Felix, ahli kumpulan Stray Kids, adalah definisi sebenar multi-hyphenate – seorang idola K-pop dan ikon fesyen. Mengimbangi kedua-dua dunia ini dengan keanggunan dan profesionalisme, dia telah membentuk identiti tersendiri sebagai artis dan pelopor gaya. Sejak dilantik sebagai duta Louis Vuitton pada tahun 2023, Felix terus mengukuhkan kehadirannya dalam dunia fesyen mewah.
Mengimbas kembali hubungan yang semakin mendalam dengan jenama ini, Felix teringat kepada permulaannya – di penggambaran muka depan bersama ELLE Korea satu setengah tahun lalu, pada bulan Mei. Kini, sebagai sebahagian daripada projek khas bersama Louis Vuitton untuk penggambaran kali ini, dia merasakan ikatan yang lebih kuat dengan maison Perancis tersebut, dengan bangga menyatakan dirinya sebagai sebahagian daripada keluarga Louis Vuitton. Bertemu semula dengan ELLE dan menyaksikan pelancaran koleksi barang kemas terbaharu, Felix berkongsi bahawa pengalaman ini terus memperlihatkan sisi baharu dirinya, baik sebagai seorang artis mahupun individu.
“Saya sentiasa berminat dengan fesyen, tetapi apabila bekerjasama dengan Louis Vuitton dalam pelbagai projek, masa berlalu begitu pantas. Ia seperti tenggelam dalam video game – kita lupa masa berlalu. Akhir-akhir ini, saya sangat menggemari ‘Tekken’,” katanya sambil ketawa.
Akaun Instagram peribadi Felix, yang dilancarkan lebih setahun lalu, kini dihimpun dengan 24 juta pengikut yang setia. Melalui platform ini, dia berkongsi minat dan kehidupan seharian – dari fesyen dan makanan, sehingga permainan, filem, muzik dan seni – membentuk naratif yang unik dan penuh warna. Sebagai ahli Stray Kids, dia terus menarik hati peminat dengan kejutan dan updates yang sentiasa segar dan mengujakan.
Pada 6 Oktober, Felix bersama kumpulannya menggemparkan pentas ulang tahun ke-50 American Music Awards (AMAs) bersama legenda-legenda seperti Mariah Carey dan Green Day. Persembahan mereka menghidupkan gabungan lagu ikonik ‘Bye Bye Bye’ oleh NSYNC dan ‘Chk Chk Boom’ oleh Stray Kids.
“Ia merupakan permintaan yang menggerunkan namun sangat mengujakan! Menggabungkan lagu NSYNC dengan lagu kami membuatkan kami merenung betapa K-pop mampu berharmoni dengan genre lain. Ini adalah peluang luar biasa untuk menunjukkan keyakinan dan bakat Stray Kids di hadapan penonton global. Pengalaman di atas pentas itu sendiri sangat mendebarkan,” katanya dengan senyuman lebar.
ELLE: Selepas Lee Know dan Hyunjin, Felix turut mempersembahkan tarian solo semasa AMAs. Ahli-ahli kumpulan yang lain telah menyatakan dalam content mereka bahawa Felix telah berusaha keras untuk meningkatkan kemahiran tarian anda tahun ini. Bagaimana perasaan anda apabila mereka mengiktiraf usaha keras itu?
Felix: Kami sentiasa menghormati usaha serta perkembangan antara satu sama lain. Apabila seseorang ahli mendapat peluang untuk menonjolkan kemahiran vokal atau tarian mereka secara individu, kami akan meraikan, memberi sokongan dan berkongsi maklum balas yang membina. Tiada rasa cemburu – dinamik pasukan kami sangat sihat dan saya percaya itulah sebabnya kami akan terus berkembang untuk tempoh yang panjang.
E: World tour ketiga, ‘dominATE’, kini sedang berlangsung, dengan konsert dijadualkan di Marvel Stadium, Melbourne (sewaktu interview ini dijalankan). Stray Kids menjadi kumpulan lelaki K-pop pertama yang mengadakan persembahan di stadium berprestij di Australia.
F: Saya masih tidak percaya. Marvel Stadium adalah tempat yang sangat besar. Semua ini adalah berkat STAYs kami dan saya tertanya-tanya bagaimana suasana di sana nanti. Menunjukkan kepada keluarga dan rakan-rakan saya di Australia – tempat di mana saya dilahirkan dan dibesarkan – tentang impian yang telah saya capai adalah sesuatu yang mendebarkan dan menggembirakan. Saya juga berharap untuk memberi inspirasi dan keyakinan kepada artis K-pop yang bercita-cita tinggi di Australia.
E: Walaupun semakin ramai artis K-pop Australia mula mencipta nama, negara itu masih dianggap agak terpencil, bukan?
F: Saya juga pernah mengalami saat-saat penuh keraguan. Saya sering berfikir, “Saya hanyalah seorang budak dari Australia – bagaimana saya boleh menjadi seorang artis K-pop? Adakah saya benar-benar mampu mencapai impian ini di sini?”
Menjadi artis K-pop pada awalnya terasa seperti sebuah impian yang hanya boleh direalisasikan di Korea. Namun, walaupun ketika menjadi pelatih, saya tidak pernah melupakan tujuan saya berada di sana dan saya tidak pernah menyerah. Saya ingin menyampaikan satu mesej: “Anda juga boleh melakukannya.” Penting untuk menunjukkan kepada generasi muda bahawa tidak ada salahnya untuk bermimpi besar.
E: Ramai yang sering menilai sama ada sesuatu impian itu realistik atau tidak. Adakah cabaran terbesar buat Felix ialah keputusan untuk berpindah ke Korea?
F: Saya pernah dilanda pelbagai kebimbangan tentang impian ini. Namun, seperti kata pepatah, “Jika anda tidak mencuba, anda tidak akan tahu.” Anda tidak akan tahu apa yang menanti tanpa mencuba. Sekalipun sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang, itu tidak mengapa – masih ada pintu lain yang menanti untuk dibuka. Tetapi jika anda sudah melangkah, jangan mudah berputus asa. Kadang-kadang, satu langkah kecil ke hadapan mampu membuka jalan kepada peluang yang tidak diduga.
E: Stray Kids telah meraih begitu banyak kejayaan, namun Felix pernah menyebut dalam temu bual sebelum ini bahawa anda masih merasakan ada ruang untuk terus berkembang. Pada pandangan anda, sejauh mana kumpulan ini telah berkembang hingga ke hari ini?
F: Selepas bersama selama tujuh tahun, saya rasa kami telah banyak membesar – namun perjalanan pembelajaran dan penemuan masih jauh dari selesai (ketawa). Tujuh tahun mungkin bukan tempoh yang singkat, tetapi ia juga bukan penamat bagi kami. Kami semua memperbaharui kontrak kerana masih banyak yang ingin kami luahkan melalui muzik, sama ada sebagai kumpulan atau secara individu. Apabila anda merasa terlalu selesa, api semangat itu boleh mulai pudar. Saya mahu terus belajar, berkembang dan berkongsi pengalaman saya dengan orang lain, termasuk generasi masa depan.
*Baca artikel lengkap menerusi majalah ELLE isu December di pasaran.