
Cinta yang berputik tidak dirancang itu kadang mungkin jalan ceritanya lebih indah berseri. Eyka Farhana dan Akhyar Rashid sedang menulis sebuah kisah yang bakal abadi dalam sebuah rekayasa penuh berbunga. Hafizan Mohd terbuai dalam cerita cinta yang sepertinya tak lagi usai.
Eyka Farhana, satu nama ikonik bidang lakonan yang menjadi pelapis pelakon wanita sedia ada merencana kembara kariernya tanpa perlu bergantung pada cabang lakonan sahaja. Menyedari bidang showbiz yang diceburinya hari ini melalui satu transisi berbeza, Eyka tidak melangkah perlahan dan pantas mencuri tumpuan jenama fesyen dan kecantikan antarabangsa untuk bekerjasama dengannya. Atas keputusannya itu, satu keseimbangan telah dicapai saya kira untuk Eyka membentuk satu penjenamaan yang memiliki standard tersendiri.
Tahun lalu berpuput angin bahagia, pertunangan yang dijalin aktres ini bersama pemain bola kelab Terengganu, Akhyar Rashid memenuhi Instagram feed dan menjadi bahan hebahan portal tempatan. Namun perkhabaran yang diceritakan itu tersimpan tiga bulan lamanya sebelum ia dikongsikan November tahun lalu. Itu mungkin caranya untuk benar-benar bercerita pada masa yang tepat dan saat dia benar-benar pasti.
Perkenalan bersama Akhyar yang berawal tanpa ada sebarang ekspektasi menjadi satu perjalanan panjang yang kini dikemudi kedua-duanya sebagai satu bahtera. Enam tahun perkenalan, mengikat Eyka dan Akhyar yang tanpa diduga kini menyatu dalam jiwa seiring sebagai teman hidup.

AKHYAR: Jaket kulit daripada BERLUTI. Seluar daripada SHALS. Beg Personal Polycarbonate Crossbody Granada daripada RIMOWA.
ELLE: Menuju hari bahagia, Eyka sudah fully ready untuk bergelar seorang isteri?
Eyka Farhana: Eyka rasa kalau bercakap tentang ready kita sebagai manusia memang tak akan pernah ready. Tapi Eyka percaya juga apabila sudah sampai serunya untuk kita berkahwin itu menjadi titik mula untuk Eyka bersiap sedia untuk menjadi seorang isteri dan insya-Allah satu hari nanti bergelar seorang mama pula nanti.
ELLE: Kalau Akhyar pula pada tika dan saat ini apa yang membuatkan Akhyar benar-benar sedia?
Akhyar Rashid: Saya rasa sebahagiannya datang daripada sokongan keluarga saya dan keluarga Eyka juga. Nasihat dan tunjuk ajar daripada kedua-dua keluarga yang membuatkan saya rasa ini masa yang paling tepat untuk berumah tangga dan bergelar seorang suami kepada Eyka Farhana.
E: Siapa di kalangan keluarga dan rakan yang menjadi individu pertama Eyka share tentang cerita untuk mendirikan rumah tangga?
EF: Kalau dalam keluarga my sister dengan my mom adalah orang pertama yang Eyka kongsikan. Tapi kalau diikutkan keluarga Akhyar yang tahu dulu lepas itu barulah Eyka share dengan family. Kalau among friends hanya selepas bertunang rasanya baru Eyka berkongsi cerita.

EYKA: Jaket denim daripada LOUIS VUITTON. Anting-anting milik penata gaya.
E: Akhyar datang dalam hidup Eyka ketika Eyka memang mencari cinta atau secara tak sengaja?
EF: Memang secara tak sengaja. Eyka ingat masa tu Eyka baru balik dari Bali sebab ada shooting and then ada kawan Eyka share yang Akhyar nak berkenalan. Ketika itu memang Eyka tengah single dan tak mencari cinta pun. So, ceritanya kita bermula dengan perkenalan biasa sahaja, tapi itulah sedar tak sedar dah setahun kemudian dah dua tahun sampailah tahun lalu, Akhyar ajak Eyka bertunang. Bagi Eyka pabila sudah fasa bertunang itu maknanya ada satu ikatan yang serius untuk Eyka. Alhamdulillah ia berterusan sehingga masuk fasa perkahwinan pula.
E: Kalau untuk Akhyar sendiri?
AR: Masa mula-mula berkenalan dengan Eyka fokus saya masih pada karier sebenarnya. Hanya selepas beberapa lama perkenalan, perlahan-lahan saya rasa dia mula melengkapi hidup saya untuk jadi manusia yang lebih baik. Semua proses terjadi secara tidak begitu dirancang. Daripada perkenalan biasa menjadi kekasih sehinggalah bergelar isteri, ia satu proses yang tak saya jangkakan.
E: Kualiti apa yang ada pada Eyka sebagai wanita yang membuatkan Akhyar tertarik?
AR: Saya suka Eyka sebab dia seorang yang lemah lembut tapi pada masa yang sama saya lihat dia seorang yang cukup bekerja keras untuk perkembangan karier dia. Hal ini yang membuat saya nampak dia seorang wanita yang hebat. Selain itu, saya boleh katakan Eyka juga seorang yang penyayang dan yang paling best sebab dia pandai masak.
E: Mungkin ada yang belum tahu, perkenalan Eyka dan Akhyar itu bermula bila dan bagaimana?
EF: Seingat Eyka first time kita jumpa tahun 2019, masa tu dekat satu event tapi tak ada apa-apa, just nampak dia. Tapi lepas tu kita jumpa lagi sekali dekat event yang lain, Akhyar approach Eyka through my friend and selepas itu dah start bertukar contact number. Tapi orang yang meyakinkan Eyka untuk kenal dengan Akhyar is my sister sebenarnya. Dia cakap just kenal-kenal and berkawan dulu. Lama-lama barulah Eyka kenal personaliti sebenar Akhyar sampailah sekarang.

EYKA: Dress daripada SHALS. Anting-anting dan kasut milik penata gaya.
E: Boleh kongsikan pengalaman first time Akhyar bawa Eyka keluar dating.
AR: First time saya bawa Eyka keluar dating masa tu dekat Singapore. Kita pergi Universal Studio. It’s just a one day trip but so much fun. Daripada situ perkenalan menjadi sangat rapat dan boleh dikatakan cinta mula berputik daripada momen itu.
E: Untuk Eyka lama tak untuk develop chemistry bersama Akhyar?
EF: Eyka rasa daripada mula perkenalan Eyka memang dah nampak chemistry dengan Akhyar itu ada. Dia seorang yang easy going dan manja juga orangnya. Apa yang paling best adalah Eyka boleh berborak apa saja dengan Akhyar dan boleh share banyak hal. Satu lagi yang penting Eyka rasa chemistry bukan antara Eyka dengan Akhyar sahaja tapi dengan famili juga. Dia seorang yang sangat menghormati orang tua.
E: Kalau boleh diingatkan kembali, apa first impression Eyka pada Akhyar?
EF: Eyka bukan seorang yang into sports tau, so masa first time Diba bagitahu Eyka yang Akhyar ni footballer, reaction Eyka macam oh okey. Tapi daripada segi personaliti apa yang Eyka boleh katakan dia memang seorang yang sweet daripada awal perkenalan lagi.

EYKA: Dress dan anting-anting daripada FENDI. Signature Sliding Tote Granada daripada RIMOWA.
DARI KIRI: Bagasi Essential Cabin Granada, bagasi Essential Check-In M Granada, bagasi Essential Check-In L Verde, bagasi Essential Trunk Plus Granada, Beg Personal Polycarbonate Crossbody Granada, bagasi Essential Cabin Verde dan bagasi Essential Trunk Plus Verde, kesemuanya daripada RIMOWA.
E: Kalau boleh saya tahu, apa yang membuatkan Eyka pasti that he’s the one?
EF: Eyka rasa jodoh antara kami kuat sebenarnya. Ada masa dalam enam tahun perkenalan kita cuba untuk fokus pada diri sendiri dan buat haluan masing-masing. Tapi setiap kali benda itu terjadi dan kita cuba menjauh, ia menjadikan ikatan yang ada bertaut kembali. Eyka akan sentiasa cari Akhyar dan Akhyar akan sentiasa ada dengan Eyka. Ups and down Eyka akan sentiasa ada Akhyar. Jadi hal ini yang membuatkan Eyka rasa yes he is the one.
E: Momen mana yang benar-benar membuatkan Eyka rasa betul-betul menyenangi Akhyar?
EF: Banyak sebenarnya tapi yang paling Eyka ingat ada satu masa Eyka admitted dan kena surgery - Akhyar jaga Eyka masa dekat hospital beberapa hari. Daripada situ Eyka nampak yang dia betul-betul nak jaga Eyka dan ada tanggungjawab sebagai lelaki yang cukup prihatin dan ambil berat.
AR: Saya tak boleh tengok dia sakit atau tahu ada orang yang menyakiti dia, saya pun akan sama rasa sakit tu. Kalau dia ada masalah atau tengah stress saya akan mudah tersentuh tengok situasi dia.
*Baca temu bual penuh menerusi majalah ELLE isu Mei 2025.