
Satu langkah berani dalam dunia penerbitan lelaki tempatan — Heart Media Malaysia memperkenalkan ELLE Men Malaysia, judul terkini dalam rangkaian global ELLE dan yang pertama seumpamanya dalam Bahasa Melayu. Menyasarkan lelaki urban moden yang bergaya dan berfikiran terbuka, majalah ini akan diterbitkan setiap dua bulan, dengan edisi sulung menemui pembaca pada Ogos 2025. Diterajui oleh Ardi Idewani, Editor Pengurusan untuk ELLE dan ELLE Men Malaysia, edisi cetak ini turut diperkukuh dengan kehadiran digital menerusi laman web ellemen.my dan saluran media sosial rasmi @ellemenmalaysia.

Mengikuti perubahan gaya hidup dan identiti lelaki moden, ELLE Men Malaysia membawakan sudut pandang baharu tentang siapa lelaki Malaysia hari ini. Daripada dunia fesyen, budaya pop, sehinggalah topik gaya hidup yang relevan, majalah ini menjadi ruang untuk berkongsi inspirasi, gaya peribadi dan cerita yang dekat dengan jiwa lelaki urban masa kini.

ELLE Men Malaysia hadir dengan lima seksyen utama yang menyentuh setiap aspek gaya hidup lelaki moden. Fesyen mengupas trend semasa dan visual yang kekinian. Grooming fokus pada penjagaan diri dan kesihatan lelaki. Aksesori & Horologi membincangkan jam tangan dan aksesori yang menjadi perhatian. Gaya Hidup merangkumi minat lelaki, dari kembara hingga teknologi. Akhirnya, Rencana menawarkan wawasan tentang personaliti dan perspektif tokoh-tokoh inspirasi.

“Kesedaran serta tahap pengetahuan lelaki-lelaki ultra-moden Malaysia tentang fesyen, gaya hidup, budaya semakin meningkat. Cita rasa mereka juga sudah berubah. Kemunculan ELLE Men Malaysia bergerak seiring dengan perkembangan ini dan saya jamin, ia akan menjadi ‘kamus gaya hidup’ lelaki masa kini.” – Ardi Idewani, Pengarang Pengurusan ELLE Malaysia
“Malaysia memiliki ramai bakat lelaki yang luar biasa dan sudah tiba masanya mereka diberikan representasi yang sama sepertimana kami berikan kepada wanita di ELLE. Semangat ELLE yang penuh warna dan inklusif pasti akan diteruskan dalam ELLE Men Malaysia dan saya teruja untuk rakyat Malaysia merasai permulaan bab baharu yang berani ini.” – Sarah Hani Jamil, Ketua Pengarang ELLE Malaysia