KENS Apothecary kini membuka kembali butiknya di The Gardens Mall dan dilihat mendapat sambutan yang cukup menggalakkan oleh peminat kecantikan di Malaysia. Kini dua kali ganda lebih luas daripada saiz asalnya, butik yang direka semula ini mengalu-alukan kedatangan pelanggan untuk menikmati pengalaman peribadi merentasi dunia haruman, penjagaan rambut dan penjagaan kulit.
Ruang yang direka dengan zon secara intuitif ini menggalakkan interaksi sentuhan dan penerokaan, memberi peluang kepada pengunjung untuk mengalami segalanya—daripada penjagaan kulit anti-penuaan hinggalah ke wangian niche yang mewah lagi eksklusif.

Estetika butik ini menggabungkan tona neutral yang sejuk dengan sentuhan industrial, mencipta suasana moden. Di tengah ruang, terdapatnya beauty island terrazzo yang menjadi titik tumpu, direka untuk menggalakkan pengalaman mencuba produk secara langsung. Kerusi elegan Tom Dixon dan perincian keluli tahan karat berkilat menyempurnakan lagi ruang ini, menyatukan garisan bersih dengan keselesaan bergaya.

Bernard Lim, Pengarah Eksekutif yang mengetuai proses mereka bentuk semula butik ini berkata,
“Dengan butik KENS Apothecary yang baharu, kami mahu lebih daripada sekadar ruang yang indah. Kami ingin mencipta satu bentuk ‘escapism’ di tengah kota. Reka bentuknya mengambil inspirasi daripada landskap pergunungan Malaysia, dilapisi tekstur dan bentuk yang organik tetapi moden. Terrazzo merah jambu ini pula kami pilih sebagai elemen kejutan—sesuatu yang mencuri tumpuan dan menghidupkan ruang ini.”
Jika anda menjejakkan kaki ke dalam butik ini, anda akan disambut oleh dua dinding khas yang didedikasikan buat Diptyque dan Augustinus Bader, ikon dunia haruman serta penjagaan kulit. Masuk jauh ke dalam, lima dinding wangian imersif mengundang eksplorasi koleksi jenama seperti Memo Paris, Maison Crivelli, BORNTOSTANDOUT, Marc-Antoine Barrois dan BDK Parfums (tambahan terbaharu dalam koleksi eksklusif butik ini).
Sebuah lagi jenama wangian akan diumumkan tidak lama lagi!

Pengasas jenama ini, Ken Lim berkongsi,
“Pelancaran semula butik ini bukan sekadar soal rupa baharu atau ruang yang lebih besar—ia adalah penegasan semula siapa kami dan arah tuju kami. Selepas 25 tahun, KENS Apothecary terus berkembang, membawa jenama kecantikan paling dihormati dunia untuk dinikmati pelanggan kami. Ruang ini menghormati akar kami sambil melangkah berani ke hadapan—menawarkan pengalaman kecantikan yang seteliti dan sehalus pelanggan yang kami raikan.”