
Tidur memainkan peranan yang penting dalam kesihatan fizikal dan mental. Namun, kajian daripada U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menunjukkan hampir tiga daripada 10 orang dewasa tidak mendapat tidur yang mencukupi. Apple berusaha untuk merapatkan jurang ini, bukan sahaja dengan menjejak tempoh tidur, tetapi juga dengan menggalakkan konsistensi yang terbukti penting untuk kualiti tidur jangka panjang.
Sejak pengenalan Apple Watch pada tahun 2015, Apple telah menggabungkan pelbagai ciri kesihatan canggih ke dalam perantinya, membolehkan pengguna mengawal kesejahteraan mereka secara lebih menyeluruh. Mari mengenali ekosistem ini yang disokong oleh sains bagi membantu pengguna bukan sahaja memantau tidur, tetapi juga memperbaikinya secara berkesan.
Membina rutin tidur yang sesuai

Menambah baik kualiti tidur bermula dengan rutin yang konsisten. Dalam Apple Health app, pengguna boleh menetapkan ‘Sleep Schedule’ termasuk waktu tidur, waktu bangun dan sasaran tempoh tidur. Setelah jadual ini ditetapkan, sistem akan berfungsi secara pintar untuk menyokong keperluan anda.
Sekitar satu jam sebelum waktu tidur, anda akan menerima peringatan ‘Wind Down’ yang menggalakkan anda untuk mula beralih ke mod rehat. Jika bateri Apple Watch anda berada di bawah 30 peratus, anda akan menerima peringatan untuk mengecasnya supaya ia bersedia untuk menjejak tidur anda sepanjang malam.
Ciri Sleep Focus pula merupakan fitur yang sangat berguna. Ia boleh diaktifkan secara automatik apabila ‘Wind Down’ bermula, atau dihidupkan secara manual. Apabila diaktifkan, Sleep Focus mengehadkan gangguan dengan hanya membenarkan aplikasi dan kenalan penting untuk menghantar pemberitahuan. Lock Screen dan Main Screen anda juga boleh disesuaikan dengan visual yang menenangkan dan pintasan ke alat bantu relaksasi seperti buku audio atau meditasi dalam aplikasi Fitness+.
Menenangkan tubuh dan minda sebelum tidur

Salah satu cara terbaik untuk bersedia tidur ialah dengan melakukan aktiviti istirahat ringan. Perkhidmatan Fitness+ menawarkan pelbagai Sleep Meditation yang dapat membantu anda menenangkan diri. Meditasi ini tersedia dalam sesi 5, 10 atau 20 minit dan sangat sesuai untuk melepaskan tekanan serta menenangkan minda sebelum tidur.
Penjejakan tidur yang lebih mendalam

Sebaik sahaja anda tertidur, Apple Watch terus berfungsi untuk membantu anda memahami corak tidur dengan lebih baik. Ia menjejak jumlah tempoh tidur anda, masa anda tidur dan bangun, serta membandingkannya dengan sasaran tidur anda, memberikan gambaran yang jelas tentang konsistensi rutin anda.
Namun, ia tidak berhenti di situ. Dengan menggunakan accelerometer yang sensitif, Apple Watch dapat menganggarkan berapa banyak masa yang anda habiskan dalam setiap fasa tidur: ringan, dalam dan REM. Kesemuanya memainkan peranan penting dalam pemulihan mental dan fizikal.
Mengenal pasti kondisi kesihatan seperti Sleep Apnea

Di luar pemantauan kesihatan am, Apple juga memberi tumpuan kepada keadaan tidur yang lebih serius. Satu ciri yang membolehkan pengesanan awal tanda-tanda Sleep Apnea, satu keadaan yang dianggarkan menjejaskan sekitar satu bilion orang di seluruh dunia dan ramai daripada mereka belum lagipun mendapat diagnosis.
Apple Watch memantau corak pernafasan menggunakan sensor terbina dalam selama tempoh 30 hari. Jika gangguan yang konsisten dikesan, pengguna akan menerima notifikasi berserta laporan terperinci yang boleh dimuat turun dan dikongsi bersama doktor. Kesedaran awal ini boleh menjadi langkah pertama ke arah diagnosis dan rawatan serta berpotensi menyelamatkan nyawa.
