Siapa yang sempat menonton acara anugerah paling berprestij ABPBH 36 2024 malam tadi. Kami antara yang teruja menantikan acara ini kerana kami tahu malam itu bakal dimeriahkan dengan kehadiran selebriti-selebriti ternama dan legenda seperti YM Raja Azura, Senario, Zamani serta tidak ketinggalan Khairy Jamaluddin atau dikenali sebagai KJ.
Namun, seperti biasa, mata kami di meja cantik ELLE sememangnya hanya tertumpu kepada penampilan cantik setiap tetamu yang hadir. Tahniah buat para stylist, jurusolek profesional juga hairstylist yang meluah segala tenaga dan usaha dalam mencantikkan selebriti yang menghadiri malam ABPBH 36 ini.
Walaupun tidak ramai yang kelihatan hadir bereksperimen dengan solekan dan gaya rambut yang lebih bold atau lain daripada yang lain, namun setiap solekan tampil dengan suntikan uniknya yang tersendiri. Hendak tahu siapakah pilihan ELLE yang tampil dengan solekan paling cantik pada malam itu? Jom lihat senarai di bawah!
Ini 8 Selebriti Dengan Solekan Paling Cantik Malam ABPBH 36 2024!
#1 Anna Jobling
Gambar: @gebrielpadan
Malaysian Barbie doll! Antara personaliti yang dinanti ramai malam tadi. Penampilan Anna Jobling langsung tidak menghampakan. Dia yang turut membawa pulang Anugerah Aktres TV Popular ini tampil dalam dua persalinan. Namun mengekalkan gaya solekan dan rambut yang sama. Stunning dengan gaya rambut separa diikat bun mini kemas kemudian digaya gulung mengurai hasil dandanan @hairbylala.8. Solekan pula cukup glamor, memukau di bahagian mata! Mata kami terarah kepada solekan mata Anna oleh Gebriel Padan yang tampil bold dengan pilihan bulu mata yang cukup seksi sesuai dengan penampilan wanita ini malam itu.
#2 Azira Shafinaz
Gambar: @adyrazak
Solekan yang digayakan Azira tidak pernah menghampakan! Membuat persembahan pembukaan di ABPBH 36 bersama teman De Fam yang lain, masing-masing tampak cukup cantik bak puteri. Azira tampil dengan solekan glamor hasil tataan Ady Razak, menggayakan gincu rona coklat (rona yang cukup in musim ini!) dan dioles glos memberi hasil bibir mungil. Solekan mata pula diserlahkan dengan rona perak metalik pada bahagian inner corner mata. Rambut dandanan May Woo ini dibiar lepas dengan gulungan seksi!
#3 Fasha Sandha
Gambar: @fashasandha
Wanita Melayu Terakhir, Fasha Sandha, tampil cukup memukau. Tidak perlu bergaya melebih-lebih, wanita ini beri definisi klasik sebenar. Mata kami tertarik pada gaya rambut Fasha. Kami sukakan bagaimana dia memadankan solekan klasik koral oleh @makeupbynadianordin bersama gaya rambut oleh @ochobridalstyling sleek dengan ikatan bun bersahaja namun kemas.
#4 Sophia Liana
Gambar: @ahmadani
Padanan rona emas sebagai persalinan malam itu kemudian dipadu bersama solekan rona koral dan tanah adalah padanan yang paling tepat dan classy pada pandangan kami di ELLE. Mata Sophia ditata pembayang mata rona coklat kemilau bahagian atas dan garis bawah mata ini cukup untuk memukau sesiapa sahaja yang bertentang mata dengannya. Jurusolek, Ahma Dani, memilih untuk memadu solekan bibir rona nude menyemarakkan lagi keseluruhan look Sophia pada malam itu. Manakala gaya rambut sleek belah tengah hasil magis Yusof Ruzaimi ini adalah antara gaya rambut kegemaran kami! Cukup anggun!
#5 Riena Diana
Gambar: @jijiezainal
Penampilan pentas pertama Riena Diana dengan busana mengerlip serba biru ini cukup menangkap perhatian yang menonton. Kami tertarik dengan looknya yang cukup dreamy lebih lebih lagi pada gaya rambut. Bun tinggi hasil @shasya_balqisya ini tampak cukup fun kerana pada bahagian belakang rambut yang disisir rapi itu dipenuhi dengan aksesori biru sepadan busananya. Solekan pula apa kurangnya, suntikan glamor disuntik Jijie Zainal dengan menatah kemilau pada bahagian mata untuk hasil lebih ekstra buat wanita ini.
#6 Didie Alias
Gambar: @boscoryzal
Popular dengan jolokan 'Lady Gaga Malaysia' ini sudah pasti tidak akan kalah bergaya pada malam itu. Didie Alias tampil segalanya ekstra, daripada busana hinggalah ke gaya solekan. Siapa lagi tidak lain dan tidak bukan, hasil magis tangan Bosco Ryzal langsung tidak menghampakan. Jurusolek ini tahu erti glamor dan fun sebenar. Sepadan dengan busana gah, Bosco turut mengenakan rona merah sebagai highlight solekan pembuka acara ini buat Didie. Manakala mata pula dilayangkan penggaris mata yang ditarik ekstra panjang kemudian dilapis dengan tatahan kemilau merah. LOVE!
#7 Marsha Milan
Gambar: @khirkhalid
Jika berbicara tentang solekan glamor dan mewah, jurusolek Khir Khalid, adalah pakar dalam mencipta solekan classy ini. Menyolek Marsha Milan pada malam itu dengan mengoles gincu bibir rona merah menyala, alis mata dilayang penggaris mata tebal, alisan kening pula dilakar cukup on-point, setiap elemen ini menyerlahkan lagi sisi wajah anggun Marsha. Kami sukakan bagaimana Khir Khalid memilih untuk mengetengahkan kecantikan semula jadi Marsha tanpa perlu melayang solekan beria dan melampau.
#8 Siti Saleha
Gambar: @shiyomakeup
Seorang lagi sosok selebriti pilihan kami yang tampil cukup anggun pada malam ABPBH 36 2024 ini. Siti Saleha yang memberi aura Parisian Chic menyarung topi beret dengan net hitam. Kami tertarik dengan solekan wanita ini pada malam ini. Ditata oleh jurusolek Shiyo Joo, highlightnya adalah pada solekan bibir! Lihat betapa cantiknya rona merah pilihan Shiyo. Dia mengoles Gucci Rouge À Lèvres Mat Lipstick daripada Gucci Beauty dalam rona Rosso Ancora. We need this lipstick!