Langgan

Beyond Massage Mengubah Definisi Spa Tradisional – Ini Sebabnya

Beyond Massage cukup istimewa dengan pendekatannya yang menggabungkan pakar fisioterapi bertauliah ke dalam suasana spa.
2 minit untuk membaca
Published: May 4, 2025

Terletak di tingkat dua deretan lot kedai di luar Pavilion Bukit Jalil yang kini semakin meriah, terdapat sebuah butik wellness yang baru-baru ini menarik perhatian saya. Sejak terlihat di Instagram, jelas sekali tempat ini lain daripada yang lain daripada segi interior – cerah, biru dan langsung tidak menyerupai imej sebuah spa. Sudah tentu, saya tidak melepaskan peluang untuk mencubanya sendiri.

Sebaik melangkah masuk, terasa seolah-olah memasuki sebuah kafe hipster, bukan spa tradisional. Reka bentuk dalaman diserikan dengan rona biru yang menenangkan, manakala menu rawatannya tersusun kemas seperti menu minuman di kafe. Paling mencuri perhatian, maskot comel berupa awan yang tidur menyambut kehadiran anda. Suasananya mesra, playful dan jauh sekali daripada kebiasaan sebuah pusat wellness. Namun, yang benar-benar membezakan Beyond Massage bukan hanya estetikanya yang unik. Segalanya bermula daripada visi pengasasnya, Calvin Lim.

Matthew Chang dan Calvin Lim, Pengasas Beyond Massage

“Kami mahu mendefinisikan semula maksud wellness dengan menggabungkan teknik fisioterapi profesional bersama kelegaan urutan yang memulihkan. Rawatan kami direka secara peribadi untuk memberi kesan jangka panjang, bukan sekadar rasa selesa sementara,” jelas Calvin. “Lebih penting lagi, kami mahu menjadikan fisioterapi berkualiti lebih mudah diakses dan mampu milik tanpa suasana klinikal yang menakutkan atau harga yang terlalu tinggi. Inilah maksud sebenar wellness versi baharu.”

Apa yang menjadikan Beyond Massage begitu istimewa adalah pendekatannya yang menggabungkan pakar fisioterapi bertauliah ke dalam suasana spa, suatu pendekatan yang jarang, malah mungkin pertama seumpamanya di Malaysia. Ia menyatukan kepakaran klinikal dan terapi santai, memberikan penjagaan tubuh yang bukan sahaja menyenangkan tetapi juga menyokong kesihatan anda secara menyeluruh.

Barisan pakar fisioterapi di Beyond Massage

Setiap kunjungan dimulakan dengan sesi konsultasi peribadi. Sama ada anda mengalami ketegangan otot kronik, dalam proses pemulihan, atau hanya ingin berehat, ahli terapi akan mengambil masa untuk memahami keadaan badan, matlamat dan sebarang kebimbangan anda. Daripada situ, rawatan akan disesuaikan mengikut keperluan sebenar anda. Bagi anda yang masih ragu-ragu, Beyond Massage menawarkan sesi konsultasi percuma selama 10 minit tanpa sebarang komitmen rawatan.

Bilik rawatannya pula menyerupai ruang konsultasi moden, cerah, kemas dan minimalis. Namun, bagi yang ingin suasana lebih santai, lighting boleh dilaraskan mengikut keselesaan. Terdapat juga ruang khusus untuk urutan kepala dan bahagian atas badan, lengkap dengan kerusi lounge mewah dan pemandangan yang menenangkan, ideal untuk anda yang hanya mahu ‘melarikan diri’ seketika dari kesibukan harian.

Kawasan terapi Beyond Massage

Sepanjang sesi, ahli fisioterapi memaklumkan bahawa saya mengalami isu bahu membongkok, sesuatu yang saya sendiri sedar sejak lama, namun sering abaikan. Namun bukan sahaja membantu melegakan otot-otot yang tegang, malah menerangkan kesan jangka panjang jika ia dibiarkan tanpa rawatan. Lebih menarik, dia turut berkongsi senaman ringan yang boleh diamalkan di rumah untuk membantu memperbaiki postur saya.

Apa yang paling saya hargai adalah pendekatan mereka yang informatif dan penuh empati. Saya bukan sahaja meninggalkan ruang itu dengan tubuh yang lebih ringan dan segar, tetapi juga dengan kesedaran baharu tentang tubuh saya sendiri.

Lokasi: E-13-3, Jalan Jalil Utama 2, Pusat Bandar Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down