Semakin hari, semakin banyak produk kecantikan dilancarkan. Baik produk kosmetik, penjagaan wajah, badan hinggalah ke rambut, pelbagai produk baharu sehingga rambang mata ingin memilihnya. Ditambah pula dengan gaya hidup seharian yang amat sibuk membuatkan anda tiada masa untuk ke kaunter kecantikan di pusat beli-belah dan membelek setiap satu produk.
Maka, saya di sini hadir untuk membantu anda menyenaraikan produk terkini di samping berkongsi produk apakah yang terbaik dan harus dimiliki. Lebih menyenangkan, dunia hari ini sudah boleh membeli-belah di hujung jari. Hanya perlu dapatkan pilihan produk saranan atau tonton sahaja reviu oleh guru kecantikan sudah memadai buat anda memilih yang terbaik.
Tanpa berlengah lagi, saya ingin menyenaraikan lima produk yang mesti dimiliki dan kami pasti bakal menjadi kegemaran anda juga setelah mencubanya. Jom lihat!
Seleksi Produk Kecantikan Pilihan Editor Bulan Ini
#1 Jane Iredale ColorLuxe Eye Shadow Stick RM159
Mahukan mekap yang mudah namun mampu memberi hasil solekan yang cantik bagai profesional? Kami ada solusi untuk anda. Hanya gayakan pembayang mata jenis pensil daripada Jane Iredale. Hadir dalam lima rona menarik dan sesuai dijadikan sebagai solekan harian. Ia dicipta dengan formulasi yang kaya manfaat seperti Vitamin C, minyak biji jojoba dan pelbagai lagi. Memberi kemasan lembut bak baldu, selamat dilayang pada permukaan kulit mata yang lembut.
#2 Essential Parfums Nice Bergamote by Antoine Maisondieu
Haruman mewah yang punya jalan cerita unik dan eksklusif. Seperti haruman ini yang hadir dengan inspirasi luar biasa dan memberi penghormatan pada keindahan bergamot Calabrian, kemudian disuburkan dengan kelopak bunga ros dan melati serta kayu yang dilembutkan oleh kacang Tonka. Bukan itu sahaja, haruman ini turut diselami nota Ylang Ylang.
#3 Estée Lauder Double Wear Stay-In-Place Makeup SPF 10/PA++
Bedak asas yang digemari ramai kerana formulasinya yang hebat mampu bertahan selama 24 jam. Ia memberikan kemasan matte semula jadi dan menjadikan solekan kekal flawless sepanjang hari. Sesuai buat anda yang mahukan solekan litupan medium hingga penuh, bedak asas ini bebas haruman sintetik, gluten, paraben, minyak mineral, sulfat dan alkohol. Hadir dengan 45 rona sesuai buat semua jenis tona kulit.
#4 Sisley The Intense Nutrition Hair Care Mask
Penjagaan rambut bukan hanya terdiri daripada penggunaan syampu dan perapi yang betul, tetapi juga amalan rutin tambahan seperti sapuan pupur. Pupur rambut istimewa daripada Sisley ini membantu merawat rambut yang kering dan rosak menerusi lima intipati hebat yang terkandung di dalam pupur ini. Intipati seperti minyak kelapa, minyak benih Meadowfoam, minyak Moringa, minyak Macadamia dan minyak Shea memiliki manfaat yang berkuasa dalam mengembalikan rambut yang lembut, kuat dan bersinar.
#5 Dyson Airwrap I.D. TM
Produk penggayaan rambut pertama daripada jenama ini yang mampu disambungkan pada peranti kecantikan. Dengan adanya teknologi sambungan ini, ia menjadi lebih efisien dalam memberi hasil penggayaan rambut mengikut kesesuaian peribadi si pengguna. Lebih menarik lagi, di dalam koleksi terkini ini hadirnya tiga lampiran terbaharu antaranya ‘Conical barrel’ yang mampu mencipta penggayaan gulung keriting yang lebih berdefinisi bermula daripada akar rambut