Langgan

5 Sebab Kenapa Anda Harus Mempertimbangkan Untuk Membeli Apple Vision Pro

Masa depan kini-hanya dengan sebuah peranti yang canggih dan mudah alih.
Oleh | TERJEMAHAN Athirah Zahra
3 minit untuk membaca
Published: August 23, 2024
Apple Vision Pro
Gambar: Apple

Sekiranya anda sama seperti saya, membesar dengan minat terhadap filem genre sains fiksyen, anda pasti pernah melihat sistem peranti komputer yang digunakan oleh saintis di dalam persekitaran yang terpelihara sambil berharap agar suatu hari nanti anda akan dapat menggunakannya. Antara contoh tepat ialah Letitia Wright, memegang watak Shuri dalam Black Panther: Wakanda Forever (2022), menggunakan peranti komputer canggih berkuasa vibranium yang boleh melakukan segalanya dari melayari internet, membuat panggilan video hingga mencipta pakaian adiwira. Kini, anda akan dapat melakukan lebih dari semua ini dengan Apple Vision Pro.

Saya telah meliputi berita teknologi dari sudut gaya hidup selama beberapa tahun dan agak ragu-ragu jika ada pelancaran item baharu. Namun begitu, saya sangat teruja ketika pertama kali mencuba Apple Vision Pro di Cupertino bulan lepas. Itu adalah kali pertama saya menggunakan peranti komputer yang mencapai jangkaan dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk membiasakan diri dengan cara pengendaliannya. Selepas menguasai teknologi itu sepenuhnya, sememangnya ia membuka satu dimensi baharu dalam bidang teknologi, komunikasi dan kreativiti.

Apple Vision Pro
Navin Pillay mencuba Apple Vision Pro buat pertama kalinya di Teater Steve Jobs, Apple Park.

Secara ringkas: Apple Vision Pro dijangka akan mentafsirkan semula realiti terimbuh dan realiti maya dengan ciri-ciri maju serta integrasi yang lancar ke dalam ekosistem Apple. Akan tetapi, anda tidak perlu menerima apa yang saya katakan secara membuta tuli. Di bawah merupakan lima sebab kukuh kenapa anda patut melabur dalam Apple Vision Pro, disertakan dengan sudut pandangan daripada pengulas terkenal Justine Ezarik, yang lebih dikenali sebagai iJustine, dan Marques Brownlee.

1. Evolusi Ruang Pengkomputeran 

Gambar: Apple

Apple Vision Pro dikuasakan oleh visionOS, sebuah sistem operasi inovatif yang menggabungkan kecemerlangan kejuruteraan dan reka bentuk dari iOS, iPadOS, dan macOS. Antara kelebihan ruang muka pengguna yang maju ini adalah untuk membolehkan pengguna mengendalikan peranti dengan mata, tangan, dan suara. Seperti yang dijelaskan oleh iJustine: “Apple telah melangkaui had kemampuan mereka dengan Vision Pro, bukan sekadar butiran teknologi tetapi bagaimana cara ia berintegrasi dengan lancar dalam kehidupan seharian". Integrasi yang lancar ini menawarkan pengalaman yang memuaskan meliputi keseluruhan peranti Apple, menawarkan interaksi unik dan menyeluruh di antara aplikasi dan kehidupan.

2. Pawagan Peribadi yang Tiada Tandingan

Gambar: Apple

Transformasikan malam filem anda dengan pengalaman sinematik yang menyeluruh dari Vision Pro. Sokongan perkhidmatan penstriman terkemuka meliputi aplikasi seperti Apple TV+, Amazon Prime Video, Disney+, dan banyak lagi. Marques Brownlee berkata “Vision Pro menawarkan pengalaman visual dan audio yang tiada tandingan, menjadikannya pemangkin dalam industri AR/VR.” Peranti ini juga menyokong SharePlay, membenarkan pengguna menonton bersama seolah-olah mereka berada di ruang fizikal yang sama, mempertingkatkan aspek sosial dalam penggunaan media, sesuai untuk rakan dan keluarga.

3. Ruang Kerja Luas dan Peribadi

Gambar: Apple

Bagi golongan profesional yang gemar meningkatkan produktiviti, Vision Pro menawarkan ruang kerja yang luas, peribadi, dan mudah alih. Lebih daripada 2,000 aplikasi direka khusus untuk peranti ini dan lebih 1.5 juta aplikasi serasi dengan iOS dan iPadOS. Jelas, Vision Pro adalah alat serbaguna untuk meningkatkan produktiviti. Aplikasi seperti Microsoft 365, Slack, dan Zoom menyokong kolaborasi antara rakan sekerja dan mengurus tugas secara efisien. Menurut iJustine: “Menonton filem atau bekerja dengan menggunakan Vision Pro merupakan pengalaman penuh yang baharu, bukan seperti yang kita pernah lihat sebelum ini.” Jelas, ia membolehkan kerja secara maya dengan memudahkan komunikasi, melihat rakan sekerja serta reaksi mereka secara nyata, tanpa perlu berada di tempat yang sama.

4. Peranti Permainan Terunggul. 

Vision Pro bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti dan menonton filem, ia juga merupakan peranti permainan maya yang luar biasa. Terdapat ribuan permainan yang menyeronokkan, termasuk lebih 250 tajuk permainan dari Apple Arcade, Vision Pro menyediakan pengalaman permainan yang mendalam. Tajuk-tajuk popular seperti Job Simulator dan Alto’s Odyssey menyinari peranti ini, membolehkan pemain menggunakan mata dan tangan mereka untuk berinteraksi. Marques Brownlee menambah “Peranti ini berpotensi merevolusikan cara kita mendekati pembelajaran dan kerja, menawarkan tahap interaktiviti dan penglibatan yang baru".

5. Reka Bentuk dan Teknologi yang Inovatif

Gambar: Apple

Vision Pro menampilkan sistem paparan resolusi ultra-tinggi dengan teknologi micro-OLED, yang mengandungi 23 juta piksel dalam dua paparan bersaiz setem pos. Paparan canggih ini, digabungkan dengan Spatial Audio, mencipta pengalaman yang jelas dan mendalam. Reka bentuk dwi-cip Vision Pro, merangkumi cip M2 untuk prestasi dan cip R1 untuk memproses input dari kamera dan sensor, memastikan operasi yang lancar serta responsif. Reka bentuknya yang bergaya dan ringan menjadikannya menarik secara visual serta unggul dalam pasaran AR/VR.

Kesimpulan

Gambar: Apple

Apple Vision Pro bukan sekadar kemajuan teknologi, ia adalah pandangan ke arah masa depan realiti terimbuh dan realiti maya. Dengan ulasan cemerlang daripada pengulas teknologi terkemuka seperti iJustine dan Marques Brownlee, Vision Pro bersedia untuk mentakrif semula interaksi bersama dengan persekitaran digital. Sama ada untuk hiburan, produktiviti, atau permainan, Vision Pro menawarkan pengalaman yang serbaguna yang sukar ditandingi.

Apple Vision Pro boleh di dapati di semua lokasi Apple Store di Malaysia, serta di Apple Store dalam talian, dalam lingkungan harga RM17,745, dengan pilihan kapasiti storan 256GB, 512GB, dan 1TB.

Artikel asal dari ELLE Singapore.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down