
Hujung minggu 23 – 24 Ogos 2025 yang lalu, 1 Utama Shopping Centre bertukar wajah menjadi pentas penuh gaya dan sensasi dengan berlangsungnya BMW Xperience 2025. Bintang utama acara dua hari ini? BMW X3 serba baharu, simbol jiwa pengembara yang dipacu oleh teknologi BMW xDrive intelligent all-wheel-drive. Para tetamu menyahut cabaran BMW X3 Challenge merasai sendiri ledakan adrenalin, membuktikan bahawa kemewahan juga mampu menakluk segala jenis laluan.
Keseronokan tidak terhenti di situ. Pengunjung turut terpikat dengan pesona dinamik BMW 2 Series Gran Coupé, selain berpeluang menguji pandu model-model BMW terkini. Di luar trek, acara ini turut meraikan sisi gaya hidup BMW dengan koleksi BMW Lifestyle serta barangan edisi terhad BMW Xperience yang menjadi rebutan.
Penuh imersif, bergaya dan mendebarkan, BMW Xperience 2025 bukan sekadar pameran automotif. Ia adalah perayaan keberanian, inovasi, dan seni hidup penuh keyakinan.


BMW X3 Serba Baharu: Mendefinisi Semula Pengalaman SAV

BMW X3 serba baharu meneruskan legasi gemilangnya, daripada menjadi Sports Activity Vehicle (SAV) pertama dalam kelasnya hinggalah meraih kedudukan sebagai peneraju pasaran global dalam segmen premium pertengahan serta model paling laris BMW di seluruh dunia.
Kini dalam generasi keempat, BMW X3 tampil dengan bahasa rekaan terbaharu yang menonjolkan kehadiran lebih berkarisma, sambil menyerlahkan aura elegan dinamik yang sukar ditandingi.
Di ruang kabin, pengalaman pemanduan masa hadapan dizahirkan melalui material premium, spesifikasi standard yang lebih meluas, serta digitalisasi canggih yang mengangkat suasana mewah progresif. Pusat kawalannya, BMW iDrive dengan QuickSelect berasaskan BMW Operating System 9, menawarkan keterhubungan lancar dan kawalan intuitif di hujung jari.
Lebih daripada sekadar rupa, BMW X3 serba baharu menjanjikan keseronokan pemanduan, keselamatan, serta keselesaan jarak jauh pada tahap lebih tinggi. Penalaan kenderaan yang begitu teliti memberikan pemanduan lincah dan lancar, manakala rangkaian luas sistem pemanduan dan parkir separa automasi meningkatkan keyakinan serta kemudahan setiap kali di jalan raya.
Hasilnya? Sebuah SAV premium yang bukan sekadar meneruskan kisah kejayaan, tetapi menetapkan penanda aras baharu untuk pengembaraan, keanggunan dan inovasi.
