
Lena Dunham menerusi Girls membawa satu dimensi baru dalam penciptaan siri televisyen yang mentafsir pemikiran dan kelakuan generasi mengikut latar masa. Atas hal itu Girls dihasilkan mewakili care free generation di kalangan milenial dengan latar New York yang mancawarna.
Setelah lebih sedekad Girls bersiaran, Lena Dunham kembali kali ini bersama Netflix menghasilkan sebuah lagi ilham barunya menerusi Too Much drama bersiri dengan cerita tentang identiti, perhubungan dan kejutan dalam hidup.

Sinopsis
Berlegar kisah watak utama Jessica yang digambarkan sebagai seorang workaholic berasal New York yang patah hati setelah hubungan cintanya berhujung. Lantas dia membuat keputusan berpindah ke London dan menjalani kehidupan baru.
Rencananya berubah saat dia bertemu Felix, seorang pemuzik indie yang nyata jauh daripada apa yang dia gambarkan sebagai jejaka yang bakal dia temukan di London. Lena Dunham menerusi Too Much menggugah kisah cinta yang penuh dengan hal luar jangka.

Too Much is Binge Worthy
Satu hal yang benar-benar membuatkan Too Much Netflix benar-benar binge worthy adalah chemistry yang tercipta pada dua watak utamanya. Megan Stalter dan Will Sharpe berjaya menghidupkan karakter Felix dan Jessica sebagai screen couple yang cukup disenangi.
Penulisan skrip Lena Dunham sebagai pengarah seperti biasa tidak pernah lekang dengan barisan dialog yang bersahaja. Terkadang ia benar-benar membuatkan kita tertawa dengan sinis dan canda yang ditulis dan dizahirkan sebaiknya kesemua pelakon dalam cereka romantik komedi ini.

Nama besar seperti Emily Ratajkowski, Jessica Alba, Andrew Scott, Rita Ora, Naomi Watts dan Adwoa Aboah antara wajah penyeri mengisi sebahagian episod dalam siri ini. Karakter mereka benar-benar hidup biarpun hanya muncul seketika.
Sarat dengan kritikan sosial dengan pendekatan satira berbanding fokus pada jalan cerita menjadikan Too Much cukup tersendiri dalam penceritaannya. Setelah "Girls" , Lena Dunham membuktikan dia masih seorang tukang cerita yang cukup berbakat dan sensitif pada persekitarannya.

