Berlin menjadi lokasi festival rambut gilang-gemilang yang dianjurkan oleh jenama penjagaan rambut, Schwarzkopf Professional. Mengumpulkan komuniti pendandan rambut serata dunia merai kecemerlangan industri rambut hari ini. Festival HAIR BY SCHWARZKOPF yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 April 2025 yang lalu itu menyaksikan pelbagai aktiviti menarik.

Gambar oleh penulis
Festival ini mengambil tempat di Motorwerk Berlin, sebuah bangunan penuh bersejarah tercipta pada tahun 1921 yang suatu ketika dahulunya menjadi tempat pembinaan motor elektrik. Setibanya kami di sana, sambutan mesra oleh team Schwarzkopf menyapa setiap tetamu yang hadir. Dengan semangat slogan yang ditekankan Schwarzkopf, FOR EVERY YOU, festival ini mengukuhkan lagi komitmen jenama untuk terus menyokong dan merapatkan hubungan bersama pelanggan melalui cara yang lebih segar dan bermakna, sekaligus memacu inovasi dan memperkasa komuniti pendandan rambut di seluruh dunia.
Saat menjejakkan kaki ke dalam ruang luas ini, kemeriahan serta-merta terasa. Ada ruang untuk para pengunjung berlibur, ada juga ruang disediakan untuk kami yang hadir ini mendekati setiap cerita inovasi dan teknologi yang digunakan dalam mencipta setiap rangkaian penjagaan rambut ikonik jenama ini. Terdapat lebih 60 aktiviti imersif yang berlangsung di empat pentas berbeza, kami dapat meneroka pelbagai dimensi dunia dandanan rambut ini. Ada yang berkaitan dengan budaya juga fesyen, sehinggalah ke bengkel yang mengetengahkan dunia media sosial, perniagaan dan pelbagai lagi.

Sepanjang dua hari berada di sana, kami dapat merumuskan bahawa festival ini adalah antara festival rambut terbaik kerana menawarkan pengalaman menyeluruh, manakan tidak, adanya pertunjukan pentas secara langsung yang penuh bertenaga, kemudian dilengkapkan dengan sesi praktikal look & learn, ceramah, sesi temubual eksklusif, perbincangan panel serta bengkel interaktif yang menggalakkan penyertaan aktif daripada pengunjung yang hadir.

Paling mengujakan adalah sesi ceritera peribadi bersama Pendandan Selebriti dan juga Duta Warna Global Schwarzkopf yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat, Chris Appleton, menjadi highlight utama mengapa ELLE Malaysia diterbangkan ke kota istimewa juga ibu negara Jerman ini.

Tidak dilupakan, festival ini turut menerbangkan barisan artis dan speakers antarabangsa HAIR BY SCHWARZKOPFPRO termasuklah Pengarah Kreatif Warna & Teknik Schwarzkopf Professional Amerika Syarikat, Tracey Cunningham juga Duta Trend Warna Rambut Schwarzkopf Professional Amerika Syarikat, Jacob Schwartz. Dua figura penting dalam industri dandanan rambut di Amerika Syarikat ini berkongsi pelbagai pandangan serta teknik menarik bersama pengunjung yang hadir.

Bukan sahaja, pakar dan pencinta dunia rambut, jurugambar lagenda asal British, Rankin, turut membuat penampilan istimewa di Berlin ini. Dia popular dan pernah merakam potret ramai figura terkemuka dunia antaranya Ratu Elizabeth II ini juga menjadi sebahagian penting dalam menjayakan beberapa kempen kolaborasinya bersama Schwarzkopf. Kesemua tetamu jemputan yang hadir ini ternyata memiliki impak mereka yang tersendiri dan pada kami sememangnya memberi impak dan penuh inspirasi buat mereka yang ingin mencipta masa depan dunia dandanan rambut yang lebih meluas dan berjaya.

"Menerusi FOR EVERY YOU, kami meraikan keunikan dan seni dalam dunia dandanan rambut sekaligus memberi kuasa kepada para profesional rambut di seluruh dunia untuk mengekspresikan diri dan menguasai kemahiran mereka. Melihat komuniti global ini bersatu di Festival HAIR BY SCHWARZKOPF benar-benar memberi inspirasi. Sepanjang dua hari lalu, bakat-bakat luar biasa dari seluruh dunia telah menghidupkan semangat FOR EVERY YOU ini di mana mereka menampilkan kebolehan, kreativiti dan semangat dengan cara yang sungguh mengagumkan. Sekali lagi, ini membuktikan betapa utuhnya peranan rambut dalam membentuk identiti serta membuka ruang ekspresi diri dan kreativiti. Saya berasa amat bangga dapat berkongsi detik istimewa ini bersama para tetamu, artis, pencipta, rakan sekerja dan komuniti pendandan rambut antarabangsa yang telah menjadikan dua hari di Berlin ini benar-benar tidak dapat dilupakan," ujar Naib Presiden Korporat Henkel Consumer Brands Hair Schwarzkopf, Matthieu Chauvet.

Festival HAIR BY SCHWARZKOPF ini berlangsung dengan jayanya di mana ia telah mengumpulkan 55 artis daripada 25 negara untuk berkongsi inspirasi di platform festival ini dan kemudiannya mengumpulkan 600 pengujung daripada 45 negara.