Berbelanja secara bijak di bulan Ramadan dapat membantu kita menyambut Syawal dengan lebih baik tanpa bebanan masalah kewangan. Dengan perancangan yang rapi, kita dapat menikmati Hari Raya dengan penuh keberkatan, tanpa rasa boros atau menyesal. Ini langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk persiapan Syawal dengan lebih baik!
1. Tetapkan Bajet Perbelanjaan
Sebelum memulakan sebarang pembelian, buat bajet penting untuk perbelanjaan Ramadan dan Syawal. Pecahkan bajet kepada beberapa kategori seperti:
- Makanan berbuka & sahur – Elakkan pembaziran dengan membeli makanan secara berlebihan.
- Pakaian Raya – Tetapkan had perbelanjaan untuk pakaian sekeluarga.
- Duit Raya – Rancang jumlah yang akan diberikan supaya tidak melebihi kemampuan.
- Dekorasi & kelengkapan rumah – Jika perlu, beli barang secara berperingkat untuk mengelakkan perbelanjaan besar sekaligus.

2. Buat Senarai Ikut Keperluan, Bukan Kehendak
Sebelum membeli-belah, buat senarai barang yang benar-benar diperlukan. Ini dapat mengelakkan pembelian impulsif dan memastikan anda membeli mengikut keutamaan. Fokus kepada perkara penting seperti bahan makanan untuk memasak dirumah, pakaian raya yang baru dan kuih-muih atau hidangan raya.
3. Utamakan Tunai Atau e-Wallet Berbanding Kad Kredit
Jika boleh, gunakan wang tunai atau e-Wallet untuk mengawal perbelanjaan. Pembayaran dengan kad kredit boleh menyebabkan hutang jika tidak dikawal dengan baik. Tetapkan had penggunaan kad kredit dan pastikan ia boleh dilunaskan selepas perayaan.

4. Elakkan Pembaziran Makanan
Berbuka puasa sering menjadi waktu di mana kita cenderung untuk membeli makanan secara berlebihan. Untuk mengelakkan pembaziran, anda boleh:
- Masak makanan dirumah dan berbuka bersama keluarga.
- Simpan lebihan makanan dengan baik untuk sahur
- Kongsi makanan dengan jiran atau sedekahkan kepada yang memerlukan
- Elakkan pembelian terlalu banyak di bazar Ramadan

5. Manfaatkan Tawaran & Diskaun
Sepanjang musim perayaan pasti akan dipenuhi dengan promosi menarik. Gunakan peluang ini untuk berjimat dengan membeli barangan keperluan semasa jualan murah, menggunakan kod diskaun atau baucar dalam talian dan membuat bandingan harga sebelum membeli untuk mendapatkan pilihan terbaik. Namun, elakkan membeli sesuatu hanya kerana harganya murah jika ia bukan keperluan utama.