Langgan

5 Manfaat Apple Watch Series 10 Untuk Gaya Hidup Sihat Tahun 2025

Apple Watch Series 10 menyuntik keyakinan tambahan untuk anda mengatasi cabaran kecergasan.
2 minit untuk membaca
Published: December 25, 2024


Apple Watch terus mentakrifkan semula cara kita mendekati kecergasan, kesihatan, dan produktiviti harian. Setiap tahun, ia memperkenalkan ciri-ciri menarik yang memudahkan anda menjalani kehidupan yang lebih sihat dan terhubung. Jika anda ingin memulakan tahun 2025 dengan matlamat kecergasan baharu atau mengoptimumkan rutin harian anda, berikut adalah lima cara Apple Watch boleh membantu anda mencapainya.

Customise Activity Rings Anda

Mulakan perjalanan kesihatan anda dengan menyesuaikan cincin aktiviti mengikut rutin harian. Dalam aplikasi Activity, anda bukan sahaja boleh melihat jumlah langkah dan jarak yang dilalui berdasarkan hari, minggu,atau bulan, tetapi juga menyesuaikan sasaran pergerakan dan senaman untuk hari-hari tertentu dalam seminggu. Sebagai contoh, jika hari Sabtu dikhaskan untuk larian jarak jauh, anda boleh meningkatkan sasaran untuk mencabar diri anda. Dengan menggunakan pilihan Set Schedule, anda dapat menyelaraskan sasaran mengikut gaya hidup anda, membantu anda kekal bermotivasi dan konsisten.

Fahami Status Kesihatan Harian

Dengan aplikasi baharu Vitals, Apple Watch kini membantu anda memantau kesihatan setiap pagi. Aplikasi ini mengumpulkan data seperti kadar jantung, kadar pernafasan, suhu pergelangan tangan dan oksigen dalam darah. Data ini digunakan untuk menetapkan tanda aras kesihatan biasa anda. Setiap pagi, aplikasi ini akan menunjukkan sama ada data kesihatan anda berada dalam julat biasa atau sebaliknya. Sebagai contoh, jika kadar jantung dan suhu pergelangan tangan anda berada di luar julat biasa, aplikasi ini akan memberi notifikasi, termasuk kemungkinan penyebab seperti pengambilan alkohol atau kafein. Anda juga boleh mengetik ikon info untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci.

Gunakan Fungsi Check-In Semasa Bersenam

Bagi yang kerap bersenam, fungsi Check-In pada Apple Watch memberikan ketenangan tambahan. Fungsi ini, yang sebelum ini hanya tersedia di iPhone, membolehkan anda memberitahu seseorang tentang lokasi anda semasa menjalankan aktiviti luar seperti berjoging pagi atau ke gim pada waktu malam. Sebagai contoh, jika berlaku gerakan yang luar biasa semasa anda bersenam, Apple Watch akan menghantar notifikasi kepada rakan atau keluarga yang anda pilih. Fungsi ini memastikan keselamatan anda sambil kekal aktif.

Kawal Kamera

Ramai membawa iPhone ke gim untuk mengambil gambar atau video sebagai motivasi. Dengan fungsi Camera Remote, anda kini boleh mengawal kamera iPhone menggunakan Apple Watch. Caranya mudah: buka aplikasi kamera di iPhone, letakkan telefon anda pada kedudukan yang sesuai dan kemudian gunakan Apple Watch untuk melihat paparan langsung. Anda boleh mengambil gambar atau memulakan rakaman video tanpa perlu berulang-alik ke telefon.

Jejak Perjalanan Kesihatan dengan Cardio Fitness

Ciri Cardio Fitness pada Apple Watch anda mengukur VO2 max, penunjuk penting keupayaan tubuh menggunakan oksigen semasa bersenam. Dahulu, pengukuran VO2 max memerlukan ujian makmal dengan senaman intensif dan penggunaan topeng oksigen. Kini, Apple Watch boleh melakukannya terus dari pergelangan tangan anda. Menurut Persatuan Jantung Amerika, tahap cardio fitness yang rendah dikaitkan dengan risiko kesihatan yang lebih tinggi. Dengan data daripada Apple Watch, anda boleh melihat perubahan cardio fitness anda dalam aplikasi Health di iPhone, memastikan anda berada pada laluan yang betul untuk mencapai kesihatan yang lebih baik.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down