Iringan pemerian binaan seni brutalis mengindahkan kota singa, CELINE buka butik baharu di ION Orchard yang dirasmikan oleh dua duta jenamanya, Suzy Bae dan Park Bogum – luasnya lebih daripada 200 meter persegi dengan kelestarian sintesis kemasan mewah berbancuh elemen yang berilhamkan retrospeksi antik tak ternilai.

Suzy Bae dan Park Bogum bertandang, menyuasanai ION Orchard dan membelah kelengangan Singapura. Kehadiran megah mereka beralas dengan tujuan untuk meninjau pembukaan butik baharu CELINE yang berlokasi tingkat utama pusat membeli-belah paling berpengaruh di Singapura. “Saya tertawan oleh rekaan dalamannya yang stylish, dengan kelengkapan serta hiasan seni yang cukup fantastik!” Jelas Park Bogum, ketika diwawancara.

Butik berkeluasan lebih daripada 240 meter persegi ini menggarapkan landskap dalaman dengan rangkupan atribut seni bina yang ada keirasan dengan butik-butik lain segenap dunia. Saat menindih kaki ke dalam butik baharu ini, melewati ruang-ruang yang seumpama mengangkut kita ke alam fantasi binaan brutalis pasca-moden dan ia mengabadikan tenaga sofistikated jenama CELINE. Muka bangunannya menampilkan aspek eksklusif – façade yang dibina dengan menggunakan cermin melengkung dan marmar calacatta oyster, dengan perpaduan elemen batuan semula jadi seperti basaltina serta marmar, bersama kayuan oak, tembaga dan cermin emas untuk bahagian dalamannya.

Kelengkapan lain seperti perabot dan hiasan karya seni menyempurnakan komitmen CELINE dalam mendukung idea konseptual secara keseluruhan. CELINE menyerasikan seni bina butik ini dengan seni pahat tipologi serta ketelitiannya memilih item vintaj dan karya-karya yang ditempah khas dalam merangka rekaan perabot-perabot. Melanjutkan matlamat untuk mengistimewakan lagi butik CELINE, hasilan karya seniman Belanda yakni Machteld Rullens turut dipamerkan.
Peragaan himpunan pakaian sedia pakai, barangan kulit, aksesori serta haute parfumerie untuk wanita menghiasi bahagian utama butik dengan pojok khas yang menampilkan rangkaian CELINE Beaute. Menelusuri sehingga ke bahagian belakang, tumpuan diberikan kepada rangkaian CELINE Homme yang mudah dicam menerusi penggunaan rona gelap menyimbah ruangnya. Terdapat juga sebuah ruang peribadi eksklusif yang bersekat dinding cermin untuk pengunjung-pengunjung VIP dan sudut lounge buat mereka yang mahu melepaskan Lelah.