Langgan

Temu Bual: Joy Ngiaw dan Mimpi Hollywood

Bersempena kempen 'Here’s to the Dreamers' oleh Apple kami berbual bersama Joy tentang keberanian.
5 minit untuk membaca
Published: August 8, 2025
Gambar: Joy Ngiaw

Hollywood adalah dunia yang luas dan tidak ramai orang Asia, apatah lagi rakyat Malaysia yang berjaya menembusi kejayaan antarabangsa selain ikon seperti Michelle Yeoh dan Henry Golding. Namun, tahukah anda bahawa ada seorang lagi bintang? Seorang yang bersinar di balik tabir.

Memperkenalkan Joy Ngiaw. Dalam industri yang didominasi lelaki, wanita asal Malaysia ini mencipta sejarah sebagai komposer termuda yang menggubah muzik logo untuk studio Skydance Animation. Di sebalik pencapaian profesionalnya, Joy kekal bersemangat untuk memecahkan halangan sebagai wanita Asia Tenggara dalam dunia gubahan muzik filem dan TV sambil membuka laluan kepada lebih banyak suara yang pelbagai.

Bersempena kempen 'Here’s to the Dreamers' oleh Apple – kini memasuki edisi ketiga dengan tema ‘Dream Beyond’ – kami berbual bersama Joy tentang makna di sebalik pemilihannya untuk kempen ini dan bagaimana Joy terus berani bermimpi besar.

It’s always an honour untuk berbicara dengan seorang rakyat Malaysia yang telah berjaya di pentas dunia. Apakah yang menginspirasikan minat anda terhadap muzik, khususnya sebagai anak jati Pahang?
The honour is truly all mine! Saya membesar dengan membaca majalah ELLE, jadi pengalaman ini terasa sangat mengujakan. Ya, saya berasal dari Pahang dan saya telah mencintai muzik sejak kecil lagi. Saya mula bermain piano klasik pada usia enam tahun dan saya sentiasa suka menyanyi. Sebagai seorang kanak-kanak yang sensitif, setiap kali saya mengalami emosi yang sukar untuk diproses, saya akan menggunakan muzik untuk meluahkan perasaan. Saya juga meminati filem. Saya masih ingat menonton ‘The Lion King’ berulang kali bersama ibu dan merasa kagum bagaimana muzik menjadikan penceritaannya begitu berkuasa. Setiap kali lagu dimainkan, ia terasa seperti seorang teman yang membimbing kita sepanjang perjalanan watak-wataknya. Ketika itulah saya tahu saya mahu mencipta skor muzik untuk filem dan TV.

Joy Ngiaw
Gambar: Joy Ngiaw

Bagaimana anda meraih peluang pertama di LA?
Perjalanan saya bermula dengan banyak pembelajaran, membantu dan networking dalam industri yang sangat kompetitif. Saya kekal fokus pada matlamat untuk menjadi komposer. Filem Apple Original ‘Blush’ merupakan peluang besar pertama saya dan projek ini sentiasa memegang tempat istimewa di hati saya. Ia bukan sahaja memberi peluang untuk saya mencipta skor kepada sebuah kisah yang penuh emosi malah saya juga berpeluang menggunakan tema ‘Blush’ untuk skor logo rasmi studio Skydance Animation. Memikirkan bahawa muzik saya akan mengiringi projek-projek masa depan studio tersebut adalah pencapaian besar bagi saya, baik dari segi profesional mahupun peribadi kerana ia mengesahkan bahawa suara dan perspektif unik saya dihargai. Dari situ, pintu-pintu peluang mula terbuka dan saya dapat menyertai pelbagai projek yang berbeza dan menarik. Setiap satunya membantu saya berkembang sebagai seorang komposer dan pencerita.

Apakah cabaran yang anda hadapi semasa beralih dari Malaysia ke dunia muzik Hollywood?
Ia bukanlah perjalanan yang mudah, tetapi berbaloi. Seperti ramai artis yang kurang diwakili, saya perlu menempuh industri di mana saya jarang melihat individu yang kelihatan seperti saya atau berkongsi latar belakang saya. Representation matters, on-screen and behind the scenes too. Masih belum ramai komposer wanita di Hollywood yang mengendalikan projek studio besar, apatah lagi komposer wanita Asia. Jadi, ia memerlukan banyak kerja keras dan sering kali perlu “membuktikan diri” hanya untuk dilihat. Namun, saya kekal berpegang pada suara dan perspektif unik saya. Saya fokus pada pembelajaran, bekerjasama dan bersikap terbuka terhadap peluang baharu, sambil mempercayai bahawa saya juga mempunyai cerita yang unik untuk diceritakan.

Adakah akar budaya Malaysia anda mempengaruhi kerja anda hari ini?
Semestinya. Membesar sebagai seorang Cina-Malaysia, saya membawa banyak nilai teras budaya saya dalam cara saya bekerja, bekerjasama dan mewakili diri secara profesional. Daripada segi muzik, saya sangat terinspirasi oleh bunyi-bunyian Asia Tenggara dan berusaha untuk memasukkan elemen daripada tradisi muzik kita yang kaya ke dalam skor saya. Kekal autentik terhadap akar saya sangat penting dan membantu memberi suara yang unik kepada kerja saya.

Joy Ngiaw
Gambar: Joy Ngiaw

Untuk kedua-dua karya anda dalam ‘Blush’ dan ‘WondLa’, bagaimana anda mendekati proses menggubah skor untuk menyesuaikan dengan naratif?
Dalam animasi, muzik sering menjadi suara kepada watak-watak. Jadi penting untuk skor benar-benar mencerminkan visi penerbit filem. Saya sentiasa mula dengan bertanya kepada pengarah, "Why are you telling this story? What do you want the audience to take away from it?" Kejelasan itu membentuk setiap keputusan muzik yang saya buat dan membantu saya membina palet bunyi yang sejajar secara emosi dengan naratif. Bagi ‘Blush’, ia adalah kisah peribadi daripada pengarah kami, Joe Mateo, yang mendedikasikan filem itu kepada mendiang isterinya yang meninggal dunia akibat kanser payudara. Salah satu perkara yang dia katakan dan sangat terkesan di hati saya ialah, “Orang yang kita sayangi adalah oksigen kita.” Idea itu menginspirasikan saya untuk merakam bunyi nafas dan vokal ke dalam skor dan elemen itu akhirnya menjadi sebahagian penting daripada penceritaan. Ia membantu memberikan muzik rasa keintiman emosi yang saya percaya penonton dapat rasakan.

Bagi siri Apple Original, ‘WondLa’, dunia yang ditampilkan sangat luas dan pelbagai dan itu memberi saya peluang untuk menggunakan muzik bagi mewakili pelbagai budaya dan membantu membina dunia tersebut. Saya dilibatkan agak awal, jadi saya berpeluang membaca skrip, melihat rekaan watak dan seni konsep. Semua itu membantu saya membentuk palet bunyi untuk setiap puak. Saya menggunakan banyak instrumen dunia yang unik dan tekstur berbeza dan ia merupakan peluang yang menyeronokkan untuk bereksperimen dan mencipta sesuatu yang benar-benar unik bagi setiap bahagian alam semesta itu.

Anda seorang pengguna tegar Logic Pro. Bagaimana anda mula mengenalinya dan mengapa ia menjadi alat yang sesuai untuk aliran kerja kreatif anda?
Logic Pro sangat popular dalam komuniti penggubah skor filem di Hollywood, jadi mempelajarinya menjadi keperluan apabila saya berpindah ke LA. Saya mula mengenalinya di sekolah. Apabila saya mula bekerja secara profesional, terutamanya dalam TV dan animasi di mana kelajuan sangat penting, saya menyedari betapa hebatnya perisian ini. Sebagai pengguna tegar Apple, Logic Pro menjadi bahagian penting dalam proses kreatif saya. Ia pantas, boleh dipercayai dan menyatu dengan lancar dalam aliran kerja harian saya. Saya memerlukan alat yang membolehkan saya menangkap idea dengan cepat dan bereksperimen tanpa halangan teknikal dan Logic Pro memberi saya semua itu.

Joy Ngiaw
Gambar: Joy Ngiaw

Apakah beberapa ciri Logic Pro kegemaran anda?
Salah satu perkara kegemaran saya tentang Logic Pro ialah betapa mudahnya bekerja dengan vokal. Saya suka merakam vokal sendiri dan bereksperimen dengan tekstur menggunakan suara saya. Logic Pro menjadikan rakaman, lapisan dan manipulasi vokal begitu pantas. Saya boleh menggabungkan rakaman, mengubah pic dan memproses audio tanpa memutuskan aliran kreatif. Saya juga kerap menggunakan Quick Sampler untuk menukar idea vokal atau bunyi nafas kecil menjadi sesuatu yang berirama atau melodi. 

Bagaimana Logic Pro memberi kekuatan kepada anda, terutamanya sebagai komposer wanita muda dalam industri yang sedang berkembang?
Sebagai seorang komposer wanita dalam industri yang didominasi lelaki, memiliki alat seperti Logic Pro memberi saya kebebasan untuk merealisasikan sepenuhnya idea tanpa perlu bergantung pada orang lain. Saya boleh membuat lakaran, menghasilkan, merakam dan menghantar segalanya dalam satu tempat. Kebebasan ini sangat penting, terutamanya pada awal kerjaya ketika saya cuba membuktikan diri. Logic Pro membantu saya kekal cekap, kreatif dan mengawal suara sendiri.

Joy Ngiaw
Gambar ishan Apple

Apa maknanya bagi anda untuk menjadi sebahagian daripada komuniti Logic Pro Dreamers?
Saya sangat berbesar hati menjadi sebahagian daripada kempen ‘Here’s to the Dreamers’ tahun ini. Datang dari sebuah kampung kecil di Malaysia dengan impian besar untuk menulis muzik bagi filem dan TV, detik ini terasa seperti perjalanan penuh kitaran. Ia adalah peringatan yang kuat bahawa tidak kira dari mana anda datang, suara anda tetap penting. Saya bangga menjadi sebahagian daripada komuniti yang meraikan kreativiti, keunikan, dan keberanian untuk bermimpi besar. Saya berharap dapat terus membuka laluan untuk bakat muda wanita Asia menemukan suara dan peluang mereka dalam industri ini.

Akhir sekali, apakah nasihat anda untuk komposer wanita muda yang ingin menceburi bidang gubahan muzik filem?
Sebagai wanita Asia, kita sering diajar untuk menjadi "kecil" atau menjadi yang paling senyap di bilik, paling sopan dan membiarkan orang lain mendahului. Tetapi saya belajar bahawa ada kekuatan sebenar dalam mengambil ruang, memiliki suara dan mempercayai diri sendiri. Kisah anda, perspektif anda, latar belakang budaya anda adalah kuasa anda. Kekal ingin tahu, kekal baik hati dan kelilingi diri dengan orang yang menyokong dan mencabar anda. Ingat, apa yang membuat anda berbeza adalah apa yang menjadikan anda unik.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down