Semenjak beberapa tahun yang lalu, kita dapat menyaksikan industri kecantikan giat melakukan pelbagai perubahan terutama sekali dalam menghebohkan kandungan inti pati produk mereka yang digambarkan luar biasa. Ia tidak dapat disangkal, penemuan dan kajian yang dilakukan secara saintifik oleh jenama-jenama kecantikan ini ternyata berkesan dan memiliki testimoni yang meyakinkan.
Sebagai contoh, bahan seperti asid hialuronik, squalane, retinol, asid salisilik dan pelbagai lagi telah menjadi pilihan utama dalam produk kecantikan. Malah, inti pati ini ibarat trend dikalangan jenama kecantikan. Membina dan kemudian berkembang mencipta inovasi baharu menggunakan satu intipati yang sama.

Namun, dengan adanya kemajuan sains dan teknologi yang semakin canggih, hari ini kita dapat menyaksikan semakin banyak lagi inti pati baru menjadi trend. Terkini, peptida, ectoin, bakuchiol, centella asiatica, lactobacillus dan pelbagai lagi semakin rancak digunakan sebagai inti pati hero di dalam produk kecantikan.
Kami kongsikan dengan anda dalam merungkai setiap makna di sebalik terma-terma inti pati cantik ini yang menjadi trending hari ini, untuk anda tahu dan jadikan panduan dalam memilih produk wajah anda.
1) Asid Hialuronik
Bahan semula jadi yang memang ada di dalam tubuh manusia terutama pada kulit, mata dan sendi. Namun, berbicara tentang konteks penjagaan wajah, asid hialuronik ini berfungsi sebagai agen pelembap yang sangat berkesan. Ia memiliki kemampuan untuk menarik dan mengekalkan lembapan. Tahukah anda, satu molekul asid hialuronik mampu menyerap hingga 1000 kali beratnya air? Ya! Disebabkan itu ia adalah sebuah inti pati yang sangat popular dan sering menjadi pilihan mereka yang berkulit kering dan mahu mengoptimumkan lembapan kulit wajah.
2) Squalane
Sejenis bahan pelembap yang semakin popular di dalam dunia kecantikan. Lebih stabil dan terhidrogenasi berbanding squalene. Dan squalane ini asalnya boleh diperolehi daripada minyak hati ikan yu. Namun, pada hari ini, kebanyakan produk kecantikan menggunakan inti pati squalane yang lebih organik, diperoleh daripada sumber tumbuhan seperti tebu, minyak zaitun ataupun beras.
Squalane ini juga sebenarnya tampil mimik minyak semula jadi yang ada pada kulit. Ia melembap kulit wajah dengan lebih hebat berbanding asid hialuronik. Malah, ia yang terhasil daripada tumbuh-tumbuhan ini juga sebenarnya bebas daripada minyak, membuatkan ia sebagai inti pati yang ringan, mudah menyerap ke dalam kulit wajah serta bukan komedogenik.
3) Peptida
Sebuah rantaian pendek asid amino yang berfungsi sebagai blok pembinaan protein di dalam tubuh badan kita. Bila berbicara konteks penjagaan wajah, peptida ini digunakan kerana keupayaannya dalam merangsang penghasilan kolagen, meningkatkan keanjalan kulit serta memperbaiki struktur kulit secara keseluruhan.
Mengapa peptida ini penting di dalam penjagaan wajah kita? Anda harus tahu kulit wajah kita sangat bergantung pada protein kolagen dan elastin untuk struktur, keteguhan dan keanjalan. Peptida ini ibarat penghantar mesej untuk merangsang sel kulit bertindak menghasilkan lebih banyak kolagen. Setelah itu, barulah hasil kulit tampil lebih mulus, tegang dan sihat.
4) Lactobacillus
Ia merupakan sejenis bakteria baik atau juga dikenali sebagai probiotik yang menyeimbangkan mikroflora kulit langsung meningkatkan kesihatan kulit wajah secara keseluruhan. Anda mungkin pernah bertemu dengan kandungan bakteria ini di dalam produk fermentasi seperti yogurt. Fermentasi atau penapaian ini telah menjadi amalan tradisi manusia selama berabad-abad.
Lactobacillus ini mampu meningkatkan keseimbangan mikrobiom kulit. Selain menyeimbangkan mikroflora kulit, ia juga dapat mengurangkan pertumbuhan bateria bahaya dan sangat membantu dalam mengurangkan masalah jerawat dan iritasi. Ia sesuai buat anda yang memiliki kulit sensitif kerana ia memiliki sifat menenangkan yang sangat baik.
5) Ectoin
Sejenis bahan semula jadi yang diperoleh daripada mikroorganisma ekstremofilik, sejenis mikroorganisma yang hidup dalam persekitaran ekstrem, seperti bakteria yang ditemui di kawasan gurun atau perairan panas. Kajian telah mengenal pasti bahawa ectoin juga memiliki sifat pelindung yang luar biasa terhadap kulit, terutamanya dalam melindungi kulit daripada faktor persekitaran seperti sinaran UV, pencemaran serta daripada cuaca ekstrem.
Oleh kerana itu, ia juga dapat membantu merawat tanda penuaan. Dengan melindungi kulit daripada kerosakan persekitaran, secara tidak langsung ia mengurangkan tanda-tanda penuaan seperti garis halus dan kedutan.
Selain itu, salah satu ciri unik lain ectoin ini adalah kemampuannya dalam melindungi DNA kulit. Ectoin bekerja dengan membantu memulihkan struktur DNA kulit yang rosak akibat sinaran UV atau faktor persekitaran lain langsung mengurangkan kesan penuaan dan kerosakan sel.

6) Bakuchiol
Ia sejenis bahan semula jadi yang sering disebut sebagai alternatif kepada retinol, salah satu bahan yang paling terkenal dan berkesan dalam penjagaan kulit untuk anti-penuaan. Inti pati ini berasal daripada tumbuhan Psoralea Corylifolia, yang juga dikenali sebagai Babchi.
Ia telah digunakan dalam perubatan tradisional di India dan China selama berabad-abad, tetapi kini bakuchiol semakin popular dalam produk penjagaan kulit moden kerana manfaatnya yang serupa dengan retinol tanpa kesan sampingan yang biasa dikaitkan dengan retinol, seperti iritasi atau kekeringan kulit.
Antara manfaat yang terdapat pada inti pati ini adalah seperti meningkatkan tekstur kulit dengan merangsang penggantian sel kulit yang lebih sihat dan memperbaiki tona kulit yang tidak sekata, melawan jerawat, meningkatkan penghidratan kulit serta sesuai buat anda yang berkulit sensitif.
7) Centella Asiatica
Lebih dikenali sebagai pegaga dalam kalangan masyarakat Malaysia, adalah tumbuhan yang telah digunakan secara tradisional selama berabad-abad dalam perubatan untuk merawat pelbagai jenis masalah kulit dan kesihatan. Inti pati Centella Asiatica terkenal dengan keupayaannya dalam menyembuhkan luka, meningkatkan penghidratan kulit serta memberi manfaat anti-penuaan.
Ia sering digunakan dalam produk penjagaan kulit kerana sifatnya yang menenangkan, memperbaiki dan mempercepatkan pemulihan kulit. Ia sangat berkesan kepada anda yang memiliki kulit sensitif atau masalah kulit seperti jerawat, rosacea dan ekzema.
8) Exosome
Dikenali sebagai game-changer dalam dunia penjagaan kulit moden, exosome menjanjikan hasil yang bukan sahaja luar biasa, malah terbukti secara saintifik. Intipati ini adalah sebenarnya zarah mikro yang dihasilkan secara semula jadi oleh sel, terutamanya sel stem.
Fungsinya adalah untuk menghantar “mesej” atau isyarat biologi kepada sel-sel lain untuk merangsang proses pembaikan dan regenerasi. Dalam dunia kecantikan, exosome yang digunakan biasanya diekstrak daripada sel stem manusia.
Antara manfaat exosome ini adalah ia mampu merangsang penghasilan kolagen dan elastin secara semula jadi, menjadikan kulit lebih anjal dan muda. Selain itu, ia turut merawat kulit rosak, mecerah dan menyekatakan tona kulit.
Namun ramai yang tidak tahu bahawa ini adalah antara intipati yang sangat kontroversi buat masa ini, kerana kebanyakan kajian masih belum membuktikan keselamatan intipati ini didalam produk kecantikan.
9) PDRN / DNA Salmon
Mungkin ramai yang tidak tahu akan nama sebenarnya iaitu Polydeoxyribonucleotide, namun jika disebut DNA Salmon atau PDRN, pasti peminat kecantikan langsung terus tahu intipati ini. Ia diekstrak daripada sel sperma ikan salmon.
Jangan risau, proses pengekstrakannya adalah selamat dan sangat terkawal. PDRN telah digunakan bertahun lamanya dalam dunia perubatan untuk merawat luka dan membaik pulih tisu. Namun, dalam industri kecantikan, ia kini digunakan untuk membantu memperbaharui sel kulit dan menjadikan wajah tampak lebih muda.
Intipati ini boleh ditemui dalam tiga bentuk sama ada menerusi suntikan rawatan Skin Booster, Mesotherapy, laser, microneedling juga di dalam produk topikal.
10) Ekstrak Akar Manis
Atau lebih dikenali sebagai Licorice Root Extract ini adalah bahan yang cukup berkuasa dalam pencerah dan penenang kulit wajah. Berasal daripada akar tumbuhan Glycyrrhiza Glabra, di mana ia popular dikalangan perubatan tradisional ribuan tahun yang lalu.
Di dalam ekstrak ini terdapatnya sebuah komponen aktif utama yang dipanggil sebagai glabridin. Ialah yang bertindak sebagai agen pencerah semula jadi yang selamat malah lebih lembut daripada bahan kimia pemutih sedia ada di pasaran.
11) Polyglutamic Acid
Bila berbicara tentang lembapan dan hidrasi, ramai yang akan memilih asid hyaluronic. Mereka tidak tahu, sebuah lagi bahan intipati yang kini semakin mendapat perhatian di dalam dunia kecantikan. Polygutamic Acid, the next level hydrator!
Ia diekstrak daripada proses penapaian kacang soya melalui bakteria Bacillus Subtilis. Ia merupakan humektan, iaitu bahan yang boleh menarik dan mengekalkan kandungan air dalam kulit malah ia boleh menahan lembapan hingga 4 kali ganda tinggi daripada asid hyaluronic. Ada kajian juga menyatakan bahawa asid ini mampu memperbaiki keanjalan kulit serta mengurangkan penampilan garis halus langsung memberi hasil kulit yang lebih lembut dan sihat berseri.
Fakta Kulit Perlu Anda Tahu!
1) Sel kulit tertanggal dari kulit setiap minit
Tahukah anda bahawa kulit anda menanggalkan sekitar 30,000 hingga 40,000 sel mati setiap minit? Walaupun tidak kelihatan dengan mata kasar, proses ini berlaku secara berterusan sebagai sebahagian daripada mekanisme pembaharuan semula jadi kulit. Inilah sebabnya mengapa rutin pengelupasan (exfoliation) sangat penting untuk mengekalkan kulit yang cerah dan bersih.
2) Epidermis baru terhasil setiap 28 hari
Lapisan luar kulit, iaitu epidermis, diperbaharui sepenuhnya setiap 28 hari. Proses ini memastikan kulit tampil sentiasa segar dan berfungsi dengan baik, tetapi seperti mesin, ia memerlukan bahan pembakar yang baik iaitu nutrien dan penjagaan kulit yang konsisten.
3) Melanin sebagai pelindung semula jadi sinar UV
Semakin banyak melanin yang terdapat dalam kulit, semakin tinggi perlindungan semula jadi terhadap sinar UV. Pigmen ini bukan sahaja menentukan warna kulit, tetapi juga bertindak sebagai pelindung terhadap kerosakan matahari. Walau bagaimanapun, pelindung matahari tetap penting, tidak kira apa jua warna kulit.