‘Didi’ filem tentang pendewasaan mendapat ulasan cukup positif membuka tahun ini nafas segar pembikin filem muda dan baru. Kisah kekeluargaan menjadi titik tumpu beberapa filem yang beredar tahun ini. Selain ‘Didi’, ‘How To Make Millions Before Grandma Dies’ tidak putus diperkatakan. Ini antara yang paling beremosi dan paling banyak dibicarakan baik daripada ulasan pengkritik filem sehinggalah media sosial.
Filem Asia Tenggara semakin mendapat perhatian yang cukup meluas. ‘Longlegs’ menjadi filem dalam jaluran seram / psiko yang disebut-sebut sebagai satu pendekatan baru. Ada yang menyenanginya dan tidak kurang yang masih belum faham dengan pemikiran yang dipaparkan.
Ilham adaptasi masih menjadi fokus kebanyakan pembikin filem global. ‘The Outrun’ paling menyerlah tahun ini sebagai naskhah yang mendapat sorakan penuh. ‘Small Things Like These’ dan ‘Nightbitch’ dua lagi naskhah adaptasi yang dinantikan tayangannya bakal mencuri perhatian juri-juri Oscar yang berlangsung tahun hadapan
‘Anora’ dan ‘The Substance’ yang mencuri perhatian ketika tayangan perdana di Cannes tahun ini. Kedua-duanya cemerlang dengan idea besar yang bergerak sebagai naskhah filem bersifat kritikan sosial. Berikut filem-filem pilihan ELLE tahun ini.
HOW TO MAKE MILLIONS BEFORE GRANDMA DIES
Filem ini bergerak atas nilai kemanusiaan dan kekeluargaan yang cukup tinggi. Idea perhubungan cucu dan nenek dalam cerita yang disusun dengan momen-momen menyentuh dan candid membuat kita sebagai penonton tersenyum dan sayu pada masa yang sama.
THE SUBSTANCE
Ini mungkin filem yang paling memberi kejutan besar dalam perkembangan naratifnya. Tiada filem yang mendekati ilham dan cara filem ini dibikin. Demi Moore dan Margaret Qualley memberi persembahan terbaik mereka menerusi filem arahan Coralie Fargeat ini.
ANORA
Sejak memenangi anugerah utama Festival Filem Cannes tahun ini filem arahan Sean Baker ini dinanti-nantikan tayangannya. Membawa kisah seorang sex worker bernama Anora yang akhirnya menemukan cinta dan berharap ini adalah pengakhiran bahagia untuknya.
GRAVE TORTURE
Ini adalah filem seram terbaik yang dihasilkan tahun ini. Datang daripada pengarah Indonesia, Joko Anwar - ‘Grave Torture’ membawa pengisian agama, kepercayaan dan persoalan akan keadilan dunia dan alam baka. Babaknya disusun kemas, laju dan mendebarkan.
DIDI
Filem yang memberi kejutan manis tahun ini. Berlatar era awal 2000, kisahnya membawa penonton pada sub budaya skateboarding, Facebook dan kemunculan awal YouTube. Tentang pendewasaan, kekeluargaan dan persahabatan.
MAHARAJA
Filem India yang paling banyak mendapat perhatian tahun ini. Maharaja berpasak pada ilham crime / thriller yang begitu mendebarkan. Penceritaan luar jangka yang dicipta membuat penonton terpaku ke hujung cerita dengan tempo laju dan plot yang mengikat.
THE PARADISE OF THORNS
Sebuah lagi filem dari Thailand yang harus diberi perhatian tahun ini. ‘The Paradise of Thorn’ membuka mata ramai akan isu kekeluargaan, hak saksama dalam alur cerita yang bersahaja dan beremosi.
THE OUTRUN
Persembahan cemerlang Saoirse Ronan sepanjang kariernya. Diadaptasi daripada memoir yang membawa kisah nyata wanita ketagihan alkohol dalam mencari ruang dan peluang memperbaiki namun berhujung dengan insiden-insiden yang semakin tragis.
WE LIVE IN TIME
Tentang percintaan di ambang kedewasaan yang kasih sayangnya diuji dengan kesabaran. Dalam plot yang disusun tidak linear, penonton dituntut untuk tidak leka pada babak-babaknya. Lakonan hebat Florence Pugh dan Andrew Garfield menjadi tunjang kekuatan filem ini.