
Volvo Car Malaysia secara rasmi memperkenalkan Volvo EX90, SUV tujuh tempat duduk elektrik sepenuhnya yang pertama dari Volvo, direka untuk menjadi model Volvo paling selamat. Untuk pasaran tempatan, EX90 hadir dalam variant Ultra Twin dengan spesifikasi kuasa dan trim tertinggi.
EX90 merupakan SUV utama terbaru Volvo yang menandakan pelbagai pencapaian sulung — termasuk kenderaan pertama yang dilengkapi teknologi lidar, pertama yang sepenuhnya dikuasakan oleh perisian. Ia juga disempurnakan dengan sistem perkakasan yang bersedia untuk pemanduan autonomi.
Menggabungkan rekaan Skandinavia yang elegan, EX90 menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya yang menekankan rekaan aerodinamik. Reka bentuk hadapan yang melengkung, tingkap rata dan pemegang pintu tersembunyi menghasilkan pekali seretan serendah 0.29 — tanpa menjejaskan penampilan jalan ikonik sebuah SUV Volvo moden.

Volvo Paling Selamat
EX90 direka untuk menjadi model Volvo paling selamat menerusi sistem Safe Space Technology – rangkaian keselamatan aktif dan pasif Volvo, yang kini diperkasa oleh pengkomputeran teras untuk pemahaman 360 darjah terhadap persekitaran kenderaan.
Safe Space Technology merangkumi sistem brek automatik, bantuan stereng, bantuan kekal lorong dan amaran keselamatan yang berfungsi seperti jurupandu anda. EX90 turut mengesan risiko pelanggaran, sama ada di hadapan atau belakang. Ia memberi amaran kepada pemandu serta mengambil tindakan automatik dengan membrek dan membelok jika perlu.
Sistem bantuan kekal lorong, mitigasi lorong bertentangan & terbabas jalan, pengesanan pengguna jalan raya yang mengurangkan risiko pelanggaran dengan pengguna jalan lain seperti penunggang motosikal dan pejalan kaki, serta amaran pembukaan pintu untuk mengelakkan insiden “dooring” seperti dalam EX30.