
Christopher Nolan bakal sekali lagi menggemparkan dunia perfileman dengan naskhah The Odyssey yang diadaptasi daripada novel tulisan penulis legenda Homer. Karya epik Yunani yang berusia hampir 3000 tahun ini dengan memberi fokus pengembaraan panjang Odysseus untuk pulang ke tanah airnya setelah merentas dunia dengan melawan mitos dan kekejaman.
Naratif filem ini membawa penonton melihat perjalanan Odysseus iaitu Raja Ithaca yang juga dalang di sebalik strategi Trojan Horse. Selepas sedekad berperang, dia akhirnya memulakan perjalanan pulang ke tanah air. Namun, kepulangan itu ternyata tidak semudah yang disangka. Pengembaraannya berlarutan selama satu dekad lagi apabila dia berdepan pelbagai cabaran lain termasuk gergasi bermata satu Polyphemus, ahli sihir Circe, makhluk penggoda Sirens serta raksasa laut Scylla dan pusaran maut Charybdis.
Selepas membutakan Polyphemus dan mendedahkan identitinya, Odysseus membangkitkan kemurkaan Poseidon, bapa kepada Cyclops tersebut. Dewa lautan itu lalu membalas dengan ribut dan kapal karam demi menghalangnya daripada kembali ke Ithaca. Dalam masa yang sama, isterinya Penelope bersama anak mereka, Telemachus setia menanti kepulangan yang meskipun kediaman dan kerajaan mereka semakin dikuasai mereka yang berebut untuk menggantikan Odysseus.

Menerusi filem ini, Christopher Nolan menghimpunkan barisan pelakon terbaik Hollywood bagi menghidupkan dunia epik ciptaan Homer. Selain Matt Damon menerajui filem ini sebagai Odysseus, Anne Hathaway diberi tanggungjawab menggalas watak Penelope, isteri yang setia menantikan kepulangan Odysseus dan Tom Holland memegang watak Telemachus iaitu anak lelaki mereka.
Zendaya dalam persona Athena, bernadi sebagai dewi kebijaksanaan yang membimbing perjalanan Odysseus. Sementara Robert Pattinson melakonkan watak Antinous hadir sebagai antagonis yang cuba merampas takhta dan menawan Penelope. Charlize Theron pula membawakan watak Calypso, yang merupakan semangat alam yang menahan Odysseus di pulaunya.
Lupita Nyong'o memegang dua watak penting, iaitu Helen of Troy dan Clytemnestra, masing-masing isteri kepada Raja Sparta Menelaus (Jon Bernthal) dan panglima agung Yunani Agamemnon (Benny Safdie). Samantha Morton pula muncul sebagai Circe, ahli sihir yang ditemui Odysseus sepanjang pengembaraannya dan Travis Scott membuat kemunculan sebagai seorang penyair yang mengisahkan semula legenda Perang Trojan.

