Gemilangnya nama Datuk Seri Rossa di arena seni muzik nusantara cukup tersendiri dan berpengaruh. Pesonanya tidak hanya di pentas tetapi aura bintang yang dimiliki cukup kuat untuk kita merasakan getarannya biar dari jauh. Namun itu tidaklah membuat dia merasa dirinya berhak disanjung. Begitu rendah diri dan lembut bicaranya. Senang disapa Rossa atau Oca – sentiasa hadir dengan personaliti yang menyenangkan mampu membuat sesiapa sahaja bahagia mendampinginya.
Hari ini pada usia bermuzik 28 tahun lamanya, dia tidak lagi tertatih-tatih di tebing kaca. Perjalanan sebagai seorang anak seni dilalui dengan secukupnya. Dari era penjualan album sehingga era jumlah strim dikira sebagai penanda aras kejayaan seseorang penyanyi, nama Rossa masih kekal utuh.
Jika dulu penjualan albumnya mampu mencecah lima juta unit (untuk album ‘The Best of Rossa’ – 2011), hari ini dengan jumlah pendengar lebih tiga juta di Spotify berserta jumlah lebih 100 juta pendengar yang sudah melayani ‘Terlalu Cinta’ di pelantar muzik digital tersebut menjadi bukti nama Rossa belum lagi pudar.
Perjalanan panjang dijalani penuh minat, sabar dan pelajaran. Hari ini Rossa bertumbuh matang tidak hanya sebagai seorang penyanyi dan penghibur tetapi seorang wanita semakin pasti dengan arah tuju hidupnya. Untuk bertahan sejauh ini pasti ada kerja keras yang dituai. “Saya sejujurnya begitu beruntung memiliki team yang cukup kuat untuk bersama saya dalam perjalanan panjang ini.” Bersama ELLE, Rossa bersua dan bercerita tentang susah senang yang dilalui sepanjang perjalanan bergelar penghibur.
ELLE: ‘ROSSA 25 SHINING YEARS’ DITAYANGKAN UNTUK MEDIA KELMARIN, BAGAIMANA RESPONSNYA?
ROSSA: Alhamdulillah, saya rasa ramai yang menonton tempoh hari moved by the storyline. Salah satu sebabnya saya rasa kerana ramai yang mudah relate sebab karier saya di sini juga sudah lama kan.
E: APA PENTINGNYA DOKUMENTARI ITU UNTUK ROSSA SEBETULNYA?
R: Sebagai sebuah legasi. Saya melakukannya kerana mahu berkongsi cerita susah senang sepanjang menjadi penyanyi dan pada masa yang sama saya mahu penonton melihat bagaimana saya dewasa sebagai seorang wanita juga.
E: IDEA DATANG DARIPADA MANA SEBETULNYA?
R: Awalnya daripada pengurus saya Intan dan teman dekat saya iaitu Prilly Latuconsina. Mereka yang datang dengan idea saya perlu ada dokumentari ini supaya ramai yang boleh belajar sesuatu daripada pengalaman yang saya ada sepanjang menjadi penyanyi.
E: SEJAUH MANA ROSSA TERLIBAT DALAM PEMBIKINAN FILEM DOKUMENTARI INI?
R: Boleh dikatakan sepenuhnya. Mungkin kalau ada yang tidak tahu filem dokumentari ini asalnya tidak ada asas penceritaaan yang disusun awal. Cara kami mengolah ia menjadi sebuah cerita adalah dengan menyusunnya kembali setelah melihat kesemua rakaman yang ada menerusi proses suntingan. Daripada situ barulah semuanya bermula untuk menemukan alur ceritanya.
E: BERAPA LAMA FOOTAGE DIKUMPUL UNTUK IA LENGKAP MENJADI NASKHAH FILEM?
R: Lebih kurang dua bulan dan kebanyakannya dirakam sepanjang siri konsert dilakukan. Banyak cerita di balik tabir pembikinan konsert yang penonton boleh saksikan nanti.
E: BERCAKAP TENTANG KONSERT, ROSSA SUDAH MELAKUKAN BANYAK KONSERT. APA LAGI YANG ROSSA MAHU EXPLORE DI PENTAS YANG MUNGKIN PEMINAT BELUM LIHAT?
R: Kadang-kadang bingung mahu memikirkan apa lagi yang harus dilakukan agar tidak berulang idea serupa. Tapi selalunya pabila perlu untuk melakukan sesuatu konsert atau persembahan saya sentiasa terbuka dengan idea baru dan segar. Jadi kebiasaannya saya akan duduk dengan team dan bincangkan hal ini. Apa yang penting adalah untuk melihat di mana kekuatan saya sebagai penyanyi pada masa tersebut.
E: SIAPA GENERASI BARU MUZIK INDONESIA YANG ROSSA DENGARKAN SEKARANG?
R: Sekarang saya banyak mendengar Bernadya.
E: ADA APA DENGAN BERNADYA YANG ROSSA SUKA?
R: Sebagai seorang bakat muzik yang sangat muda, Bernadya saya kira seperti memahami hampir keseluruhan perasaan manusia. Kadang-kadang kala sendirian mendengarkan lagu-lagunya buat saya tertanya is she writing about me? Is she me or what? (tertawa). Tapi saya sejujurnya bangga pada usia semuda itu Bernadya boleh menulis sesuatu yang besar maknanya buat pendengar.
E: MELIHAT BAKAT-BAKAT BARU HARI INI APA SATU HAL YANG ROSSA BARU TERSEDAR SEPANJANG MENJADI PENYANYI?
R: Okey berbalik pada Bernadya, lagu-lagunya depressing kan? Tapi saya sangat enjoy it. Perkara ini yang membuat saya fikir oh, mungkin ini juga sebabnya orang suka dengan lagu-lagu saya. Lagu-lagu saya kebanyakannya tentang putus cinta juga patah hati. Jadi ada kemungkinan juga ia mewakili perasaan mereka. Sekarang pabila saya pula yang berada di kedudukan sebagai pendengar, baru saya lebih faham kenapa orang suka dengan lagu-lagu sedih yang saya rakamkan.
*Dapatkan isu Oktober di pasaran untuk membaca temu bual penuh.