Seperti yang semua tahu, The Exchange TRX sering sibuk dengan kunjungan khayalak ramai dan pelbagai aktiviti. Namun, ada sudut tenang yang kita boleh singgah untuk mengumpul semula tenaga yang hilang. Union Bistrot adalah salah satu tempat tersebut. Dengan suasana yang tenang tetapi mengekalkan sentuhan posh, restoran dan kafe ini menawarkan keselesaan yang sempurna. Dikelilingi oleh tumbuhan yang cantik, anda boleh mencarinya di tingkat 1 pusat beli-belah The Exchange TRX.
Union Bistrot hidang makanan fusion, gabung tempatan & antarabangsa
Melihat pada menu yang disediakan, ia menunjukkan kepelbagaian yang pasti ada untuk semua. Rasa Malaysia diolah dengan gaya Eropah, seperti salad rojak, mille-feuille nangka dan cendol yang menyerupai parfait. Selain itu, mereka juga menghidangkan hidangan klasik Eropah yang menarik seperti pai ikan dan honey-glazed duck breast. Untuk penggemar kopi, anda pasti akan jatuh cinta dengan Coffee Flight yang turut tersedia dalam menu minuman Union Bistrot, yang menggunakan biji kopi Liberica dari Malaysia. Dan jika anda ingin menikmati sesuatu yang lebih segar, jangan risau—ada juga pelbagai koktel kreatif yang dihasilkan oleh pelayan bar berbakat mereka.
Dengan pelbagai tawaran menarik, kami berkesempatan untuk duduk bersama Chef Neon Chin dari Union Bistrot dan mengenalinya dengan lebih dekat lagi, membuka bicara tentang kerjanya di restoran-kafe tersebut.
Apa yang mendorong minat anda dalam memasak dan bagaimana ia telah berkembang sepanjang tahun?
Memang tak boleh dinafikan, ibu saya adalah sumber inspirasi. Dialah yang buat saya jatuh cinta dengan memasak. Dulu, saya selalu berdiri di sebelahnya, melihat dia bekerja di dapur. Salah satu kenangan manis yang saya ingat adalah ketika dia buat cheesecake ‘chilled’ kegemaran saya—cuma kali tu ia beku, bukan chill. Saya selalu fikir itu cara yang betul, tetapi akhirnya saya sedar ia tidak semestinya begitu. Daripada situ, saya belajar bahawa tidak perlu mengikuti resipi secara tepat. 'Be creative' telah menjadi cogan kata saya dalam dunia masakan sejak itu.
Bagaimana anda mula mencipta hidangan atau menu baru? Apa sumber inspirasi anda?
Saya sering mendapat inspirasi dari makanan harian. Saya suka menggabungkan dua jenis masakan, contohnya fried chicken waffles dengan nasi lemak. Daripada situ, lahirlah Wafflemak, iaitu hidangan ikonik di Union Bistrot.
Boleh kongsikan pengalaman kulinari yang paling memorable atau momen yang betul-betul mengubah gaya memasak anda?
Ketika saya bekerja di Dubai, saya akan ditugaskan di bahagian sashimi setiap Jumaat, di mana tugas saya adalah untuk memotong pelbagai jenis makanan laut dengan tepat. Pada hari pertama, saya diberikan sekeping besar tuna bluefin tanpa sebarang arahan—just a big chunk dan saya perlu fikirkan sendiri. Tanpa tahu cara memotong dengan betul, saya hancurkan ikan tu dan chef eksekutif pun bagi teguran. Tapi saya tidak cepat putus asa; saya belajar cara potong tuna yang sebetulnya secara online dan akhirnya berjaya menguasainya. Pengalaman itu mengajar saya, bila ada kemahuan, pasti ada jalan.
Apa yang anda percaya membezakan hidangan yang luar biasa daripada yang biasa?
Tekstur dan lapisan rasa adalah kunci kepada hidangan yang hebat. Tekstur mungkin nampak mudah, tetapi untuk mencipta kedalaman rasa yang menarik memang mencabar. Ambil contoh sos marinara—jika anda hanya gunakan pes tomato, rasanya boleh jadi agak biasa. Jadi, penting untuk menambah bahan lain bagi memberikan dimensi yang lebih. Namun, dengan menambah tomato confit dan tomato kering, anda boleh memberikan 'punch' yang segera dan membawa lebih banyak kedalaman rasa kepada sos tersebut. Bagi saya, itulah yang membezakan hidangan yang luar biasa daripada yang biasa.
Bagaimana anda memastikan inovasi dan tradisi selaras dalam hidangan di Union Bistrot?
Di Union Bistrot, pendekatan kami sangat mudah dan jelas untuk pasukan. Kami ikut kaedah 'base first, concept next'. Biasanya, kami mulakan dengan rasa tempatan sebelum beralih ke tema masakan antarabangsa. Salah satu contoh yang menarik adalah hidangan baru kami, Nyonya Curry Ramen. Pasukan sepakat untuk bermula dengan laksa kari nyonya, dan kemudian kami memutuskan untuk menggabungkan elemen Ramen Jepun ke dalamnya.
Pada pandangan anda, apakah kemahiran atau sifat penting yang perlu dimiliki oleh chef yang bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam industri kulinari?
Dari segi asas seperti kerja berpasukan, mengatasi tekanan dan pengurusan masa, mereka yang mampu bertahan dalam industri ini selama bertahun-tahun biasanya sudah menguasai semua itu. Tapi jika anda benar-benar ingin berjaya dan menonjol, ada tiga perkara yang saya selalu tekankan: be passionate, be creative and be humble.
Bagaimana anda kekal up-to-date dengan trend makanan yang sentiasa berubah, sambil tetap mengekalkan identiti kulinari yang unik?
Di era sekarang, media sosial memang cara terbaik untuk mengikuti trend makanan yang sentiasa berubah. Personally, saya lebih suka menggunakan Instagram untuk dapatkan info terkini. Banyak chef hebat yang buka akaun peribadi dan sering kongsi hidangan yang mereka cipta, jadi selalu ada inspirasi baru. Sudah tentu, makan di luar juga merupakan salah satu cara yang paling mudah untuk kekal terkini dengan trend makanan.
Apakah keunikan Union Bistrot berbanding tempat lain di The Exchange TRX?
Union Bistrot menawarkan hidangan yang sangat unik, dekat dengan citarasa tempatan. Sebagai rakyat Malaysia, anda pasti akan merasai persamaan dalam rasa makanan, tetapi dengan penyampaian yang berbeza. Bagi pelancong, ini adalah peluang untuk merasai apa yang Malaysia tawarkan dan menikmati pelbagai gabungan rasa dari seluruh dunia.
Di manakah destinasi percutian kegemaran anda di Asia untuk bersantai dan recharge?
Kyoto, Jepun. Tempat ni memang tenang, penuh dengan makanan tempatan dan gabungan yang menarik, serta banyak sudut bersejarah yang kaya dengan cerita.
Jika anda perlu menamakan seorang mentor yang menginspirasikan anda, siapakah yang anda pilih?
Jean-Claude Plihon. Dia adalah chef eksekutif di Grand Hyatt DFW (Dallas Fort Worth) dan seorang mentor yang banyak membantu saya menjadi diri saya. Dia selalu ada untuk memberi sokongan dan panduan ketika saya sangat memerlukannya. Memang tak diragukan lagi, dia adalah chef yang hebat dan mentor yang luar biasa.
Maklumat Lanjut:
Alamat: Lot L1.46, Tingkat 1, The Exchange TRX, Persiaran TRX, Kuala Lumpur, Malaysia 55188
Waktu Operasi: 10 pagi - 10 malam, Setiap Hari.
Artikel asal daripada GRAZIA Malaysia.