupkan kembali semangat dunia arloji, maison memperkenalkan Louis Vuitton Monterey, sebuah jam tangan edisi terhad yang diispirasikan daripada jam tangan pertama dunia horologi pada lewat 1980-an.
Menjadi dambaan penggemar jam tangan ilham vintaj khususnya dengan penciptaan asal LV I dan LV II yang direka seakan batu kerikil. Ia merupakan hasil karya arkitek, Gae Aulenti yang mencerminkan semangat pengembaraan maison.
La Fabrique du Temps Louis Vuitton kini mengangkat kod rekaan ikonik ini dengan sentuhan savoir-faire yang diperakui. Louis Vuitton Monterey hadir dalam kemasan emas kuning yang dipadankan dengan dail Grand Feu enamel putih yang menawan.
Bebalik pada jejak asal rekaan grafiknya, jam ini juga menggantikan kaliber quartz daripada model warisan asal dengan gerakan automatik buatan maison. Menjadikan koleksi ini lebih istimewa, ia dihasilkan dalam kuantiti terhad sebanyak 188 unit sahaja.
Penghormatan Sebuah Warisan
Pada tahun 1988, Louis Vuitton melancarkan jam tangan pertamanya — LV I dan LV II. Meneruskan tradisi bekerjasama dengan tokoh kreatif paling berwawasan di dunia, Louis Vuitton bekerjasama dengan arkitek dan pereka Itali, Gae Aulenti.
Pengalaman menghasilkan objek-objek ikonik pada era 1960-an, membawa Aulenti bekerjasama dengan Louis Vuitton bagi menghasilkan jam tangan LV I dan LV II sebagai sebuah ilham avant-garde.
Model LV I berdiameter 40 mm, direka dalam bentuk batu kerikil revolusioner tanpa lug (penyambung tali), dan ditawarkan dalam emas putih atau kuning. Pelaras (crown) pula diletakkan unik pada jam 12, sebagai penghormatan kepada jam poket tradisional.
Sementara itu, LV II adalah versi lebih kecil berdiameter 37 mm, dihasilkan daripada seramik tahan calar yang inovatif dalam warna hitam atau hijau, dengan paparan waktu dan tarikh serta fungsi tambahan sistem penggera.
