Pada era gaya hidup moden kini yang semakin ramai masyarakat telah mempunyai kesedaran tinggi terhadap alam sekitar, komuniti dan budaya setempat, pengalaman yang benar-benar bermakna kini menjadi keutamaan. Berlandaskan teras aspirasi tersebut, komuniti Earth Heir® memperkenalkan The GOOD LIST. Ia merupakan sebuah direktori digital yang menghimpunkan lebih 100 perusahaan sosial, penginapan lestari, kafe berimpak sosial, pengalaman warisan serta aktiviti kesukarelawanan. Segalanya terangkum untuk mengangkat nilai pengalaman kemampanan dan kesejahteraan komuniti.

Momen Pelancaran
Dilancarkan bersempena Kuala Lumpur Festival oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bulan lalu dengan jayanya. Inisiatif ini membuka lembaran baru dalam landskap pelancongan Malaysia dengan memperkenalkan cara yang lebih bertanggungjawab untuk meneroka destinasi tempatan. Bermula di Kuala Lumpur dan Selangor, The GOOD LIST dijangka diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Ia juga mahu menjadi lebih daripada sekadar platform rujukan, ruang ini memberi kelebihan kepada perusahaan kecil yang sering terpinggir daripada perhatian arus perdana. Daripada usahawan artisan dan komuniti Orang Asli sehinggalah perusahaan sosial yang memperkasa golongan rentan. Setiap entiti dipilih berdasarkan impak positif yang dibawa kepada masyarakat serta komitmen terhadap amalan perniagaan yang beretika.

Antara yang tersenarai termasuk Silent Teddies Deaf Bakery, Umah Temuan, Serendah Indigenous Explorations, EPIC Homes, Rumah Kita oleh Yayasan Chow Kit, Dapur Digital dan UNPLUG. Kesemuanya menawarkan pengalaman yang bukan sahaja autentik, malah memberi peluang kepada pengguna untuk menyokong komuniti tempatan secara langsung melalui setiap pembelian, tempahan atau kunjungan.
Fokus Inisiatif
Menurut Pengasas dan Pengarah Earth Heir®, Sasibai Kimis, Malaysia memiliki ekosistem perusahaan yang kaya dengan nilai budaya serta impak sosial. Akan tetapi kebanyakannya masih sukar ditemui melalui saluran konvensional. Justeru, The GOOD LIST diwujudkan sebagai peta digital untuk membantu pengguna membuat pilihan lebih beretika. Secara tidak langsung sekali gus meningkatkan keterlihatan perusahaan yang membawa perubahan positif.
Selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, The GOOD LIST turut mencerminkan evolusi baharu dunia pelancongan. Usaha ini untuk lebih menghargai kisah di sebalik setiap komuniti, warisan dan perusahaan tempatan. Ia mengajak pelancong melihat setiap perjalanan sebagai peluang menyumbang kepada ekonomi lebih inklusif, memelihara budaya serta menyokong kelestarian alam sekitar.

Di sebalik setiap destinasi yang disenaraikan, tersimpan pelbagai cerita tentang daya tahan, kreativiti dan semangat komuniti. Di sinilah fungsi The GOOD LIST untuk membuktikan bahawa pengalaman paling bermakna tidaklah semata-mata tentang lokasi mana yang hendak dikunjung tetapi tentang impak yang ditinggalkan.
Perubahan dunia moden hari ini yang semakin menghargai perjalanan dan penerokaan berteraskan nilai perlulah disokong. Inisiatif ini menjadi panduan buat mereka yang percaya bahawa setiap langkah, pilihan dan pengalaman mampu membawa perubahan yang lebih baik.

