
Apabila berbicara tentang muse fesyen di kalangan Gen Z, Sofia Richie Grainge sememangnya memenuhi kriteria dengan estetika rich girl dan gaya fesyen yang tampak effortless. Perkahwinannya dengan eksekutif muzik Elliot Grainge pada tahun 2023 bukan sekadar sebuah majlis, malah ia menjadi fenomena budaya media sosial. Peminat tidak melepaskan peluang meneliti setiap detik di TikTok menjelang hari bahagianya, terpesona dengan video ‘Get Ready With Me’ dan gaya pengantin yang cukup istimewa. Sejak itu, Sofia telah dikenali sebagai ikon fesyen moden dan kolaborasi terbarunya dengan Tommy Hilfiger yang dinamakan ‘The Sofia for Tommy’ semakin mengukuhkan pengaruhnya dalam industri ini.

Dengan menggabungkan sentuhan gaya peribadinya yang santai dan elegan dengan estetika ikonik Amerika Tommy Hilfiger, Sofia memberikan nafas segar dan keyakinan moden kepada koleksi ini. Kolaborasi ini meneruskan legasi Tommy Hilfiger dalam bekerjasama dengan wanita berpengaruh dan bergaya seperti Jisoo, Gigi Hadid, Hailey Bieber dan Zendaya.
“Sofia mewakili wanita moden serba boleh yang mencerminkan kekuatan dan keperibadian generasi masa kini,” kata Tommy Hilfiger. “Sebagai model dan usahawan, dia telah memikat perhatian ramai dengan pendekatan moden terhadap gaya klasik.” Koleksi ini menampilkan 24 item mewah yang direka untuk menaikkan gaya harian dengan elemen warna, tekstur dan potongan yang bervariasi. Diilhamkan daripada siluet old money dan bendera nautika vintaj, kapsul ini memadukan ketelitian yang rapi dengan gaya kasual yang santai. Sofia berkongsi lebih lanjut tentang gaya It-girl miliknya dan inspirasi di sebalik koleksi eksklusif ini.

Bolehkan anda berkongsi mengapa koleksi ini menjadi penanda aras penting bagi jenama Tommy Hilfiger dan Sofia Richie Grainge?
Tommy Hilfiger: Selepas setahun bekerjasama, cita rasa Sofia yang sofistikated telah meninggalkan kesan mendalam pada ekspresi pakaian wanita kami. Kerjasama ini terasa seperti gabungan paling autentik antara gaya kontemporarinya dan warisan abadi jenama ini. Kami menata semula soft tailoring melalui lensa warna ikonik merah, putih dan biru, menetapkan standard baharu untuk keanggunan yang halus dan bersahaja. Ia membuka jalan untuk apa yang akan datang – satu visi baharu tentang gaya feminin klasik yang disempurnakan.
Sofia Richie Grainge: Tahun lalu bersama Tommy Hilfiger adalah satu perjalanan yang luar biasa dan dapat mencipta koleksi yang benar-benar mencerminkan gaya saya adalah satu pencapaian yang sangat istimewa. Ia terasa seperti refleksi siapa saya pada ketika ini – selesa dan yakin dengan gaya peribadi saya. Saya sangat bangga dengan reka bentuk yang halus dan berstruktur, serta perhatian terhadap setiap perincian dalam setiap helai. Ini adalah interpretasi saya tentang wanita yang yakin – yang tampak effortless, refined dan direka untuk cara wanita berpakaian hari ini.

Apakah yang menjadikan koleksi ini unik kepada Tommy Hilfiger dan benar-benar mencerminkan gaya Sofia Richie Grainge?
S: Saya mahu koleksi ini mencerminkan cara wanita menjalani kehidupan hari ini, mengimbangi pelbagai peranan sambil tetap menjadikan gaya tampak effortless. Tommy terkenal dengan sentuhan uniknya pada pakaian asas harian, manakala saya mahu setiap helaian dalam koleksi ini membawa rasa mudah dan selesa dalam gaya harian. Hasilnya adalah rangkaian pakaian yang indah, menggabungkan kelembutan dan kekuatan, kelihatan rapi tetapi natural, serta memancarkan keyakinan abadi.
T: Menemukan keseimbangan antara gaya klasik dan moden sentiasa menjadi keutamaan saya. Koleksi ini dibina berasaskan pakaian asas Amerika yang ikonik – blazer berstruktur, kemeja yang kemas dan helaian berasingan yang serba boleh – kemudian ditafsirkan semula dengan sentuhan moden yang segar. Pengaruh Sofia membawa pendekatan yang lebih lembut dan halus, menjadikan setiap helaian tampak aspirational tetapi tetap mudah digayakan. Ini adalah Tommy Hilfiger melalui pandangan halus Sofia: klasik, sofistikated dan direka untuk cara wanita berpakaian hari ini.

Apakah rekaan kegemaran peribadi anda daripada koleksi ini? Apakah yang menjadikannya begitu istimewa?
S: Blazer double-breasted merah cukup berani dan effortless. Potongannya yang berstruktur membuatkan anda rasa kemas, manakala sentuhan tailoring yang santai menjadikannya tampak cool dan chic, keseimbangan sempurna antara sofistikasi dan keselesaan.
T: Dunia nautika sentiasa menjadi inspirasi saya jadi saya tertarik pada kemeja jalur Breton. Ia membawa sentuhan gaya pelayaran New England ke dalam siluet yang abadi. Potongan beralun yang dipadankan dengan seluar longgar memberikan rasa keanggunan santai, menjadikannya helaian yang sempurna untuk beralih daripada siang ke malam.

Sofia, bolehkah anda kongsikan beberapa siluet kegemaran dan bagaimana anda akan menggayakannya dalam kehidupan harian?
S: Gaun fluidstripe ni sangat effortless. Jalur dan bentuknya yang lembut memberikan gerakan yang anggun, sesuai untuk siang dan malam. Saya akan memadankannya dengan loafers untuk gaya kasual di siang hari, kemudian menukarnya kepada kasut tumit tinggi bertali untuk tampilan malam yang lebih elegan. Sementara itu, trench coat ini sangat sempurna kerana ia klasik dan cool tanpa berlebihan. Panjangnya memberikan elemen dramatik, tetapi masih terasa mudah dan selesa untuk digayakan.
Koleksi kapsul 'The Sofia for Tommy' kini tersedia di tommy.com dan di butik Tommy Hilfiger Pavilion Kuala Lumpur.