Langgan

iPhone 18 Pro dan Pro Max Kini Tiba. Ini Yang Perlu Anda Tahu

Teknologi semakin canggih, pengalaman semakin mudah.
3 minit untuk membaca
Published: September 17, 2026


Tibalah saat yang dinanti-nantikan setiap tahun apabila dunia teknologi kembali menjadi perhatian, walaupun buat mereka yang tidak menganggap diri sebagai penggemar teknologi tegar. Seperti biasa, Apple hadir dengan pelancaran tahunannya, memperkenalkan barisan peranti baharu yang cukup menggoda untuk membuatkan kita mempertimbangkan satu lagi upgrade. Daripada iPhone 18 Pro dan Pro Max kepada iPhone Duo yang serba baharu, Apple Watch Series 12, Watch Ultra 4 dan AirPods 5, keluaran ini hadir dengan pelbagai pembaharuan yang pastinya menarik perhatian. 

Namun, perhatian kami pastinya tertumpu pada model yang bakal menjadi teman harian ramai: iPhone 18 Pro (paparan 6.3 inci) dan Pro Max (paparan 6.9 inci). Inilah model yang membawa idea dan teknologi terbaharu Apple ke dalam rutin seharian dengan beberapa perubahan yang mungkin kelihatan kecil pada pandangan pertama tetapi cukup bermakna apabila anda mula menggunakannya. Ini antara perkara yang perlu anda tahu.

Empat Warna Yang Bergaya

Gambar daripada Apple

Kita mulakan dengan perkara paling jelas: warnanya. Ya, mungkin kedengaran sedikit superfisial tetapi bagi kita yang menganggap fesyen sebagai sebahagian daripada gaya hidup, telefon juga sebahagian daripada cara kita mengekspresikan diri. Untuk iPhone 18 Pro dan Pro Max, Apple memperkenalkan empat kemasan baharu, setiap satunya dipadankan dengan aluminium dan kaca belakang dalam tona yang sama. Black kembali sebagai warna paling gelap pernah diperkenalkan pada rangkaian Pro, memberikan sentuhan dramatik yang cukup bersahaja. Silver pula hadir dengan karakter yang lebih sofistikated. Kemudian ada Glacier, rona biru yang lebih lembut dan ringan, memberikan sedikit sentuhan segar kepada koleksi ini.

Namun, warna yang paling mencuri perhatian? Burgundy. Kaya, mewah dan buat pertama kalinya diperkenalkan pada peranti Apple. Ia terasa moden dan kami sudah boleh membayangkan Burgundy menjadi warna yang paling diidamkan musim ini.

Burgundy
Black
Silver
Glacier

Pengurusan Haba Lebih Baik


Tahun lalu, Apple memperkenalkan perubahan kecil pada reka bentuk iPhone menerusi plateau, bahagian yang terangkat di belakang peranti bagi menempatkan sistem kamera berbilang lensa, sekali gus menyediakan ruang untuk sistem penyejukan di bawahnya. Tahun ini, ruang tersebut mempunyai fungsi yang lebih penting. Di dalam iPhone 18 Pro dan Pro Max, terdapat Vapour Chamber yang dipertingkatkan, direka untuk mengalirkan haba dengan lebih cekap apabila peranti digunakan untuk tugasan yang lebih mencabar. Sama ada bermain game berintensiti tinggi, menyunting video atau mengendalikan beberapa tugasan serentak, sistem ini membantu memastikan prestasi kekal konsisten walaupun telefon bekerja lebih keras.

Dengan keluasan permukaan tiga kali ganda, penggunaan bahan baharu serta reka bentuk pembungkusan cip A20 Pro yang diperbaharui, Apple mendakwa iPhone 18 Pro dan Pro Max mampu menawarkan tahap prestasi berterusan paling tinggi pernah dicapai pada sebuah iPhone. Kemudian, sudah tentu bateri antara peningkatan yang paling terasa dalam penggunaan harian. Sistem bateri Pro terbaharu menggabungkan kecekapan Apple silicon dengan kapasiti bateri yang lebih besar serta reka bentuk baharu yang diintegrasikan dengan keseluruhan sistem. Ditambah pula dengan pengecasan berwayar yang lebih pantas, hasilnya ialah ketahanan bateri yang lebih baik untuk menemani kita sepanjang hari.

Sistem Apertur Kamera Baharu

Gambar daripada Apple

Buat mereka yang gemar fotografi, ini mungkin antara peningkatan yang paling menarik kali ini. Buat pertama kalinya pada iPhone, kamera utama 48MP Fusion hadir dengan sistem apertur boleh ubah, memberikan lebih kawalan terhadap jumlah cahaya yang masuk ke lensa serta kedalaman fokus dalam setiap foto.

Enam precision-cut blades membolehkan apertur berubah dengan lancar antara ฦ’/1.48, ฦ’/1.8, ฦ’/2.8 dan ฦ’/4.0. Menariknya, anda tidak perlu pun memikirkan tetapan tersebut. Bergantung pada keadaan cahaya, pergerakan dan subjek di hadapan kamera, iPhone 18 Pro secara automatik memilih apertur yang paling sesuai untuk menghasilkan foto yang lebih baik.

Turut hadir ialah Photographic Styles 3, yang memberikan kawalan baharu terhadap tekstur dan grain. Perincian kulit boleh dilembutkan untuk hasil yang lebih kemas manakala tekstur boleh ditambah untuk menonjolkan permainan cahaya dan bayang, memberikan foto lebih karakter serta dimensi. Bagi yang gemar bereksperimen, setiap tetapan boleh disesuaikan mengikut cita rasa sendiri. Namun, jika anda lebih selesa membiarkan teknologi melakukan tugasnya, iPhone 18 Pro juga cukup bijak untuk menguruskan semuanya secara automatik. 

Gambar daripada Apple

Dynamic Island Lebih Kecil

Gambar daripada Apple

Pada iPhone 18 Pro dan Pro Max, Dynamic Island kini kira-kira 25 peratus lebih kecil, memberikan lebih ruang pada paparan dan menjadikan keseluruhan skrin terasa lebih lapang. Perubahan ini berlaku hasil inovasi yang tersembunyi di sebalik paparan. Apple kini meletakkan kamera inframerah yang digunakan untuk Face ID terus di belakang skrin, di bawah piksel paparan aktif tanpa menghasilkan gangguan visual yang ketara. Sebahagian kecil paparan menggunakan kepadatan piksel yang dikurangkan, menghasilkan bukaan yang membolehkan cahaya inframerah melepasi skrin secukupnya, sambil memastikan teknologi tersebut kekal tersembunyi daripada pandangan.

Hasilnya ialah paparan yang kelihatan lebih kemas dan minimal, dengan Dynamic Island yang lebih kecil tetapi sebenarnya lebih berguna. Ruang tambahan itu membolehkan sehingga tiga Live Activities dipaparkan serentak, selain memberikan lebih banyak maklumat sepintas lalu.

Apple iPhone 18 Pro dan Pro Max kini dibuka untuk pre-order di sini dan akan mula tersedia di stor Apple pada 18 September.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down